top of page

ADAT ISTIADAT PERKAHWINAN ETNIK BIDAYUH, SARAWAK


ADAT ISTIADAT PERKAHWINAN ETNIK BIDAYUH, SARAWAK


Etnik Bidayuh merupakan kaum etnik pribumi Sarawak Bumi Kenyalang yang kedua terbesar jumlahnya selepas etnik Iban. Seperti masyarakat etnik pribumi Sarawak yang lain, etnik Bidayuh juga tidak kurang dengan keunikan budaya dan adat resamnya dan antaranya adalah adat resam perkahwinan mereka.


Bagi memahami adat istiadat perkahwinan etnik Bidayuh, sesuatu yang mewajarkan kepentingan perkahwinan itu adalah iaitu perkahwinan ini akan menjadi satu wadah bagi menjadi anggota sesebuah “Biik” atau “Ramin” dan disamping itu apabila sudah menjadi anggota di dalam “Biik” atau “Ramin” itu maka sudah tentu akan dapat menikmati haknya. Difahamkan bahawa etnik Bidayuh hanya mengamalkan monogami sahaja namun perkahwinan semula selepas berlakunya sesuatu penceraian adalah satu perkara yang normal di dalam masyarakat ini.


Walau bagaimanapun, perkara yang harus dititikberatkan di dalam perkahwinan Bidayuh adalah perkahwinan yang diluar daripada keluarga sendiri seperti larangan perkahwinan antara sepupu. Bagi masyarakat etnik Bidayuh Selako pula, perkahwinan dengan anggota kaum yang pernah menjadi musuh perang adalah dilarang sama sekali kerana khuatir termakan sumpah. Namun begitu sekiranya ada diantara nenek moyang mereka yang sudah mempunyai ikatan perkahwinan dengan musuh perang mereka terdahulu maka secara automatik larangan ini termansuh.


Masyarakat Bidayuh sebenarnya agak terbuka di dalam soal jodoh anak-anak mereka. Anak-anak mereka bebas untuk memilih siapa gerangan yang dicintai kerana merekalah yang nanti akan melayari bahtera perkahwinan bersama-sama. Dari sini satu keunikan yang membezakan adapt istiadatnya apabila tiada adat merisik di dalam masyarakat Bidayuh dan perkahwinan biasanya berlaku apabila seseorang itu sudah cukup dewasa atau akal baligh dan sudah memilih calon yang sesuai untuk dijadikan suami atau isteri.


Jika dahulu, bakal mentua biasanya inginkan calon pasangan anak-anak mereka yang kuat dan boleh bekerja di ladang tetapi sejajar dengan dunia moden sekarang, calon suami hendaklah seorang yang mempunyai pekerjaan tetap samada bekerja di sektor awam mahupun swasta. Semua ini dilakukan bagi memastikan bahawa kehidupan bakal isteri dan keturunan mereka nanti akan terjamin hidupnya.


Etnik Bidayuh juga dikatakan tidak menghalang sekiranya pasangan yang disukai oleh anak-anak mereka adalah daripada kaum-kaum yang lain. Inilah konsep keterbukaan yang ada pada masyarakat Bidayuh yang jarang-jarang terdapat di dalam etnik pribumi Sarawak yang lain. Sebenarnya adat istiadat perkahwinan masyarakat Bidayuh dilakukan berbeza mengikut sub etnik mereka sendiri.


Bagi Bidayuh daripada sub-etnik Selako, Jagoi dan Lara, perkahwinan kebiasaannya didahului dengan pertunangan. Ianya akan menjadi pertunangan yang rasmi apabila teruna dan dara bertukar-tukar cincin pertunangan antara satu sama lain dengan bersaksikan keluarga kedua-dua belah pihak.


Di dalam tempoh pertunangan inilah teruna dan dara akan cuba mengenal pasangan masing-masing dengan lebih rapat lagi dan sekiranya tiada masalah maka perkahwinan boleh dilangsung. Tiada had tempoh untuk masa bertunang asalkan kedua-dua teruna dan dara sudahpun bersedia untuk menempuh alam perkahwinan.


