top of page

ACARA MAKAN TAHUN KOMUNITI KEDAYAN, BEKENU, MIRI


ACARA MAKAN TAHUN KOMUNITI KEDAYAN, BEKENU, MIRI


Di Sarawak, perayaan Gawai Dayak disambut dengan meriah saban tahun dan begitu juga Perayaan Irau Ico di Lawas, Pesta Babulang komuniti Bisaya di Limbang dan kesemuanya menandakan kemeriahan selepas pesta menuai. Dan mungkin ramai tidak mengetahui nun jauh di bumi Bekenu ada satu acara tradisi yang saban tahun diadakan untuk tujuan yang sama. Acara Makan Tahun komuniti Kedayan, Bekenu itulah yang menjadi tajuk artikel pada kali ini.


Masyarakat Kedayan bukan sahaja ada di Sarawak namun mereka juga ada di Sabah mahupun Negara tetangga iaitu Negara Brunei Darussalam. Walaupun sudah terpisah oleh sempadan politik antara Negara namun adat resam dan tradisi masyarakat Kedayan sentiasa dipertahankan zaman berzaman. Antara yang masih lagi dipegang adalah Acara Makan Tahun yang saban tahun akan menghiasi kalendar upacara penting bagi komuniti Kedayan di Bekenu, Miri.


Acara Makan Tahun adalah satu acara yang akan dihadiri oleh semua penduduk dan keluarga komuniti kedayan jauh atau dekat saban tahun di Bekenu, Miri. Kebiasaannya acara makan tahun ini akan diadakan selepas musim menuai iaitu antara bulan Mei hingga Jun saban tahun. Dan tujuannya diadakan adalah bagi meraikan tanda kesyukuran atas rezeki yang dilimpahkan selepas musim menuai padi.


Sesuatu yang unik mengenai Tradisi Makan Tahun di Bekenu ini adalah sekiranya ada 30 buah kampong Kedayan di Bekenu maka akan ada 30 acara Makan Tahun ini akan diadakan dengan konsep bergilir-gilir. Ini bermakna tradisi ini akan sentiasa bersambung-sambung dengan setiap satunya mempunyai keunikan yang tersendiri. Komuniti Kedayan di dalam satu kampong akan bersama-sama menyediakan juadah untuk acara besar ini. Ini akan lebih mengeratkan silaturrahim antara penduduk yang telah menjadi tradisi beratus-ratus tahun dahulu.


Istimewanya tradisi Makan Tahun ini adalah terletak pada juadah pembuka seleranya. Ini kerana pelbagai masakan tradisional komuniti Kedayan akan menjadi menu hidangan seperti daging rusa, pais ikan, perut salai, sambal tahai, buah tarap muda masak lemak, umbut nibung masak lemak dan umbut kelapa yang digaul dengan ikan masin yang sudah tentu menyebut nama menunya sahaja sudah kecor air liur.


Satu lagi yang amat menarik adalah selepas dijamu selera para tetamu juga akan dibekalkan buah tangan berbentuk makanan seperti kelupis, wajik, penyaram serta buah-buahan seperti pisang untuk dibawa balik. Menurut ceritanya tradisi dibekalkan dengan buah tangan ini adalah kerana suatu waktu dahulu buah tangan ini adalah sebagai alas perut dalam perjalanan balik. Ini kerana suatu ketika dahulu kampung-kampung masyarakat Kedayan terpisah jauh di antara satu sama lain dan perjalanan mengambil masa sehari suntuk tetapi untuk masa sekarang ianya adalah satu tanda terima kasih daripada tuan rumah kerana sanggup datang memeriahkan suasana.


Sejajar dengan konsep Islam yang meresapi penghidupan komuniti Kedayan yang rata-ratanya memilih agama Islam sebagai panduan penghidupan mereka, kebiasaannya Acara Makan Tahun ini akan dimulai dengan bacaan tahlil dan kenduri doa selamat. Selain daripada itu di dalam acaranya juga akan diselang-seli dengan kebudayaan komuniti Kedayan seperti permainan musik tradisional Kedayan bagi memeriahkan lagi suasananya.


Lan Berambeh Ke Sarawak!


bottom of page