FROM KUCHING WITH LOVE
FROM KUCHING WITH LOVE
Jika dahulu mungkin ianya masih diliputi hutan belukar namun sekarang Bandaraya Kuching sudah berubah wajah dengan banyaknya bangunan pencakar langit serta jalinan jalanraya antara Bandar yang baik. Namun begitu walau semoden manapun Bandaraya Kuching ianya tetap lagi mengekalkan norma-norma bandaraya dalam taman dan banyak bangunan sejarahnya masih lagi digunakan malah merupakan salah satu tempat tarikan pelancong yang paling utama di Sarawak.
Melalui catatan sejarah lama telah dinyatakan bahawa Sarawak dahulu adalah salah satu tanah kuripan Kesultanan Brunei Darussalam dan ianya telah diberikan kepada pembesar-pembesar Kesultanan pada waktu itu untuk dijaga. Sejarah juga membuktikan bahawa Kuching (Sekarang) dipanggil Sarawak suatu waktu dahulu dengan awal pembukaannya adalah Gabenor Kesultanan Brunei Darussalam ketika itu iaitu Gabenor Pengiran Indera Mahkota yang mana pada ketika itu sempadan Sarawak hanyalah daripada Sungai Sarawak sehingga ke kawasan Lidah Tanah sekarang.
Kemudian apabila ketibaan James Brooke seorang pengembara British yang membantu Raja Muda Hashim bagi menyelesaikan pemberontakan di Sarawak dan seterusnya mendapatkan Sarawak sebagai habuan dan kemudian beliau menjadi Rajah Putih Pertama Sarawak iaitu pada tahun 1839 sempadan Sarawak sudah pun mengembang dari Sungai Sarawak sehinggalah ke bahagian persisiran barat Tanjung Datu.
Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa Kuching hanya mendapat nama sebagai Kuching sekitar tahun 1872 iaitu atas permintaan Rajah Kedua Sarawak Kingdom iaitu Rajah Charles Brooke yang memerintah Sarawak Kingdom dari tahun 1868 hingga 1917. Sebenarnya ada 3 teori yang dikeluarkan oleh para sejarahwan Sarawak bagaimana Kuching mendapat nama.
Teori Satu:
Jika kita melihat kepada dokumen-dokumen sejarah sewaktu era pemerintahan Rajah Pertama iaitu Rajah James Brooke tiada nama Kuching yang dicatitkan sehinggalah selepas tahun 1872. Ada yang mengatakan bahawa nama Kuching itu sebenarnya berasal daripada satu perkataan yang telah biasa digunakan oleh pembina Empayar Bangsa Eropah suatu masa dahulu iaitu perkataan bahasa Inggeris “COCHIN”.
Makna perkataan Cochin itu adalah merujuk kepada pelabuhan. Kerana suatu waktu dahulu Bandar yang mempunyai pelabuhan akan cepat maju dan menjadi nadi kepada pentadbiran pemerintahan jadi penukaran nama kepada Cochin sebagai ibukota Sarawak Kingdom adalah perlu memandangkan kapasitinya serta kebolehannya serta mempunyai pelabuhan yang besar. Dikatakan setelah beberapa ketika perkataan Cochin ini meresapi di dalam dialek masyarakat tempatan yang akhirnya menukarkannya menjadi perkataan yang lebih senang untuk disebut iaitu Kuching.
Teori Kedua:
Ianya adalah sewaktu zaman pemerintahan Sarawak Kingdom dibawah pemerintahan Keluarga Brooke yang memerintah selama lebih kurang 100 tahun. Umum mengetahui bahawa Rajah Kedua iaitu Rajah Charles Brooke adalah antara rajah yang terbaik di antara ketiga-tiga Rajah Putih Sarawak Kingdom. Kita mengetahui bahawa Rajah Charles Brooke sering melakukan perjalanan jauh dengan belayar ke pedalaman Sarawak ketika itu.
Seringkali apabila beliau singgah ke rumah-rumah panjang di pedalaman, beliau akan memperkenalkan dirinya datang dari Sarawak. Ini sebenarnya tidak membantu beliau untuk cuba berkomunikasi dengan masyarakat pendalaman ketika itu kerana sudah menjadi kebiasaan pada waktu itu setiap individu dikenali melalui tempat tinggalnya dan nama sungai akan menjadi sebutan contohnya dari Sungai Rajang dan sebagainya.
Apabila beliau menyatakan Sarawak ianya amat mengelirukan dan akhirnya beliau memperkenalkan dirinya tinggal di Sungai Kuching. Di manakah Sungai Kuching sekarang? Sungai Kuching yang dimaksudkan merupakan satu aliran sungai kecil yang mengalir ke Sungai Sarawak.
Ianya adalah aliran sungai kecil yang mengalir melalui beberapa mercu tanda Kuching sekarang iaitu liku-likunya melalui Gereja St. Thomas, Wayang Street, Star Cineplex, Tokong Tua Pek Kong dan akhirnya Muzium Sejarah Cina yang terletak di Tebingan Kuching sekarang. Namun begitu pada tahun 1928, Sungai Kuching sudah tidak wujud lagi kerana ianya telah ditimbus bagi memberi ruang kepada pembangunan Bandar Kuching suatu ketika dahulu.
Teori Ketiga:
Ianya berkaitan dengan sejenis haiwan dan juga tumbuh-tumbuhan yang hidup subur di Sungai Kuching. Dikatakan sewaktu dahulu, di Sungai Kuching sering terdapat kelibat-kelibat kucing-kucing liar yang datang untuk bermain mahupun meminum air di kawasan sungai tersebut. Disinilah dikatakan banyak terdapat sebuah pohon yang dinamakan pohon Mata Kucing. Mungkin kerana teori ketiga inilah mengapa haiwan Kucing atau Pusak dalam dialek tempatan Sarawak menjadi ikon kepada Bandaraya Kuching sekarang.
Inilah secebis sumber informasi daripada tentang bagaimana ibukota Sarawak Bumi Kenyalang iaitu Bandaraya Kuching mendapat nama. Kuching begitu unik baik dari segi nama mahupun sejarahnya sejak dahulu lagi dan untuk zaman moden tiada siapa boleh menyangkal bahawa Bandaraya Kuching satu-satunya ibukota di Asia Tenggara yang pentadbirannya diuruskan oleh 2 buah majlis berkuasa tempatan yang dinamakan Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan serta mempunyai 2 Datuk Bandar iatu Datuk Bandar Kuching Utara dan Datuk Bandar Kuching Selatan.
Dan bertepatan dengan pengiktirafannya sekarang sebagai Kuching, Bandaraya Perpaduan kerana tiada siapa yang boleh menandinginya di dalam melestarikan makna kepelbagaian hidup berharmoni walau apa jua bangsa dan agama tetap bersatu padu dibawah pohon bernama Sarawak Bumi Kenyalang.