top of page

PERANG BARITO 1859


PERANG BARITO 1859

- Perang Dayak Borneo + Orang Banjar Vs Koloni Belanda


Kerajaan Kesultanan Banjar merupakan salah satu empayar kerajaan yang agak luas jajahan takhluknya suatu waktu dahulu di Borneo dan di dalam sejarah juga menyatakan bahawa kerajaan ini bukan sewenang-wenangnya menyerahkan empayarnya untuk menerima pengaruh Kolonial Belanda di dalam pemerintahannya. Oleh kerana itulah banyak rangkaian perang yang telah dilancarkan oleh mereka di dalam menentang Kolonial Belanda suatu waktu dahulu. Salah satunya adalah satu perang yang dinamakan Perang Barito yang berlaku pada tahun 1859.


Apa yang menjadikan sejarah perang ini unik yang wajar untuk kita mengetahuinya adalah kerana Perang Barito ini merupakan satu perang yang dilancarkan oleh masyarakat Banjar yang bergabung utuh dengan masyarakat pribumi Dayak Borneo menentang penjajahan Kolonial Belanda di Kalimantan pada waktu itu. Di ketika inilah masyarakat Dayak Borneo telah bersatu hati bersama-sama menentang petualang kepada tanahair mereka daripada dijajah oleh Kolonial Belanda walaupun hakikatnya Kolonial Belanda mempunyai barisan senjata dan pertahanan yang lebih moden berbanding dengan mereka.


Perang Barito ini meletus apabila sebuah kapal milik Kolonial Belanda iaitu Ontrust telah berjaya ditenggelamkan melalui taktik tipu helah. Pada ketika itu dikatakan bahawa Pangeran Antasari iaitu salah seorang pahlawan Kerajaan Kesultanan Banjar sudahpun memperkukuhkan pertahannya di Daerah Dusun Atas iaitu satu permukiman bagi suku Dayak Siang. Pemimpin suku Dayak Siang iaitu Tumenggung Surapati menjalinkan kerjasama yang erat dengan Pangeran Antasari. Tanpa Kolonial Belanda mengetahui kesepakatan itu dan tanpa curiga telah menjemput Tumenggung Surapati dan beberapa orang pemuda Dayak Siang untuk naik ke kapal Ontrust. Tujuan mereka adalah untuk menunjuk-nunjuk kepada Tumenggung Surapati tentang kehebatan senjata perang yang mereka miliki.


Pada tanggal 26 Disember 1859 itu, Tumenggung Surapati dan anak buahnya telah bertemu di Ontrust dan di dalam kealpaan Van Del Velde iaitu Komandan Ontrust, mereka telah menyerang keseluruhan kapal Ontrust itu. Temenggung Surapati sendiri telah menghunus mandaunya dan melakukan ngayau ke atas Leftenan Bangert maka bercerailah kepala dari badan untuk pemimpin tentera Kolonial Belanda itu. Ibon iaitu putera Temenggung Surapati yang juga terkenal antara pahlawan suku Dayak sudah siap siaga menunggu di sisi kapal Ontrust. Dikala jeritan “serang” dilaungkan maka bertingkahlah Temenggung Surapati dan pahlawan-pahlawan Dayak yang lain di atas kapal Ontrust dan ramailah yang terkorban di pihak Kolonial Belanda ketika itu.


Diceritakan juga sebelum mereka berjaya menenggelamkan Kapal Ontrust, Tumenggung Surapati dan pahlawan-pahlawan Dayak yang bersamanya telah berjaya mengambil senapang dan senjata api yang lain seperti meriam untuk dibawa ke mukim Dusun Atas. Dengan bahan api yang ada di atas Kapal Ontrust itu juga digunakan untuk menenggelamkan kapal tersebut. Kejadian ini menyebabkan pihak Kolonial Belanda menjadi berang dan berikrar akan membalas segala perbuatan yang dilakukan oleh Tumenggung Surapati dan Pangiran Antasari itu.


Bila Kolonial Belanda berjaya dikalahkan melalui penenggelaman Kapal Ontrust itu ianya seperti pembakar semangat kepada seluruh masyarakat pribumi Dayak dan orang-orang Banjar pada ketika itu sehingga memungkinkan mereka bersumpah taat setia untuk menghalau penjajahan Kolonial Belanda di bumi mereka sehingga hujung nyawa. Dan bagi pihak Belanda yang berang atas kekalahan itu telah mengistiharkan perang habis-habisan ke atas masyarakat Dayak dan juga orang Banjar dengan di seluruh Daerah Barito pada ketika itu dan arahan yang diberikan kepada tentera mereka adalah untuk membunuh seramai yang mungkin suku Dayak dan orang Banjar.


Pada tanggal 27hb Januari 1860, Kolonial Belanda telah menghantar angkatan perang mereka ke Barito dengan didahului oleh sebuah kapal perang bernama Suriname dan Boni. Dengan segala kelengkapan yang lengkap dan moden bersama-sama dengan tentera yang seramai 300 orang yang cukup terlatih di dalam ilmu perang juga turut bersama-sama di dalam angkatan perang Kolonial Belanda ini. Masyarakat Dayak di Barito diketuai oleh Tumenggung Surapati dan juga orang-orang Banjar dibawah Pangeran Antasari telah siap siaga menunggu ketibaan angkatan perang Kolonial Belanda ini di tepi Sungai Barito.


Ketika angkatan perang Belanda baru sahaja berlabuh tanpa mereka sedari pihak Tumenggung Surapati dan Pangeran Antasari telah terlebih dahulu melancarkan das meriam mereka ke atas Kapal Suriname. Dan tembakan meriam itu mengenai bahagian rabung kapal sehingga menyebabkan ianya runtuh dan ramailah tentera-tentera serta kelengkapan Kapal Suriname yang tenggelam ke dasar Sungai Barito. Kapal Boni yang cuba untuk menyerang balas juga turut sama menerima nasib yang sama namun kerosakan mereka tidaklah seteruk Kapal Suriname sehingga mereka berjaya belayar melarikan diri sehingga ke Leogong.


