LEGENDA BATU BUAYA DI PANTAI PUTERI, SANTUBONG, KUCHING
LEGENDA BATU BUAYA DI PANTAI PUTERI, SANTUBONG, KUCHING
Santubong, Kuching Sarawak merupakan salah satu daripada tempat tarikan pelancong bagi Sarawak Bumi Kenyalang. Selain daripada kekayaan bumi Santubong ini yang sudah tentu sering gah kerana ada sebuah cerita legenda rakyatnya iaitu Puteri Gunung Santubong yang terkenal di seluruh Gagasan Malaysia, Santubong juga dikenali kerana adanya sebuah muzium hidup yang dikenali sebagai Kampung Budaya Sarawak yang terletak di kaki Gunung Santubong yang memaparkan penghidupan serta budaya kaum-kaum di Sarawak.
Santubong juga merupakan salah satu daripada tempat tersimpannya khazanah purba bagi Sarawak Bumi Kenyalang seperti kewujudan Bongkisan, Batu Bertanda dan banyak lagi yang telah menunjukkan betapa bumi Santubong merupakan salah satu tempat terpenting untuk sejarah Sarawak kuno suatu waktu dahulu. Untuk genre Legenda Bumi Kenyalang kali ini Borneo Oracle akan berkongsi satu cerita legenda iaitu ianya berkaitan secara langsung dengan kewujudan sebuah batu yang menyerupai kepala buaya yang berada di Pantai Puteri, Santubong, Kuching, Sarawak.
Di dalam mengupas cerita legenda batu buaya ini sudah tentu tidak dapat tidak kita akan memulainya dengan beberapa nama individu yang sering dikaitkan dengan beberapa cerita sejarah Santubong kuno. Sudah tentu terdapat banyak versi penceritaaan legenda batu buaya ini kerana tiada maklumat sahih mengenai kenapa ianya begitu melainkan kawasan bernama Batu Buaya banyak disebut-sebut di dalam sejarah purba Sarawak.
Sejarah Datu Merpati Jepang Dan Batu Buaya, Santubong
Menurut cerita lisan orang-orang tua tempatan di Santubong keberadaan batu buaya di pantai Santubong sebenarnya berkait rapat dengan seorang individu tersohor suatu waktu dahulu iaitu Datu Merpati Jepang. Datu Merpati Jepang ini merupakan pemimpin di dalam sebuah kerajaan purba iaitu Kerajaan Santubong yang pernah wujud sekitar kurun ke-15 di bumi Sarawak.
Datu Merpati Jepang yang merupakan seorang putera Majapahit yang melarikan diri setelah berlakunya perebutan kuasa di Langka Putra di Pulau Jawa. Apabila beliau diusir oleh nendanya beliau telah pergi mengembara ke Johor, Sukadana, Sambas dan Tanjung Datu. Di Johor, beliau telah berkahwin dengan puteri Raja Jarom iaitu antara kerabat diraja Kesultanan Johor pada waktu itu.
Selesai majlis perkahwinannya beliau telah meneruskan pengembaraannya sehingga ke Tanjung Datu dan ketika itulah beliau dikatakan telah membantu Datuk Kuli atau Datuk Kuali yang terdampat di sebuah tanjung. Kerana merasa terhutang budi, Datuk Kuli telah menawarkan agar Datu Merpati Jepang tinggal di persisiran pantai Sarawak dan tawaran itu diterima oleh Datu Merpati Jepang memandangkan di ketika itu isterinya iaitu Datu Permaisuri sedang sarat mengandung 9 bulan dan pada bila-bila masa sahaja boleh melahirkan anak.
Apabila memikirkan keadaan isterinya itulah dikatakan Datu Merpati Jepang telah memilih satu tempat di persisiran pantai Sarawak iaitu Pasir Kuning iaitu nama lama Santubong kerana dari kejauhan pantai Santubong bersinar kekuningan diterangi cahaya rembulan di waktu malam. Keesokan harinya setelah Datu Merpati Jepang naik ke darat berkenalan dengan ketua penduduk tempatan Pasir Kuning dan ternyata kedatangan beliau dialu-alukan oleh masyarakat tempatan Pasir Kuning.
Setelah kata persetujuan diambilkira maka barulah Datu Merpati Jepang membawa seluruh anak kapal berserta isterinya Datu Permaisuri naik ke darat iaitu ketika matahari sudah pun tegak di kepala yang menandakan ianya sudah masuk tengahari. Maka bertitahlah dia kepada pengikutnya untuk segera mendirikan tempat berteduh di tepi pantai agar mereka semua boleh berehat sambil memikirkan tindakan seterusnya.