Jika kata sepakat sudah diambil oleh teruna dan dara maka perkahwinan bolehlah diteruskan. Untuk itu sebenarnya majlis perkahwinan di dalam masyarakat Bidayuh bergantung kepada kemampuan ekonomi keluarga kedua-dua pengantin. Sekiranya keluarga teruna lebih berkeupayaan untuk mengadakan perkahwinan yang besar-besaran maka ianya tidak menjadi masalah kepada keluarga si dara dan sekiranya keluarga si dara yang berkemampuan ianya juga tidak menjadi masalah yang besar kepada keluarga si teruna. Kemuafakatan kedua-dua keluarga di dalam halatuju meriahnya majlis itu yang sangat dititik beratkan.


Bagi penentuan tempat tinggal selepas berkahwin juga tidak menjadi satu perkara yang besar di dalam masyarakat Bidayuh kerana pasangan suami-isteri boleh memilih dimana mereka hendak tinggal samada dengan keluarga suami atau keluarga isteri. Ataupun sekiranya pasangan suami-isteri telah stabil mereka berhak untuk memilih hidup berdikari iaitu diluar daripada kepompong keluarga masing-masing.


Terdapat beberapa adat yang menentukan bahawa perkahwinan itu harus dilakukan iaitu:


“Adat “Batangkap”


Ini adalah satu adat yang mana apabila ada pasangan lelaki dan perempuan yang kerap dilihat berdua-duaan tanpa hubungan yang sah. Masyarakat Bidayuh Selako adalah antara yang melarang pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Apabila ini terjadi maka pasangan lelaki dan wanita ini akan dihadapkan untuk pengadilan pemimpin kampung.


Pemimpin kampung merupakan Penghulu atau Ketua Adat di dalam sesuatu kampung itu akan bertanya kepada pasangan ini samada mereka bersetuju untuk dikahwinkan. Sekiranya setuju maka perkahwinan akan diadakan mengikut upacara perkahwinan mereka setelah dikenakan denda kerana melanggar adat dijelaskan.


Amat jarang sebenarnya pasangan yang “Batangkap” ini tidak mahu mengesahkan perhubungan mereka kerana kebiasaannya pasangan yang dikenakan “Batangkap” ini adalah pasangan yang hubungan mereka mendapat tentangan daripada keluarga mereka. Apabila “Batangkap” ini digunapakai keluarga mereka tidak mempunyai jalan lain selain dipaksa bersetuju untuk merestui perkahwinan mereka ini nanti.



“Nyagam”


Ini adalah satu adat yang mana bakal suami telah menyerahdiri kepada keluarga bakal isteri dengan membawa segala barangan keperluannya seperti tikar, bantal ke rumah keluarga bakal isteri. Adalah perlu untuk keluarga bakal isteri mengahwinkan pasangan ini setelah mendapat persetujuan daripada bakal isteri itu sendiri.


Amat jarang adat ini digunakan kerana ianya meletakkan ego seorang lelaki pada pihak keluarga perempuan namun sekiranya tiada jalan lain mungkin adat ini akan digunapakai sekiranya hati sudah kemaruk cinta. Kebiasaannya "Nyagam" ini dibuat oleh lelaki duda ataupun balu.



“Tentu adat”


Ini adalah satu-satunya adat yang paling sempurna di dalam perkahwinan masyarakat etnik Bidayuh kerana inilah adat perkahwinan yang melibatkan pengetahuan dan peranan serta perancangan oleh kedua-dua belah pihak teruna dan dara. Perkahwinan yang beradat ini kadangkala diwakili oleh “Picara” atau orang perantaraan yang akan mewakili pihak teruna. Picara yang dilantik ini akan membuat segala komunikasi dan perbincangan dengan keluarga pihak dara dan sekiranya semua pihak telah memberi persetujuan maka masa yang sesuai untuk perkahwinan akan ditetapkan.



Sesungguhnya terlalu unik adat istiadat perkahwinan bagi setiap etnik di Sarawak dan disinilah kita akan mengenal keindahan tradisi dan warisan nenek moyang kita di dalam memperjelaskan maksud berkeluarga.



bottom of page