LEGENDA 7 PERAWAN DI DALAM KOMUNITI IBAN SARAWAK
LEGENDA 7 PERAWAN DI DALAM KOMUNITI IBAN SARAWAK
Al-sahibul hikayat diceritakan pada suatu waktu dahulu ada seorang pemuda daripada etnik Iban yang suka mengembara. Lenggai, itulah nama pemuda Iban tersebut yang dikatakan berasal dari Kalimantan Barat. Dikatakan Lenggai walaupun suka mengembara tetapi pengembaraannya amat terhad kerana dia banyak mengembara menggunakan perjalanan darat. Namun begitu Lenggai bukanlah seorang pemuda yang sembarangan kerana dia juga mempunyai ilmu peperangan dan ketahanan mental yang kuat.
Pada suatu hari, Lenggai yang asyik berehat di ruai rumah panjangnya telah mendapat ilham untuk pergi mengembara tapi kali ini bukan dengan jalan darat sebaliknya beliau berkeinginan benar untuk pergi mengembara meluaskan pemandangan dengan mengembara menggunakan kapal meredah lautan yang luas. Hal ini diceritakannya kepada ibubapanya dan seperti ibubapa yang lain, orang tua Lenggai juga tidak menggalakkannya namun begitu dek kerana kesungguhan Lenggai akhirnya orangtuanya pun mengalah dan memberikan restu mereka.
Keesokan harinya apabila fajar mula menyinsing, Lenggai dengan bantuan beberapa sahabatnya telah masuk ke hutan dan tujuan mereka adalah untuk mencari kayu yang terbaik bagi pembuatan sebuah kapal. Setelah beberapa hari di dalam hutan akhirnya pokok yang dicari dijumpai maka bermulalah kerja-kerja pemotongan pokok dijalankan dan setelah siap dibelah-belah kayu ini pun dibawa pulang ke kawasan penempatan rumah panjang mereka.
Tanpa melengahkan masa, Lenggai dan sahabat-sahabatnya terus berkerja keras tidak mengira siang dan malam untuk menyiapkan kapal tersebut. Setelah segala keringat dicurahkan akhirnya kapal yang diimpikan sudah siap terbina dan tibalah masa untuk Lenggai dan sahabat-sahabatnya mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga mereka.
Maka belayarlah Lenggai dengan sahabat-sahabatnya menyusuri sungai dan seterusnya ke muara sungai menghadap lautan luas. Giranglah hati Lenggai dan sahabat-sahabatnya kerana impian mereka untuk belayar terlaksana.
Setelah beberapa ketika di lautan luas, kapal Lenggai telah ditimpa ribut taufan nan kencang di tengah lautan. Kapal Lenggai yang tidak berapa besar itu dilambung-lambung oleh ombak nan ganas dan Lenggai sendiri sebagai jurumudi kapal telah hilang kawalan ke atas kapalnya sendiri. Sahabat-sahabatnya juga tidak kelihatan mungkin sudah lemas ditelan ombak yang ganas itu dan tinggallah Lenggai seorang.
Dikala dia hanya menyerahkan takdirnya tiba-tiba Lenggai terasa kapalnya berpusing-pusing seperti ditelan pusaran ombak dan sememangnya kapal Lenggai telah ditelan ombak yang berpusing-pusing dari dasar laut. Pada ketika dia terumbang ambing inilah Lenggai melihat sepohon pokok besar telah timbul daripada pusaran air ini dan tanpa membuang masa Lenggai pun berpaut pada dahan pokok yang besar itu.
Di dalam keletihan menyelamatkan diri ini Lenggai terlihat pula seekor burung yang amat besar di hujung dahan pokok tersebut. Dengan kudrat yang ada Lenggai pun memanjat pokok tersebut dan akhirnya berjaya bergayut pada kaki burung besar itu tanpa burung itu sedari. Setelah seketika akhirnya burung besar ini pun terbang dengan Lenggai yang masih bergayut pada kakinya. Lenggai yang keletihan sebenarnya sudah tidak mampu lagi untuk berpegang teguh pada kaki burung besar itu jadi apabila burung besar itu mula merendahkan terbangannya untuk menyambar seekor lembu di daratan maka pada ketika itulah Lenggai melepaskan pegangannya dan akhirnya jatuhlah Lenggai di daratan dengan selamat.
