top of page

SENIBINA DAN PERANCANGAN BANDAR BAGI KUCHING SEBAGAI PUSAT PEMERINTAHAN SARAWAK KINGDOM


SENIBINA DAN PERANCANGAN BANDAR BAGI KUCHING SEBAGAI PUSAT PEMERINTAHAN SARAWAK KINGDOM


Semasa era pemerintahan Keluarga Brooke selama lebih kurang 100 tahun di Sarawak, Sarawak Kingdom telah mengalami perubahan yang besar daripada sebuah negara yang hanya penuh diseliputi hutan rimba menjadi sebuah negara moden ala Eropah di Asia Tenggara. Pemerintahan Brooke yang merupakan pemerintahan rajah berbangsa Eropah telah banyak menggabungkan unsur-unsur Eropah di dalam pembentukan sebuah perancangan arkitektur di sepanjang pemerintahan mereka. Ini dapat dibuktikan dengan banyaknya senibina-senibina bercorak ala Eropah yang terdapat di Sarawak pada masa kini yang masih teguh tidak dimamah usia walaupun ianya telah dibina beratus-ratus tahun dahulu.


Pentadbiran Sarawak Kingdom yang juga mengasimilasikan pemerintahan mengikut acuan Sarawak berdasarkan penasihat-penasihat Brooke yang juga dari kalangan orang tempatan Sarawak telah banyak mempengaruhi pemerintahan Brooke di Sarawak Kingdom pada waktu itu. Banyak perkara seperti kefahaman pagan ataupun animisme telah dihapuskan bagi menjadikan bangsa Sarawak sewaktu itu bukannya mereka yang berbentuk tribal atau kuno seperti yang difahami oleh dunia luar.


Maka kerana itulah, pemerintahan Brooke telah cuba untuk menjadikan Sarawak khususnya di bahagian ibukota pentadbirannya iaitu Kuching menjadi gah sebagai lambang kepada Sarawak Kingdom yang moden pada masa itu. Perancangan bandarnya dengan senibina-senibina yang berbentuk Eropah telah mengagumkan dunia sehinggalah sekarang ianya masih lagi menjadi warisan dan kebanggaan penduduk setempat.


Pada awal James Brooke bertapak di Sarawak, beliau telah diberikan sebuah rumah dengan senibina Melayu di persisiran Sungai Sarawak oleh Raja Muda Hashim sebagai satu tempat untuk beliau melepaskan lelahnya di dalam membantu Raja Muda Hashim menyelesaikan pemberontakan tempatan.


Rumah melayu ini tidaklah mewah tetapi agak besar untuk seorang seperti James Brooke. Diceritakan bahawa rumah James Brooke adalah seluas 16.5m dengan kiri-kanannya mempunyai bilik-bilik dan ditengahnya adalah ruang besar bagi James Brooke mengadakan mesyuarat dengan pembesar-pembesar negeri.


Apabila James Brooke disahkan menjadi Rajah Sarawak maka bermulalah yang mana kawasan tempat tinggalnya telah dibuka untuk penduduk Melayu yang lain tinggal. Kawasan ini dipanggil Kampung Sungai Bedil. Bangsawan Melayu seperti Datu Patinggi Ali dan beberapa yang lain turut tinggal disini bagi memudahkan pentadbiran Kerajaan Sarawak Kingdom.


Kemunculan kampung-kampung Melayu di persisiran Sungai Sarawak seperti Kampung Boyan, Kampung Surabaya, Kampung Semarang dan banyak lagi kampung juga berkait rapat dengan perancangan bandar di era pemerintahan Brooke. Oleh kerana betapa kuatnya syiar Islam semasa itu maka banyak juga kampung-kampung Melayu telah muncul di sekitar Masjid seperti Kampung Masjid dan lain-lain lagi.


Dikala James Brooke hampir terbunuh di dalam satu pemberontakan oleh kongsi cina pelombong antimoni emas pada tahun 1857, rumah kediaman James Brooke telah musnah dibakar dan dek kerana rumah-rumah Ketua Masyarakat Melayu pada masa itu berdekatan maka beliau mampu menyelamatkan diri dan bersembunyi di rumah pembesar tersebut.


Pada awal 1850, Sarawak Kingdom telah menyaksikan kebanjiran pelarian Cina Hakka daripada Sambas, Kalimantan Barat yang melarikan diri daripada tekanan dan cengkaman daripada penjajahan Belanda. Ramai antara mereka telah membentuk kumpulan kongsi yang bertindak secara langsung di dalam kerja-kerja melombong emas.


Ramai juga golongan Cina Hakka ini menjadi saudagar pembuat emas di Kuching dan kerana itulah James Brooke telah membenarkan mereka untuk mendirikan beberapa kedai di kawasan yang dikenali sebagai Jalan Carpenter sehinggalah ke hari ini ianya masih lagi menjadi lambang sejarah di Kuching. Mempunyai perancangan Bandar yang teratur seperti Jalan Carpenter akan lebih memudahkan pihak pentadbiran Brooke mengawalselia aktiviti-aktiviti tukang-tukang emas ini.


