ETNIK NAROM, SARAWAK, BORNEO
ETNIK NAROM, SARAWAK, BORNEO
Mungkin ramai yang tidak pernah mengenali etnik ini kerana amat kurang sumber informasi mengenai mereka. Namun begitu etnik minoriti ini sebenarnya adalah pembentuk kepada masyarakat Melayu di Sarawak semenjak Sarawak di zaman pemerintahan 100 tahun keluarga Brooke lagi. Ini kerana sejak dari dahulu lagi sudah menjadi dasar pentadbiran Brooke akan mengklasifikasikan mana-mana etnik yang telah memeluk Islam akan dikategorikan sebagai masyarakat Melayu Sarawak walaupun pada dasarnya sejarah keturunan mereka adalah daripada etnik pribumi Sarawak itu sendiri seperti etnik-etnik Dayak Sarawak yang mempunyai banyak sub-sub etnik yang membentuknya.
Dan kerana itulah sejarah etnik Narom ini amat unik kerana dikatakan susur galur asal keturunan mereka adalah merupakan pecahan kepada etnik Kenyah yang dikategorikan sebagai Kaum Orang Ulu Sarawak sekarang. Suatu waktu dahulu mereka tinggal di rumah-rumah panjang seperti juga etnik Kenyah dan budaya mereka juga sama dengan etnik Kenyah. Mereka juga antara yang terkenal dengan kepahlawan di dalam Perang Ngayau iaitu perang perluasan wilayah bagi etnik-etnik Dayak di Sarawak.
Ini dapat dibuktikan apabila di dalam sejarah Sarawak juga mencatitkan bahawa Etnik Narom pada sekitar tahun 1899 juga menghantar pahlawan dan perahu mereka untuk sama-sama bertanding di Regatta Baram yang diadakan khusus untuk merayakan perjanjian perdamaian Marudi iaitu salah satu perjanjian yang menjadi sejarah terbentuknya keamanan di kawasan Baram suatu waktu dahulu.
Jika dilihat kepada pautannya dengan sejarah Sarawak pada suatu waktu dahulu merupakan tanah kuripan kepada pembesar Kesultanan Brunei Darussalam pula, etnik Narom menurut ceritanya merupakan antara etnik yang kepahlawanan mereka diterjemahkan melalui Lipan Baram atau Tentera Baram. Menurut sejarahnya etnik Narom juga menganggotai Lipan Baram ini melalui ketua masyarakat mereka yang dikenali sebagai Orang Kaya Panglima Baling.
Diceritakan keakraban inilah yang menjadikan ramai etnik Narom suatu masa dahulu memeluk agama Islam sehingga mereka dikategorikan sebagai Melayu Sarawak walaupun susur galur mereka adalah daripada Dayak Kenyah suatu waktu dahulu. Dan keakraban ini juga menjadikan ramai etnik Narom berpindah mendiami wilayah-wilayah persempadanan Sarawak/Brunei seperti di Tutong, Belait dan banyak lagi.
Populasi etnik Narom ini walaupun dikategorikan sebagai etnik minoriti Sarawak namun jumlah mereka adalah lebih kurang 6,000 orang mengikut bancian penduduk 2008. Ramai antara mereka masih lagi mendiami daerah kecil Marudi, Baram, Sarawak dengan mempunyai perkampungan mereka sendiri yang dinamakan Kampung Narum, Marudi.
Jika dahulu ketika masih beragama pagan, etnik Narom tinggal di rumah-rumah panjang mereka sendiri tetapi setelah mereka memeluk Islam mereka telah mula membina rumah-rumah tradisional yang berkongsepkan Melayu Sarawak. Malah cara hidup mereka juga telah diasimilasikan seperti masyarakat Melayu Sarawak seperti budaya dan warisan mereka yang segalanya adalah berdasarkan budaya dan warisan Melayu Sarawak.
Rumpun bahasa bagi etnik Narom adalah dikategorikan dari rumpun bahasa Austronesia, Malayo-Polynesian, North Borneo, North Sarawakan, Berawan-Lower Baram, Lower Baram, Central Baram. Walaupun segalanya sudah diasimilasikan mengikut cara hidup masyarakat Melayu Sarawak namun satu yang masih lagi menjadi jati diri kepada etnik Narom adalah bahasanya yang unik. Bahasa Narum masih lagi dipertuturkan sehingga ke hari ini walaupun ada juga bahasa Melayu Sarawak yang digunapakai. Inilah jati diri masyarakat Narom yang masih ada dan diwarisi dari satu generasi ke generasi sehingga ke hari ini yang masih ada.
Jika dahulunya etnik Narom ramai yang menjadi petani dan juga menjadi nelayan tempatan di sungai-sungai di kawasan Baram namun sejajar dengan waktu ramai juga etnik Narom sudahpun menjadi antara golongan professional baik di sektor swasta dan kerajaan di Sarawak. Penempatan mereka di Kampung Narum, Marudi juga jika dahulunya serba serbi kekurangan namun sekarang sudahpun mendapat kemudahan infrustruktur seperti tenaga elektrik dan juga bekalan air bersih.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta!
#KamekSayangSarawakBah!