Alangkah girangnya hati Lenggai apabila sudah mampu berada di daratan dan apabila dia melihat keadaan sekeliling dia berasa sangat tenang kerana tanah yang terhampar di hadapan matanya merupakan kawasan yang begitu aman sentosa dengan pokok-pokok yang menghijau, padi sawah yang subur dan menunggu masa untuk dituai, bunyi kicauan burung yang mengasyikkan dan segalanya mengenai kawasan tersebut amatlah cantik yang tidak pernah Lenggai temui selama ini.
Di dalam kesayupan matanya, dia melihat ada sebuah rumah kecil di tepi sawah dan ke situlah arah perjalanan Lenggai kerana Lenggai terlalu letih dan perlukan tempat berteduh dan makan untuk menguatkan tenaganya mencari jalan pulang ke kampungnya. Akhirnya dia pun sampai ke pintu rumah tersebut dan kedatangan Lenggai disambut oleh seorang gadis yang amat elok rupa parasnya umpama bidadari namun sebagai orang yang beradab Lenggai menghormati tuan rumah tersebut.
Setelah diceritakan oleh Lenggai tujuannya akhirnya gadis itu mempersilakannya masuk ke rumah dan memberikannya makanan serta pakaian. Kemudian Lenggai disediakannya tempat tidur untuk Lenggai beristirehat melepas lelahnya. Oleh kerana keletihan, Lenggai diceritakan tidur sehingga keesokan harinya.
Lenggai hanya terbangun apabila mendengar riuh rendah suara perempuan berbual-bual di bahagian dapur dan Lenggai pun menjenguk di dapur rumah tersebut. Alangkah terkejutnya Lenggai rupa-rupanya bukan hanya seorang gadis sahaja yang menghuni rumah tersebut sebaliknya 7 orang lagi yang rupa paras mereka juga cantik-cantik dan lemah lembut.
Lenggai pun memperkenalkan dirinya dan ternyata kisah Lenggai sudah pun diceritakan oleh gadis yang mula-mula ditemuinya kepada gadis yang berenam tadi. Mulai hari itu, Lenggai menetap di rumah tersebut sebagai tetamu dengan siangnya dia kan membantu gadis yang bongsu menguruskan kerja-kerja rumah yang berat-berat manakala pada petangnya barulah kakak gadis yang berenam akan pulang daripada sawah mereka.
Setelah beberapa ketika, akhirnya Lenggai dan gadis bongsu telah terpaut kasih antara satu sama lain dan mereka berdua sepakat untuk mendirikan rumahtangga. Niat mereka ini dinyatakan kepada kakak gadis bongsu yang berenam. Kakak gadis bongsu yang berenam menyambut baik niat Lenggai dan gadis bongsu dan pada suatu hari yang baik maka dilangsungkan perkahwinan mereka dengan begitu meriah sekali dengan seluruh penduduk di kawasan tersebut dijemput.
Dikatakan majlis perkahwinan mereka telah dilangsungkan selama 7 hari 7 malam. Perkahwinan Lenggai dan gadis bongsu bertambah bahagia apabila gadis bongsu selamat melahirkan seorang anak lelaki yang dinamakan Selamuda. Sejak lahirnya Selamuda, ada satu kelainan yang berlaku pada gadis bongsu kerana sering gadis bongsu berpesan kepada Lenggai agar jangan sesekali membuka tajau yang mempunyai penutup di dapur rumahnya kerana sekiranya itu dilanggar akibatnya amat merbahaya sekali.
