FROM SARATOK WITH LOVE
FROM SARATOK WITH LOVE
Daerah Saratok, Sarawak merupakan salah satu daerah yang membentuk apa yang dikenali sebagai Bahagian Betong, Sarawak sekarang dan mempunyai keluasan 1,586.9 km persegi. Menurut laporan populasi sekitar tahun 2010 terdapat hampir 60,000 orang yang mendiami daerah ini dengan pecahan peratusan 51% didominasi oleh etnik Iban, 40% Melayu dan selebihnya adalah daripada kaum Cina, Bidayuh, Melanau dan banyak lagi.
Oleh kerana dominannya etnik Iban di daerah ini maka adalah tidak menghairankan sekiranya jika berkesempatan ke Daerah Saratok kita akan melihat betapa bahasa Iban menjadi bahasa utama di dalam sistem oral komunikasi antara masyarakat di Saratok sehingga masyarakat Cina yang ramai menjadi peniaga di Pekan Saratok fasih berbahasa Iban di dalam urusan harian mereka di sini.
Terdapat 3 versi cerita di dalam memperkatakan bagaimana Saratok mendapat nama.
Bagaimana Saratok Mendapat Nama
Versi 1 :-
Mengikut cerita oral yang diperturunkan dari satu generasi di dalam etnik Melayu yang mendiami Saratok suatu waktu dahulu. Ini diperjelaskan oleh seorang penulis didalam buku “Legends and History of Sarawak” iaitu Chang Pat Poh yang menceritakan bahawa pernah satu ketika dahulu terdapat seorang lelaki Melayu yang sudah berusia emas yang amat dikenali di Saratok dan beliau dipanggil “Dato” oleh masyarakat di Saratok.
Oleh kerana beliau terlalu tua maka seringkali beliau berjalan tidak pada lokasi yang hendak beliau tujui. Seringkali juga beliau tersesat jalan ke destinasi yang dimaksudkan dan akhirnya beliau sering bertanya dengan masyarakat yang lalu lalang dan setiap kali jawapan akan dimulakan dengan perkataan “Salah Tok”.
Akhirnya setelah beberapa lama memandangkan kawasan itu masih belum mempunyai nama maka akhirnya “Salah Tok” dipertuturkan menjadi Saratok.
Versi Kedua :-
Menurut versi kedua ini, Saratok dikatakan mendapat nama daripada sebuah pohon yang bernama pokok Salak. Seringkali melalui pertuturan, masyarakat Saratok mengatakan “Salak Tok” dan akhirnya setelah zaman berzaman dipertuturkan ianya menjadi Saratok. Walau bagaimanapun, untuk versi ke-2 tiada rujukan ilmiah yang dapat diketengahkan melainkan ianya adalah versi cerita lisan masyarakat tua-tua di Saratok.
Versi Ketiga :-
Menurut versi ketiga pula seperti apa yang dikarang oleh Benedict Sandin melalui bukunya “The Living Legends: Borneo Telling Their Tales” pula memperjelaskan bahawa nama Saratok sebenarnya diambil daripada seorang ketua pahlawan daripada etnik Seru yang bernama “Segatok”.
Pahlawan Segatok ini sebenarnya adalah salah seorang pemimpin yang memimpin etnik Seru di Saratok suatu masa dahulu yang dikatakan telah melarikan diri daripada survival etniknya daripada etnik Iban yang menjalankan “adat ngayau”. Di ketika itu Segatok telah melarikan diri ke sebuah Munggu atau Bukit dan sehingga kini sememangnya terdapat satu munggu (bukit) yang dinamakan Munggu Segatok di Saratok. Akhirnya daripada Segatok ia dipertuturkan oleh masyarakat menjadi Saratok sehingga sekarang.
Saratok sebenarnya telah lama wujud di dalam kalendar sejarah Sarawak Bumi Kenyalang iaitu suatu ketika dahulu Saratok adalah salah satu tanah kuripan kepada pembesar Kesultanan Brunei Darussalam. Walau bagaimanapun, untuk Saratok ianya juga mempunyai beberapa pembesar daripada masyarakat Iban yang dilantik secara terus oleh Kesultanan Brunei untuk menjaga tanah kuripan mereka dan antaranya adalah nama-nama seperti Temenggung Tanduk.
Temenggung Tanduk adalah antara pemimpin yang amat berpengaruh di Saratok di suatu ketika dahulu dan dikatakan rumah panjangnya telah hangus terbakar pada tahun 1833 akibat daripada serangan daripada etnik Iban Banting yang diketuai oleh Ijau Lang. Dan hingga ke hari ini kawasan rumah panjang Temenggung Tanduk ini merupakan salah satu kawasan bersejarah di Saratok.
Jika di Pulau Langkawi terkenal dengan Telaga Mahsuri, di Saratok juga mempunyai satu telaga yang menjadi saksi kepada apa jua yang berlaku di Saratok suatu masa dahulu sehingga sekarang. Telaga unik ini dinamakan Telaga Mok Kiah yang mempunyai seribu ceritera tentang kegunaannya kepada masyarakat di Saratok suatu waktu dahulu di dalam mencari sumber air minuman. Telaga Mok Kiah ini dikatakan sejak daripada ianya dijumpai sehingga sekarang tidak pernah kering biarpun di ketika Saratok menghadapi musim kemarau.
Jika di daerah-daerah lain di Sarawak mempunyai tugu-tugu sebagai mercu tanda Bandar dan daerahnya, Saratok juga mempunyai tugunya yang tersendiri yang mempunyai 3 tanda di dalam satu tugu iaitu udang, ikan sembilang dan buah sawit. Keberadaan ini mungkin kerana terdapat banyaknya udang serta ikan sembilang di sungai-sungai yang menyusuri Daerah Saratok serta adanya penanaman kelapa sawit secara komersial yang sedang giat dilakukan di daerah ini bagi menjana pendapatan masyarakat setempat.
Anak-anak Saratok juga bukannya calang-calang orangnya dan ramai antara mereka yang telah menjawat jawatan berprofil tinggi di dalam kancah pentadbiran Sarawak Bumi Kenyalang seperti Mendiang Datuk Amar Dustan Endawie Enchana, mantan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Encik Jelaing Mersat, Dato’ Seri Peter Tinggom, YB Ali Biju, Datuk Peter Nyarok, Datuk Haji Abdul Wahab bin Aziz, Allahyarham Datuk Amar Yusuf Puteh, Aeries Sumping Jinggan serta ramai lagi.
Setiap Daerah Mempunyai Sejarahnya dan Setiap Daerah Mempunyai Nilai Kasih-Sayangnya.
#KamekSayangSarawakBah!