top of page

BORNEO COMPANY LIMITED


BORNEO COMPANY LIMITED


Borneo Company Limited adalah syarikat persendirian yang tertua beroperasi di Sarawak mahupun Sabah. Ditubuhkan pada 1856 dan didaftarkan di Kota London pada June 1856 dengan modal berbayar sebanyak 60,000 pound sterling. Antara nama-nama besar yang memegang tampuk pengurusan Borneo Company Limited adalah Robert Henderson (R&J Henderson, Glasgow Merchants) James Templer, James Dyce Nicol, John Smith, Francis Richardson dan John Harvey (MacEwan & Co, Singapore).


Salah seorang daripada ahli lembaga pengarah Borneo Company Limited ini adalah kawan rapat kepada Rajah James Brooke sendiri yang selama ini menjadi penasihat kewangan kepada Rajah sejak dahulu lagi iaitu James Templer. Jadi ianya tidak menghairankan mengapa Borneo Company Limited dipilih sebagai antara pemegang konsesi perlombongan emas dan antimoni di Sarawak Kingdom pada masa itu. Pengurus Besar Borneo Company Limited yang ditempatkan di Sarawak adalah Ludvig Verner Helms yang merupakan seorang yang sememangnya berkeupayaan untuk menguruskan satu syarikat yang besar seperti Borneo Company Limited kerana pengalamannya yang begitu luas di dalam bidang perlombongan.


Pada tahun 1856, Rajah Brooke telah melantik Borneo Company Limited untuk menjadi pemegang konsesi di dalam perlombongan emas dan antimoni bagi Sarawak Kingdom. Syarikat ini adalah wakil kepada Perbendaharaan Sarawak Kingdom bagi memastikan bahawa segala eksplorasi dan keuntungan serta pengurusan penghasilan perlombongan akan disalurkan kepada Perbendaharaan Sarawak agar setiap penghasilan hasil bumi yang diambil di tanah Sarawak akan digunakan untuk membangunkan Sarawak Kingdom kembali. Kemasukan Borneo Company Limited di dalam perlombongan emas dan antimoni Sarawak telah banyak memberi impak di dalam pengurusan perlombongan itu sendiri.


Pelombong Kongsi 12 iaitu Kaum Cina Hakka yang berasal dari Sambas, Kalimantan banyak mengamalkan kaedah tradisional di dalam perlombongan emas dan jika dibandingkan kepada keuntungan ianya tidaklah begitu banyak sekali. Jadi, kedatangan Borneo Company Limited yang telah memulakan teknik-teknik moden di dalam perlombongan emas telah memberikan impak yang lebih baik dari segi ekonomi serta memberikan pulangan yang baik kepada Perbendaharaan Sarawak Kingdom pada masa itu.


Kejayaan Borneo Company Limited di dalam perlombongan emas ini tetap diteruskan walaupun selepas Sarawak menjadi tanah jajahan Koloni British Borneo. Ini kerana berdasarkan ‘track record’ kejayaan Borneo Company Limited sememangnya tidak boleh disangkal pada masa itu.


Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa selepas pembentukan Malaysia melalui gabungan Sarawak, Sabah dan Malaya pada tahun 1963, Borneo Company Limited sebenarnya masih beroperasi di Sarawak mahupun Sabah iaitu setelah ianya ditukar kepada SEBOR HOLDINGS (SARAWAK) SENDIRIAN BERHAD dan SEBOR HOLDINGS (SABAH) SENDIRIAN BERHAD pada tahun 1970. Dan pada tahun 2007, Sebor Holdings telah diambil alih oleh syarikat beribu pejabat dari Hong Kong iaitu Integrated Distribution Services (IDS) Group Limited maka bermulalah penglibatan Sebor Holdings di dalam pemasaran dan pengagihan produk pengguna seperti Unilever, L'oreal, Nestle dan Johnson & Johnson.


Inilah sekelumit sejarah tentang sebuah syarikat persendirian yang sentiasa kita lihat di dalam sejarah Sarawak Kingdom di zaman pemerintahan Brooke sehinggalah ianya masih lagi beroperasi di Sarawak pada masa sekarang.


bottom of page