top of page

ETNIK KELABIT, SARAWAK, BORNEO


ETNIK KELABIT, SARAWAK, BORNEO


Etnik Kelabit atau Kerabit atau Kalabit, itulah nama-nama yang berkaitan dengan satu lagi etnik di Sarawak ini yang dikategorikan sebagai Kaum Orang Ulu Sarawak. Populasi etnik ini ramai tertumpu di Dataran Tanah Tinggi Bario, Miri, Sarawak. Namun begitu, tidak lah ramai yang mendiami Bario sekarang kerana ramai golongan muda Kelabit telah berhijrah ke Bandar-bandar besar di Sarawak seperti di Miri, Bintulu dan Kuching.


Kebanyakan daripada golongan muda Kelabit adalah mereka yang menjawat jawatan yang tinggi seperti pensyarah, ahli ekonomi, jurutera dan banyak lagi memandangkan masyarakat Kelabit sejak dari dahulu lagi amat menitik beratkan pencapaian pendidikan di dalam penghidupan anak-anak mereka sehingga memungkin ramai antara anak-anak Kelabit memenuhi tempat di menara gading samada di Malaysia mahupun di luar negara. Walaupun mereka telah menjadi golongan berpelajaran tinggi dan mempunyai nama namun begitu sesuatu yang amat unik bagi anak-anak Kelabit iaitu mereka sentiasa utuh dengan adat warisan mereka walau dimana jua mereka berada.


Menurut laporan yang dikeluarkan oleh seorang pengkaji sejarah yang dikeluarkan oleh Usun (1968), etnik Kelabit sebenarnya berasal daripada Lembah Sungai Matarang dan Kerayan di Kalimantan Timur. Oleh kerana mereka merupakan antara etnik yang amat pakar bertanam padi dan ketika itu dikatakan tiadanya tanah pamah yang sesuai di kawasan Lembah Sungai Matarang dan Kerayan telah memaksa mereka untuk berhijrah sehingga ke kawasan tanah tinggi Bario.


Dan menurut cerita oral masyarakat Kelabit di Bario pula keberadaan mereka di bumi Bario sebenarnya sudah lama berdasarkan kepada satu cerita legenda mereka yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi lain iaitu dihikayat suatu waktu dahulu seluruh manusia di dunia ini sebenarnya tinggal di kawasan tanah tinggi sehinggalah suatu ketika malapetaka telah menimpa bumi yang mana satu banjir besar telah menenggelamkan bumi ini.


Menurut cerita legenda kelabit itu, dikatakan ketika itu ramai umat manusia telah membina pelbagai bentuk bahtera demi mengharungi banjir itu dan satu masyarakat iaitu masyarakat Kelabit dikatakan telah membina bahtera yang terlalu besar serta berat. Akibat daripada saiz bahtera yang besar dan berat, bahtera itu tidak dapat dibawa arus banjir itu sebaliknya mereka tersekat di atas tanah tinggi dan tidak ke mana-mana. Apabila banjir sudah reda, hanya masyarakat Kelabit yang menghuni kawasan tanah tinggi dan akhirnya menjadi masyarakat Kelabit yang satu-satunya menghuni Dataran Tinggi Bario.


Jika dilihat daripada bahasa pertuturan etnik Kelabit, bahasa Kelabit diklasifikasikan sebagai rumpun bahasa Austronesia, Malayo-Polunesian, North Borneo, North Sarawakan, Dayic, Kelabitic. Dan di dalam bahasa kelabit ini sendiri mempunyai dialek-dialeknya tersendiri iaitu Brung, Lepu Potong, Libbung, Long Lellang, Long Peluan, Pa’ Dalih, Pa’ Umor dan Tabun. Dan dikatakan juga bahawa bahasa Kelabit merupakan antara bahasa yang tertua di dunia ini yang pernah dipertuturkan.


Walau bagaimanapun menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kerajaan Sarawak pada tahun 2012 menyatakan bahawa bahasa Kelabit sekarang di ambang kepupusan memandangkan amat sedikit masyarakat etnik Kelabit sendiri yang mempertuturkannya. Didalam laporan itu ada menyatakan bahawa hanya sekitar 1,000 orang etnik Kelabit yang boleh berbahasa Kelabit dengan fasih dan betul dan mereka adalah daripada golongan tua yang mendiami Bario sekarang.


Bagi generasi muda Kelabit yang berada di luar daripada Bario mereka lebih memilih untuk bertutur di dalam bahasa Inggeris dan bahasa yang lain dan bagi mereka yang telah berkahwin campur dengan bangsa-bangsa lain maka bahasa Kelabit itu tidak langsung dijadikan bahasa pertuturan seharian di dalam keluarga mereka.


Etnik Kelabit sejak dahulu lagi sememangnya antara etnik di Sarawak yang pakar di dalam pertanian lebih-lebih lagi penanaman padi Bario iaitu padi yang bermutu tinggi yang hanya dikeluarkan di kawasan tanah tinggi Bario, Sarawak. Selain daripada itu etnik Kelabit juga pakar di dalam memburu binatang di hutan serta menangkap ikan kerana sejak azali lagi itulah kepakaran yang diwarisi daripada datuk nenek mereka.


Di dalam kepandaian mereka ini, etnik Kelabit menurut sejarah lampaunya adalah antara etnik yang digeruni di seluruh Kepulauan Borneo kerana mereka juga antara etnik yang mengamalkan adat tradisi Ngayau iaitu adat memburu kepala di bumi Borneo suatu waktu dahulu. Dan kerana itulah tidak menghairankan sekiranya diwaktu penjajahan Jepun di bumi Sarawak, etnik Kelabit adalah antara etnik yang terawal membantu pasukan Australia yang melancarkan perang gerila ke atas Jepun yang dikenali sebagai Operasi Komando Semut.


Seperti kebanyakan etnik-etnik Dayak di bumi Sarawak yang mempunyai strata sosial, etnik Kelabit juga mempunyai strata sosial yang tersendiri di dalam penghidupan masyarakat mereka. Strata sosial inilah yang menentukan adat warisan dan budaya mereka di dalam perkahwinan mahupun kematian. Strata sosial ini adalah “Paran” iaitu golongan aristokrat tertinggi diikuti oleh “Pupa” iaitu golongan kelas menengah dan yang terakhir sekali adalah “anak lunian” yang merupakan golongan bawahan.


Jika dahulunya etnik Kelabit adalah antara etnik yang menganuti agama pagan atau animisme iaitu mempercayai kepada setiap tanda pada alam untuk melakukan sesuatu seperti tanda daripada binatang seperti burung di dalam menjalankan kehidupan seharian mereka contohnya pembukaan ladang pertanian. Namun setelah kedatangan agama pada tahun 1940an, rata-rata etnik Kelabit sudahpun memeluk agama Kristian. Sejajar dengan waktu dan agama, etnik Kelabit sudah meninggalkan kepercayaan tersebut dan hanya mengikut ajaran Kristianiti di dalam penghidupan mereka seharian.


Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!


bottom of page