Pesanan ini pada mulanya tidak begitu dipandang serius oleh Lenggai tetapi mungkin kerana pesanan itu sering diulang-ulang maka ini membuatkan hati Lenggai ingin mengetahui apakah sebenarnya tajau tersebut. Hendak dijadikan cerita pada suatu hari ketika Lenggai dan Selamuda hanya tinggal berdua di rumah, Lenggai pun dengan senyap-senyap telah membuka tajau tersebut dan alangkah terkejutnya Lenggai melihat daripada mulut tajau tersebut terdapat beribu-ribu manusia yang kelihatan sayup-sayup kecil di bawah dan sedang sibuk bekerja di sawah.
Maka terdetiklah di hati Lenggai bahawa selama ini dia bukannya tinggal di daratan yang biasa sebaliknya dia tinggal di tempat tinggi iaitu kayangan. Hal ini telah membuatkan dirinya sedih kerana selepas kejadian tersebut hatinya meronta-ronta ingin bertemu dengan kedua ibubapa dan saudara maranya di kampung halaman.
Pada sebelah malamnya, ketika makan malam gadis bongsu menyedari perubahan pada diri Lenggai yang kurang bercakap malah kurang menjamah makanan seperti selalunya. Setelah ditanya akhirnya Lenggai mengakui bahawa dia telah membuka tajau ajaib tersebut dan beliau terlalu sedih atas kejadian yang berlaku selama ini. Pengakuan daripada Lenggai ini telah menyebabkan kakak iparnya yang berenam serta isteri Lenggai sendiri menjadi sedih dan menangis.
Pada ketika inilah kakak iparnya yang sulung menyatakan bahawa Lenggai telah melanggar pantang keluarga mereka dan atas kesalahan itu Lenggai dan anaknya Selamuda harus segera meninggalkan tempat mereka. Pada masa yang sama juga, kakak iparnya yang sulung menceritakan bahawa siapa mereka sebenarnya.
Mereka dipanggil Bintang Tujuh dan isteri Lenggai adalah Bintang Banyak. Tugas mereka di kayangan adalah memastikan bahawa hasil tuaian manusia di bumi sentiasa dalam keadaan subur agar tiada yang kelaparan dan apabila ada yang bukan Bintang Tujuh membuka tajau tersebut maka dikuatiri musibah akan melanda manusia dibumi jadi sebelum ianya bertambah buruk, Lenggai dan Selamuda harus segera dihantar ke bumi. Apabila mendengar penerangan tersebut, Lenggai pasrah dengan segala hukuman.
Pada malam itu juga, Lenggai dan Selamuda telah disiapkan oleh isterinya Bintang Banyak untuk diturunkan ke bumi. Pada ketika itu, hancur hati Lenggai melihat betapa sedihnya Bintang Banyak yang terpaksa berpisah dengan anaknya Selamuda. Dia menyesali perbuatannya namun nasi sudahpun menjadi bubur. Setelah tiba saatnya kakak iparnya yang sulung sebelum menggunakan kuasa saktinya telah berpesan kepada Lenggai iaitu sekiranya inginkan petunjuk untuk bercucuk tanam dan mendapat hasil yang banyak maka carilah kerdipan Bintang Tujuh di langit pada waktu malam dan nescaya jika ada terlihat kerdipan itu maka barulah manusia di bumi mula bercucuk tanam.
Dan sekiranya tiada kerdipan dijumpai maka sebarang bentuk tanaman tidak akan membuahkan hasil. Lenggai dan Selamuda pun dihantar pulang ke kampung halamannya dengan sekali pejaman mata. Setibanya di kampung, Lenggai menceritakan segala pengalamannya dan pesanan daripada Bintang Tujuh kepada seisi keluarga dan rumah panjangnya. Sejak daripada itu dikatakan bahawa masyarakat Iban di rumah panjang apabila tiba masa untuk bercucuk tanam akan mencari kerdipan Bintang Tujuh di langit kerana kerdipan ini akan memberikan petanda kepada hasil tuaian tanaman mereka kelak.