CERITA “LEPEH”
CERITA “LEPEH”
- Mengapa orang Semenanjung Malaysia dipanggil “Lepeh” di Sarawak
Sudah menjadi kelaziman kepada masyarakat Sarawak untuk memanggil mereka yang datangnya daripada Semenanjung Malaysia dengan panggilan Orang Malaya. Namun selain daripada itu terdapat satu lagi panggilan yang lazimnya akan digunakan iaitu “Lepeh”. Artikel kali ini bukanlah untuk memalukan sesiapakan terutama sekali saudara kita yang berasal daripada Semenanjung Malaysia namun tujuannya adalah untuk kita sama-sama berkongsi bagaimana panggilan itu boleh muncul kerana hakikatnya terdapat cerita “urban legend” mengapa dan kenapa jolokan seperti ini digunakan.
Sebelum memulakan bicara, adalah molek untuk kita memperkenalkan apakah itu “Lepeh”? Lepeh menurut bahasa dialek tempatan Melayu Sarawak bermaksud Lipas di dalam kamus Bahasa Malaysia. Secara saintifiknya seluruh manusia di dunia mengetahui bahawa salah satu aktiviti lipas atau lepeh adalah mereka agak aktif di waktu malam dan lebih-lebih lagi di waktu malam yang gelap. Di kala inilah aktiviti lipas atau lepeh akan berleluasa.
Apakah kaitan lepeh atau lipas ini dengan orang Malaya? Alkisahnya bagaiamana gelaran itu muncul ada berkaitan dengan satu cerita urban legend yang pernah terjadi di Sarawak suatu waktu dahulu. Mungkin ramai generasi Sarawak juga tidak mengetahui tentang mengapa jolokan ini digunapakai kerana ianya mempunyai sejarahnya tersendiri dan sehingga sekarang ianya terus kekal di dalam memanggil Orang Malaya itu “Lepeh”.
Pada suatu waktu dahulu iaitu ketika era 60an dan 70an iaitu ketika sedang rancaknya ancaman komunis di Sarawak, ramai askar-askar daripada Semenanjung Malaysia telah datang ke Sarawak bagi membantu memperkuatkan benteng pertahanan untuk Sarawak. Kebanyakan daripada mereka akan ditempatkan di Kem Penrissen, Batu 8 Kuching Sarawak. Disinilah para askar-askar dilatih dan diberikan kepandaian di dalam serba serbi kehidupan dan kemahiran untuk mengenal hutan rimba Sarawak yang ternyata amat berbeza dengan bumi Semenanjung Malaysia.
Pada hari-hari biasa, askar-askar semenanjung ini akan mempunyai jadual latihan yang ketat iaitu bermula daripada hari Isnin sehinggalah pada hari Jumaat. Walaupun mereka askar sudah tentu adalah tidak adil untuk mereka hidup di dalam kem tentera sahaja jadi pada hujung minggu askar-askar ini akan “dibebaskan” daripada kem dan mereka akan dihantar ke Bandar Kuching untuk melepaskan tekanan dan bergaul dengan rakyat awam Sarawak.
Jadi ianya tidak menghairankan apabila pada setiap hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad akan kelihatan trak-trak tentera yang menjadi pengangkutan utama askar-askar daripada Kem Batu 8 bergerak ke Bandar Kuching bermula pada awal pagi dan hentian mereka kebiasaannya adalah di bangunan Electra House, iaitu satu-satunya pusat membeli belah di tengah-tengah Bandar Kuching pada waktu itu. Kesemua askar-askar yang mendapat kelulusan untuk keluar ini hanya akan diambil semula pada keesokannya iaitu pada hari Ahad sekitar jam 9 malam.
Maka sudah menjadi kebiasaan kepada masyarakat Kuching pada waktu itu untuk melihat berapa ramainya askar-askar Semenanjung Malaysia yang menjadi penghuni hujung minggu di kawasan sekitar Electra House, India Street serta tempat riadah yang lain di Kuching. Sesuatu yang agak menarik adalah bukannya susah untuk mengenali askar-askar ini kerana sudah menjadi undang-undang kem tentera pada waktu itu dengan membenarkan mana-mana askarnya untuk hanya boleh keluar apabila mengenakan pakaian yang serupa iaitu bukannya seragam tentera sebaliknya mereka akan mengenakan kemeja putih lengan panjang, berseluar panjang berwarna biru tua dan bertalileher biru.
Jadi apabila ada yang mengenakan pakaian dengan warna yang serupa serta dalam jumlah yang ramai maka kedatangan mereka di kawasan Kuching seperti segerombolan lipas ataupun lepeh yang keluar daripada persembunyian dan kemudian hilang apabila waktunya sudah sampai. Lagipun kedatangan mereka hanya ada pada hujung minggu dan menjelang pukul 9 malam maka ghaiblah askar-askar ini di Bandar Kuching.
Inilah cerita urban legend dan mengapa Orang Semenanjung Malaysia dipanggil dengan jolokan “Lepeh” di Sarawak. Perlulah diingatkan bahawa artikel ini bukannya untuk menanam perasaan benci ataupun mengaibkan mana-mana orang Semenanjung Malaysia tetapi ianya hanya sekadar perkongsian tentang mengapa jolokan “Lepeh” hanya wujud di Sarawak.