TUN DATUK PATINGGI HAJI ABDUL RAHMAN BIN YAAKUB
TUN DATUK PATINGGI HAJI ABDUL RAHMAN BIN YAAKUB
- Ketua Menteri Sarawak (7 July 1970 – 26 March 1981) Dan TYT Gabenor Sarawak (2 April 1981 – 2 April 1985)
Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman bin Ya’kub dilahirkan pada 3 Januari 1928 di Kampung Jkepak, Bintulu Sarawak. Beliau berasal daripada keluarga nelayan yang sentiasa hidup dilambong ombak di lautan. Ayahnya iaitu Wan Ya’kub bin Wan Yusuf merupakan seorang nelayan sepenuh masa dan manakala ibunya iaitu Siti Hajar binti Mohd, Tahir adalah seorang surirumah sepenuh masa. Seperti kanak-kanak yang dibesarkan di kampung yang lain, zaman muda beliau juga penuh dengan pengalaman hidup suka dan duka namun begitu pengalaman hidup itu tidak pernah membuatkan beliau mengalah dengan pelajaran.
Tun mendapat pendidikan awal secara formal di Sekolah Melayu Anchi dan seterusnya untuk pendidikan menengah telah melanjutkan pelajaran di Sekolah St. Joseph, Kuching. Pada tahun 1954 dek kerana keputusan yang cemerlang di Peperiksaan Senior Cambridge beliau telah ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading iaitu di Southampton University of England, United Kingdom. Pada tahun 1959 beliau telah mendapat kelulusan Barrister At Law dari Lincoln’s Inn, London. Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman bin Ya’kub merupakan etnik bumiputra daripada Sarawak yang pertama mendapat kelulusan tersebut di Lincoln’s Inn, London.
Setelah menamatkan pengajian, beliau telah kembali ke Sarawak dan kerjaya pertama beliau adalah sebagai Pegawai Percubaan (Kadet) Bumiputra Sarawak dan seterusnya dinaikkan pangkat menjadi Majistret. Dari tahun 1959 hingga 1963, Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman telah memegang beberapa jawatan di dalam kerajaan Sarawak seperti Pegawai Perundangan Sarawak, Timbalan Pendakwaraya, Crown Council dan akhirnya Stipendiary Magistrate.
Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman adalah antara orang yang berjasa di dalam Sarawak sebagai salah satu negara yang membentuk Gagasan Malaysia. Beliaulah antara orang pertama yang masuk ke kampung-kampung di seluruh Sarawak bagi menyakinkan serta memperjelaskan kepada rakyat Sarawak terutama sekali di kawasan luar bandar betapa pentingnya Gagasan Malaysia itu untuk Sarawak.
Bagi Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman, kefahaman tentang konsep Gagasan Malaysia itu penting untuk rakyat Sarawak fahami tanpa mengikut membabi buta sahaja. Sesuatu yang sememangnya harus dilakukan dan kerana berkat usaha meredah kampung ke kampung ini, akhirnya rakyat Sarawak bersetuju untuk membentuk Gagasan Malaysia bersama-sama dengan Malaya, Sabah dan Singapura pada waktu itu.
Dari segi karier politik, Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman telah berjinak-jinak di dalam dunia politik sejak pada tahun 1963 lagi iaitu ketika Sarawak antara negara yang membentuk Gagasan Malaysia pada waktu itu. Kerana usaha beliau yang tidak pernah berputus asa meredah kampung-kampung memperjelaskan tentang Gagasan Malaysia kepada rakyat Sarawak, maka pada tahun 1963, Perdana Menteri Pertama Gagasan Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah melantik beliau sebagai Menteri Muda di Kementerian Pembangunan Luar Bandar Persekutuan.
Pada tahun 1964, melihat kepada kelulusan beliau yang arif di dalam soal undang-undang maka beliau sekali lagi memegang portfolio sebagai Menteri Muda Kementeria Kehakiman Persekutuan. Tidak lama kemudian beliau telah diamanahkan untuk memegang portfolio sebagai Menteri di Kementerian Tanah Dan Galian Persekutuan sehingga tahun 1969. Pada tahun 1969, Tun Datuk Patinggi telah dilantik menjadi Menteri Pendidikan Persekutuan Malaysia sehingga melepaskan jawatan tersebut pada tahun 1970.
Pada Pilihanraya Negeri Sarawak 1970, Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman bin Ya’kub telah bertanding di DUN Kuala Rajang dan memenanginya dengan majoriti tinggi. Pada tahun itu juga dek kerana tiada majoriti parti yang boleh membentuk Kerajaan Sarawak, Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman telah berjaya membentuk Sarawak United Peoples Party (SUPP) untuk menjadi perikatan dan akhirnya beliau diangkat menjadi Ketua Menteri Sarawak, Jawatan utama sebagai Ketua Menteri Sarawak ke-3 ini dipegang oleh beliau selama lebih 11 tahun sehinggalah pada 26 Mac 1981.
Mungkin, Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman sememangnya mempunyai aura musyawarah yang tinggi sehinggakan beliau merupakan pemimpin yang memainkan peranan di dalam memastikan ancaman komunis di Sarawak dapat ditamatkan secara aman di Sarawak. Beliau merupakan antara tokoh pemimpin Sarawak yang terlibat secara langsung sehinggalah termeterainya Perjanjian Sri Aman yang ditandatangani di antara Kerajaan Negeri Sarawak dan juga Parti Komunis yang dimeterai di Simanggang, Sarawak. Ini merupakan salah satu perjanjian damai yang membawa kepada kesejahteraan Sarawak sehingga sekarang.
Tun Datuk Patinggi Haji Abdul Rahman adalah seorang yang amat berminat kepada syiar Islam di Sarawak sehingga beliau pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Membaca Al-Quran selama 3 tahun berturut-turut iaitu dari tahun 1968 hingga 1971. Pada tanggal 2hb April 1981, Tun Abdul Rahman telan diangkat untuk menjawat jawatan tertinggi di dalam pentadbiran Sarawak iaitu sebagai Tuan Yang Terutama Gabenor Negeri Sarawak. Beliau kekal menjawat jawatan tersebut sehingga tempoh perkhidmatannya habis sebagai Gabenor Sarawak pada 2hb April 1985.
Setelah tiada lagi di dalam apa jua jawatan di dalam Kerajaan Negeri Sarawak, beliau pernah bertugas sebagai Pensyarah Jemputan di Muslim College, Earling, London dari tahun 1986 hingga 1990. Selain daripada itu sepanjang tempoh persaraan beliau, Tun Abdul Rahman lebih banyak menumpukan perhatian di dalam kerja-kerja amal lebih-lebih lagi di dalam memperkasakan syiar Islam di Malaysia amnya dan Sarawak khususnya.
Pemergian beliau pada 9hb Januari 2015 adalah umpama sebutir bintang di langit yang tidak akan bersinar lagi kepada seluruh rakyat Sarawak Bumi Kenyalang. Kehilangannya sudah tentu dirasai kita sebagai bangsa Sarawak dan jasanya akan terus dikenang sepanjang zaman. Sama-samalah kita berdoa agar roh beliau ditempatkan di kalangan mereka yang beriman dan para syuhadah. Alfatihah. Amin.