SARAWAK KINGDOM DAN PERANG DUNIA KE-2
SARAWAK KINGDOM DAN PERANG DUNIA KE-2
Sewaktu meletusnya Perang Dunia ke-2, Sarawak Kingdom sebenarnya tidak mempunyai keupayaan tentera yang cukup kuat bagi menghadapi peperangan tersebut. Pada ketika itu Rajah Charles Vyner Brooke, rajah ke-3 Sarawak Kingdom hanya bergantung sepenuhnya kepada perjanjian Artikel 8 yang ditandatangani pada tahun 1888. Menurut perjanjian tersebut Sarawak Kingdom, North Borneo dan Brunei merupakan Negara perlindungan (Protectrate Country) kepada Kerajaan Koloni Mahkota British.
Berdasarkan kepada perjanjian itu juga, Great Britain telah menghantar askar-askar dan bantuan peralatan peperangan untuk menyokong pertahanan Sarawak pada tahun 1930-an. Pada tahun 1937 Tentera Udara Diraja Great Britain yang dikenali sebagai RAF 205 telah berpengkalan di Kuching. Ini adalah satu skuadron pesawat laut terdiri daripada Bot Terbang Walrus. Bagaimanapun, pasukan ini ditarik balik dalam 1941 dan kembali ke Singapura.
Dengan hanya bergantung kepada 1 skuadron udara yang diberikan oleh Great Britain, Rajah Charles Vyner Brooke dengan hasil usahanya telah memulakan kerja-kerja pembinaan padang lapangan terbang di lokasi yang dirasakan strategik seperti di Kuching, Oya, Mukah, Bintulu dan Miri. Pada awal tahun 1938 kesemua padang lapangan terbang ini siap sepenuhnya kecuali Bintulu yang disiapkan pada Oktober 1938 atas sebab kekurangan tabung kewangan.
Tanggal 26 September 1938, Lapangan Terbang Kuching yang berukuran 700 meter panjang dan 300 meter lebar dibuka dengan rasminya. Tetapi malangnya kesemua penat lelah Sir Charles Vyner Brooke tidak berbaloi kerana pada tahun 1941 sejajar dengan keputusan Persidangan Singapura pada tanggal Oktober 1940, kesemua bantuan ini ditarik balik kerana Great Britain memerlukan kesemua batalionnya untuk mempertahankan Singapura dan Tanah Melayu yang merupakan tanah jajahan Koloni British sendiri.
Tanpa pasukan tentera udara mahupun laut untuk mempertahan Sarawak Kingdom, Rajah Charles Vyner Brooke tidak mempunyai pilihan selain melaksanakan “Dasar Bumi Hangus” iaitu sekiranya peperangan berlanjutan dan Sarawak Kingdom menghadapi kekalahan maka hendaklah segala infrastruktur ekonomi seperti pelantar minyak dan gas, jambatan dan sebagainya dimusnahkan bagi mengelak pihak musuh sewenang-wenangnya menggunakan kemudahan tersebut. Pada ketika itulah, Sarawak Kingdom melalui Rajah Charles Vyner Brooke hanya boleh bersandarkan kepada bantuan peperangan darat bagi mempertahankan bumi Sarawak dan seterusnya melakukan “Dasar Bumi Hangus” di Sarawak.
Bersimpati dengan nasib Sarawak Kingdom yang ditidakkan haknya menurut perjanjian Artikel 8 1888, bantuan daripada Sir Robert Brooke Popham, Panglima Besar Timur Jauh, amat dialu-alukan oleh Rajah Charles Vyner Brooke pada ketika itu. Atas usaha Sir Robert Brooke Popham inilah pada akhir tahun 1940, beliau mengarahkan Batalion Kedua, Regiment Punjab Yang Ke-15, bateri meriam berat 6-inch dari Artileri Diraja Hong Kong-Singapura, dan Kompani Kubu Ke-35 (Jurutera diraja) untuk ditempatkan di Kuching.
Pada Disember 1940 sebuah kompeni Punjab 2/15th telah dihantar ke Miri untuk melindungi bumi Miri dari penceroboh. Pada Mei 1941 baki tentera Punjab 2/15th telah sampai di Miri untuk menyediakan satu pasukan tentera darat. Batalion tunggal ini mengandungi kira-kira 1,050 orang askar yang cekap dibawah perintah Mejar CM Lane.