Setelah rumah James Brooke musnah dibakar dan keamanan dikecapi kembali di Kuching, James Brooke telah bertindak membina sebuah rumah kerajaan yang sekarang dikenali sebagai Astana Sarawak (Kediaman rasmi TYT Gabenor Negeri Sarawak sekarang). Rumah kerajaan ini masih lagi menggunakan senibina Melayu melalui pengunaan kayap bumbung malah tukangnya sendiri adalah tukang berketurunan Melayu.


Bagi James Brooke yang pernah bekerja sebagai anggota tentera di India, senibina Anglo-India tetap juga dimasukkan untuk rumah James Brooke. Hakikatnya pembinaan astana ini bukanlah pembinaan berunsur eropah yang pertama di Sarawak kerana pembinaan Kubu James (1849) di Skrang dan Kubu Emma (1851) di Kanowit adalah terdahulu daripada Astana namun pembinaan Astana adalah yang pertama di Kuching sebagai pusat pentadbiran Sarawak Kingdom. Astana Sarawak pada masa itu merupakan rumah kediaman rasmi James Brooke dan juga pejabat untuk semua urusan kenegaraan dan pentadbiran Rajah Brooke ke atas seluruh Sarawak Kingdom pada waktu itu.


Ketika era pemerintahan Rajah Charles Brooke, iaitu rajah Sarawak yang kedua, beliau telah bertindak membina banyak bangunan pentadbiran ala Eropah di kawasan sekitar Kuching tengah. Pada tahun 1874, bangunan Mahkamah Sarawak Kingdom (Courthouse) telah ditubuhkan bagi memastikan sistem perundangan di Negara Sarawak berjalan lancar. Pembinaan bangunan Mahkamah Sarawak adalah lebih kepada gabungan senibina Eropah, Melayu dan Cina.


Pembinaan pavilion di tengah-tengahnya lebih menjurus kepada pembinaan ala Eropah tetapi pengaruh feng shui masyarakat Cina tetap diambilkira. Pembinaan cucur atap seperti senibina Melayu akan lebih membantu di dalam kawalan haba dan keselesaan mereka yang bertugas di dalam bangunan itu nanti. Dan dikatakan pembinaan gabungan daripada Eropah, Melayu dan Cina ini mampu mengurangkan kos penyelenggaraan bagi bangunan itu sendiri.


Pada tahun 1891, Rajah Charles Brooke telah membina sebuah bangunan yang dikenali sebagai Bangunan Muzium Sarawak yang masih utuh dengan fungsinya sebagai muzium sehingga ke hari ini. Melihat kepada betapa perlunya Negara Sarawak mempunyai sebuah muzium sendiri bagi menyimpan dan mengarkibkan segala bentuk tinggalan sejarah Negara Sarawak maka pembinaan ini adalah perlu sama sekali.


Senibina bangunan muzium Sarawak lebih kepada senibina Eropah tetapi lokasinya masih tidak jauh daripada bangunan mahkamah Negara Sarawak. Kemudian dibina pula pada tahun 1901 sebuah bangunan yang menjadi nadi kepada perhubungan Sarawak dengan dunia luar iaitu Bangunan Pejabat Pos Besar Sarawak. Segala urusan pentadbiran surat menyurat diletakkan di dalam kawalan institusi ini. Lokasinya juga masih lagi berpusat di dalam kawasan tengah Bandar Kuching pada waktu itu.


Pada tahun 1920, melihat kepada perlunya Sarawak mempunyai sebuah kawasan lapang bagi menganjurkan acara rasmi kerajaan maka telah terbina sebuah padang yang dinamakan Padang Central pada mulanya sebelum ditukar nama kepada Padang Merdeka pada waktu sekarang.


Mulanya padang ini adalah satu tanah yang berpaya ditengah-tengah Bandar Kuching yang kemudiannya ditambak. Padang Central ini menjadi saksi kepada segala bentuk acara rasmi Kerajaan Sarawak disamping sepohon pokok kapas yang masih masih lagi utuh berdiri sehingga sekarang menjadi saksi bisu pembangunan Bandar Kuching yang mundur menjadi sebuah Bandar yang lebih urban.


Jika dilihat kepada sejarah senibina dan perancangan Bandar di Bandar Kuching di zaman pemerintahan Brooke, ianya lebih berpusat daripada Masjid Sarawak daripada pembinaan Brooke Dockyard and Engineering kemudiannya disinilah bermulanya Sarawak Railway Department dan kemudiannya pembinaan jalinan keretapi pertama dan terakhir di Sarawak dan sekaligus beberapa buat bangunan-bangunan yang menjadi simbol kepada kewujudan pemerintahan berbangsa Eropah suatu ketika dahulu di Sarawak.


Senibina dan perancangan Bandar untuk Kuching sebenarnya sudah pun diatur sejak dari dahulu lagi iaitu ketika daripada Sarawak Kingdom sehinggalah kepada Sarawak Bumi Kenyalang. Mungkin kerana itulah, jika sesiapa sahaja yang baru pertama kali menjejakkan kakinya ke Kuching mesti seringkali merasakan bahawa berada di benua Eropah bukannya di Borneo.


bottom of page