Umpama dahagakan darah tentera Kolonial Belanda, pasukan pahlawan dayak pimpinan Tumenggung Surapati dan orang-orang Banjar dibawah Pangeran Antasari telah menjejak angkatan tentera Kolonial Belanda sehingga ke Leogong jua. Dikatakan sebelum pasukan mereka ini sampai, angkatan tentera Kolonial Belanda telah terlebih dahulu membuat onar di Leogong. Hampir kesemua perkampungan Dayak di Leogong dibakar dan dimusnah malah penduduk kampung yang majoritinya daripada masyarakat Dayak juga turut dibunuh. Perkhabaran ini telah membuatkan Tumenggung Surapati dan seluruh masyarakat Dayak Borneo semakin membenci Kolonial Belanda.


Di ketika angkatan perang Tumenggung Surapati dan Pangeran Antasari tiba di Leogong, angkatan perang Kolonial Belanda sudahpun melarikan diri dan dengan jerit perih melihat anak bangsa Dayak yang tidak berdosa dibunuh oleh angkatan perang Kolonial Belanda di Leogong itulah, Tumenggung Surapati dan Pangeran Antasari telah sekali lagi membina kubu pertahanan di Leogong. Di ketika itu dikatakan bahawa ramai lagi masyarakat Dayak daripada suku Dayak yang berlainan telah bersatu dengan mereka sehingga membuatkan angkatan perang mereka semakin besar dan kuat. Ianya menjadi kebimbangan kepada Kolonial Belanda pada ketika itu.


Pada 22hb Februari 1860, tanpa kenal lelah sekali lagi Kolonial Belanda telah menghantar angkatan perang ke Leogong. Kali ini kapal perang bernama Celebes dan Monterado turut serta untuk memusnahkan benteng pertahanan masyarakat Dayak di bawah Temenggung Surapati dan Orang-orang Banjar dibawah Pangeran Antasari. Pada kali ini, pihak angkatan perang Belanda lebih bersedia dengan sebarang kemungkinan pada serang hendap. Maka terjadilah satu perang yang amat dahsyat pernah berlaku di bumi Barito pada ketika itu.


Pertempuran ini berlaku samada di air dan juga darat dan dengan jumlah tentera yang ramai di pihak angkatan perang Kolonial Belanda serta masyarakat Dayak dibawah pimpinan Tumenggung Surapati yang sudah tentu terkenal dengan kepahlawanan mereka telah memungkinkan ramai yang terkorban. Namun begitu kerana adanya bantuan daripada Kapal Celebes yang mampu melancarkan tembakan meriam yang lebih jauh menyebabkan ramai antara pahlawan Dayak dan juga Orang-orang Banjar yang terkorban.


Menurut cerita legenda masyarakat Dayak di ketika Perang Barito itu berlangsung ada beberapa panglima Dayak yang tangkas dan penuh kesaktian telah turun membantu masyarakat Dayak pada masa itu dan ketibaan mereka daripada tempat suci mereka telah membuatkan masyarakat Dayak pada ketika itu begitu kuat. Antara yang dikatakan turut muncul membantu adalah beberapa nama legenda panglima perang Dayak yang magis seperti Panglima Palai, Panglima Api, Panglima Angsa, Panglima Hujan Panas dan juga 2 panglima perang wanita yang dikenali dengan nama Panglima Burung dan Panglima Api.


Walaupun kuatnya angkatan tentera daripada pihak Tumenggung Surapati dan juga Pangeran Antasari ketika itu namun mereka juga berada di pihak yang kalah. Kekalahan bukannya terletak pada teknologi senjata moden yang ada pada angkatan perang Kolonial Belanda namun sebaliknya yang menjadi titik kelemahan adalah apabila adanya suku Dayak yang lain yang telah menjadi “api dalam sekam” di dalam angkatan perang mereka. Dikatakan bahawa masyarakat Dayak Maanyan Sihong dibawah pimpinan Suta Ono, Dayak Maanyan Patai dibawah pimpinan Tumenggung Jelan dan Dayak Katingan telah berpaling tadah dan menyokong Kolonial Belanda menentang angkatan perang pimpinan Tumenggung Surapati dan Orang-orang Banjar pimpian Pangeran Antasari.


Akibat kekalahan itu, Pangeran Antasari dengan seluruh keluarga serta orang-orang Banjar yang menyokong beliau telah ditangkap dan dihukum penjara serta dibuang daerah ke Tondano. Manakala seluruh keturunan Tumenggung Surapati juga turut ditangkap dan dibuang daerah ke Bengkulu. Tumenggung Surapati sendiri dipenjara sama seperti Pangeran Antasari. Selepas penangkapan itulah barulah bumi Barito tidak berada di dalam kancah perang lagi dan Kolonial Belanda terus mengukuhkan pengaruhnya di Daerah Barito.


Inilah satu sejarah di dalam menceritakan satu perang yang panjang antara masyarakat Dayak Borneo bersama-sama dengan Orang-orang Banjar menentang penjajahan Kolonial Belanda di bumi Kalimantan suatu waktu dahulu. Satu sejarah perang yang penuh epik dan legenda di dalam memperkatakan keperkasaan dan kesatuan masyarakat didalam mempertahankan tanahair mereka daripada terus dijajah. Walau tanpa senjata yang moden seperti angkatan perang bangsa Eropah, namun keperkasaan dan semangat mereka itu telah menidakkan segala peralatan moden yang ada pada ketika itu.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!

bottom of page