Miri Detachment yang diletakkan di Miri terdiri daripada 2 pegawai dan 98 pangkat lain-lain melalui Rejimen Punjab 2/15, Artileri Diraja Hong Kong-Singapura dan 1 Platun Jurutera Diraja. Askar-askar ini ditugaskan dengan memusnahkan Telaga Minyak Miri. Pasukan Kuching yang terdiri daripada 1 pegawai dan 52 pangkat lain melalui 6 Platun infantri Rejimen 2/15 Punjab ditugaskan untuk melewatkan musuh di Lapangan Terbang Bukit Stabar di luar Kuching.
Di samping itu, Kerajaan Brooke menggerakkan Renjer Sarawak. Pasukan ini mengandungi 1,515 orang separa tentera yang terlatih terutamanya dari Penjejak Iban dan etnik yang lain. Kesemua mereka sememangnya sudah dilatih dalam seni pertempuran hutan yang dipimpin oleh kakitangan perkhidmatan Awam Eropah Sarawak Kingdom. Leftenan Kolonel British CM. Lane yang memerintah batalion tersebut telah menyusun semula semua pasukan di Sarawak, yang termasuk Pasukan Sukarelawan anak negeri, Perkhidmatan Laut Pantai, polis bersenjata dan satu pasukan askar anak negeri yang dikenali sebagai Renjer Sarawak. Secara keseluruhannya, 2,565 orang tentera yang dikenali sebagai "SARFOR" (SARAWAK FORCE).
Pada ketika perang dunia ke-2 ini juga, Rajah Charles Vyner Brooke telah mengeluarkan arahan bahawa semua Kakitangan Perkhidmatan Awam termasuk pegawai Eropah yang berkhidmat di daerah-daerah kecil di Sarawak untuk tidak meninggalkan daerah pentadbiran mereka dan jangan sesekali membiarkan penduduk-penduduk tempatan Sarawak terkial-kial sendirian menghadapi musuh. Mereka hendaklah bersatu dan bersama-sama mempertahankan bumi Sarawak daripada serangan penceroboh.
Kemuncak kepada segala persediaan perang dunia ke-2 ini adalah apabila pada tanggal 7 Disember 1941, pengeboman Pelabuhan Pearl oleh pihak musuh telah mendesak Kerajaan Sarawak Kingdom mengeluarkan perintah kemusnahan yang lengkap dan sempurna kepada ke semua telaga minyak dan lapangan terbang di Miri. Pada 8 Disember 1941, arahan bagi memusnahkan kilang penapis di Lutong dan penafian telaga minyak sampai kepada pegawai memerintah di Miri. Pada sebelah petangnya juga di hari yang sama tugas itu berjaya disempurnakan.
Lapangan terbang Miri dimusnahkan pada 9 Disember 1941 dan berakhirlah kesemua tugas-tugas Operasi bumi hangus di Miri. Pada 13hb Disember 1941, Unit tentera Punjab dan pegawai syarikat minyak mula meninggalkan Miri menuju ke Kuching dengan jalan laut. Kesemua ini dilakukan bagi memastikan pihak Jepun tidak akan mudah untuk menggunakan segala kemudahan Sarawak Kingdom yang ada.
Pada tanggal 16 Disember 1941, Tentera Jepun telah mendarat di Miri, Sarawak dengan menggunakan pasukan laut mereka dari Cam Ranh, Vietnam. Kemudian pasukan tentera Jepun ini berpecah kepada dua iaitu satu pasukan besar mara ke Kuching dan Sibu dan satu pasukan lagi mara ke Labuan dan Sandakan samada dengan jalan laut mahupun jalan darat.
Dengan mendaratnya Jepun di bumi Sarawak, maka Sarawak dibawah pemerintahan Rajah Charles Vyner Brooke hanya bergantung kepada batalion darat untuk mempertahankan Sarawak melalui Batalian Askar Punjabi, Sarawak Renjer dan SARFOR. Diceritakan Batalion Askar Punjabi, Sarawak Rangers dan SARFOR telah cuba mempertahankan Kuching sehingga ke titisan darah yang terakhir dan pertempuran mereka dengan tentera Jepun hanya di dalam tempoh 48 jam sahaja di Kuching. Pada ketika itu walaupun di dalam jumlah yang sedikit berbanding dengan jumlah tentera Jepun, mereka berjuang apa adanya. Akhirnya apabila mereka menyerah dan mengangkat senjata, barulah Kuching dan seluruh wilayah Sarawak menjadi jajahan takluk Jepun.
Sesungguhnya Sarawak Kingdom walaupun mempunyai keupayaan yang minima berbanding dengan tentera Jepun telah memberikan apa yang mereka mampu untuk mempertahankan tanahair Sarawak pada masa itu. Sememangnya kekalahan di pihak Sarawak itu sudah diduga lebih awal tetapi menyerah dengan mudah juga bukan satu pilihan.