Apabila masuk waktu untuk mengerjakan solat zohor, Datu Merpati Jepang dikatakan telah mendirikan solat zohornya di tepi pantai dan ketika itulah kelihatan sepasang buaya betina dan jantan sedang di dalam proses untuk berpasangan-pasangan. Aktiviti kedua-dua buaya itu telah menganggu konsentrasi Datu Merpati Jepang untuk bersolat dan selesai bersolat beliau merasa sangat marah dan akhirnya beliau telah menetak salah seekor daripada buaya tersebut dengan sebilah parangnya maka bercerailah kepala dan badan buaya tersebut.
Akibat kemarahan itu jugalah Datu Merpati Jepang juga telah menyumpah kepala buaya tersebut menjadi batu. Ini adalah salah satu daripada versi sastera rakyat bagi menggambarkan legenda batu buaya dengan keadaan Datu Merpati Jepang iaitu salah satu daripada pengasas sebuah kerajaan purba di Santubong yang dinamakan Kerajaan Santubong.
Puteri Santubong Puteri Sejinjang Dan Batu Buaya, Santubong
Nama Batu Buaya, Santubong juga disebut di dalam Legenda Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang yang mana ianya berkait rapat dengan diawal pertemuan Puteri Santubong, Puteri Sejinjang dan 5 orang lagi saudara lelaki mereka yang dikatakan merupakan putera-puteri dari Kesultanan Brunei. Dikatakan mereka merupakan 7 bersaudara yang telah melarikan diri daripada Kerajaan Kesultanan Brunei kerana komplot pembunuhan ayahanda mereka.
Di dalam pelarian tersebut menggunakan bahtera mereka telah berhenti sekejap di kawasan yang dinamakan Batu Buaya, Santubong. Di dalam mereka melepaskan lelah itu, ternyata kelima-lima putera Kerajaan Brunei ini telah sepakat untuk meninggalkan adinda mereka yang perempuan iaitu Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang dii kawasan tersebut dan akhirnya mereka menemui tempat untuk berteduh secara kekal iaitu Gunung Santubong.
Kemudian saudara-saudara lelaki Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang meneruskan pengembaraan mereka sehingga ke Tanah Melayu. Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang yang kedua-duanya sama cantik telah bertingkah sesama sendiri sehingga dikenakan hukuman. Ini merupakan kaitan nama Batu Buaya , Santubong di dalam cerita Legenda Puteri Santubong dan Puteri Sejinjang yang merupakan salah satu legenda yang terkenal di Gagasan Malaysia.
Sultan Tengah Dan Batu Buaya, Santubong
Umum mengetahui bahawa terdapat satu makam diraja yang terletak di kaki Gunung Santubong sekarang iaitu Makan Sultan Tengah iaitu sultan pertama dan terakhir Kesultanan Sarawak Darulhana. Sultan Tengah ini merupakan adinda kepada Paduka Sri Sultan 'Abdu'l Jalil ul-Akbar ibni al-Marhum Sultan Muhammad Hassan, Sultan Negara Brunei suatu waktu dahulu.
Akibat tidak mahu adanya perebutan kuasa, Sultan Abdul Jalil Akbar telah menghadiahkan Sarawak kepada adindanya. Sultan Tengah yang terkenal dengan sifat suka mengembaranya telah meneruskan pengembaraan negara-negara luar seperti di Pahang, Johor, Sukadana, Sambas sehingga akhirnya di Matan. Setelah beberapa tahun tinggal di Matan, Sultan Tengah kembali semula ke Sarawak. Setelah kembali ke Sarawak, baginda berhenti di suatu tempat bernama Batu Buaya, Santubong. Di sanalah baginda dibunuh oleh salah seorang pengikutnya iaitu ketika beliau sedang tidur .
Ketika berita kemangkatannyanya tersebar, Datu Patinggi, Datu Shahbandar, Datu Amar dan Datuk Temenggong datang ke Santubong untuk menyelesaikan upacara pengebumian mengikut adapt istiadat Diraja Brunei. Dikatakan bahawa baginda mangkat pada tahun 1641, sekitar 10 tahun selepas anakanda baginda, Radin Sulaiman menjadi Sultan Muhammad Saifuddin I di Sambas.
Inilah cerita legenda Batu Buaya, Santubong, Kuching Sarawak yang mana ianya telah menjadi salah satu daripada mercu tanda beberapa kisah-kisah legenda yang berkaitan secara langsung dengan sejarah Sarawak purba suatu waktu dahulu. Batu Buaya ini kekal gah di tepi pantai Santubong dan keadaannya yang berbentuk seolah-olah kepala buaya akan tetap menjadi misteri.