FAIRY CAVES, BAU, SARAWAK
FAIRY CAVES, BAU, SARAWAK
Gua Fairy atau Gua Pari-pari yang terletak berhampiran dengan bandar Bau, Sarawak adalah salah satu kawasan gua yang mesti dilawati andainya berkunjung ke Sarawak, Bumi Kenyalang. Gua batu kapur ini mempunyai tarikan semulajadi yang benar-benar menambat hati pada mereka yang cintakan suasana semulajadi dan juga sukan ekstrem seperti “rock climbing”.
Seperti kebanyakan gua-gua di seluruh Malaysia, Gua Fairy ini juga tidak terkecuali mempunyai lagendanya yang tersendiri. Mengikut cerita orang-orang tua tempatan dari masyarakat Bidayuh yang menghuni di kawasan sekitar Gua Fairy ini, suatu waktu dahulu ada sebuah kampung yang telah mengadakan kenduri besar-besaran dengan limpahan makanan yang banyak dan kesemua penduduk kampung sedang bersukaria maka datanglah sepasang anak yatim yang kelaparan meminta belas ikhsan makanan daripada penduduk kampung tersebut.
Namun sepasang anak yatim ini telah menerima kata nista dan makian daripada penduduk kampung kerana dikatakan pengotor dan peminta sedekah. Tanpa mempunyai dasar perikemanusiaan, anak yatim ini telah dihalau seperti anjing kurap malah ada antara penduduk kampung ini yang telah membaling batu kearah anak yatim ini sehingga mereka luka-luka. Maka beredarlah anak yatim ini menjauhkan diri daripada penduduk kampung yang kejam.
Dek kerana sakit hati diperlakukan sedemikian, sepasang anak yatim ini telah memohon kepada Yang Maha Berkuasa agar penduduk kampung ini diberikan pengajaran yang setimpal. Dengan tidak semena-mena cuaca yang baik tiba-tiba berubah menjadi cuaca yang amat buruk. Deruan pusaran angin taufan telah membadai kampung ini maka menjadi gegak gempitalah penduduk kampung cuba mendapatkan perlindungan.
Ada antara penduduk yang telah berlari menyelamatkan diri ke sebuah gua yang berdekatan dan disanalah mereka berlindung tetapi setelah reda didapati penduduk kampung yang di dalam gua ini telah disumpah menjadi batu dan dipercayai misteri batu menyerupai manusia di dalam gua pari-pari adalah penduduk kampung yang kejam ini.
Pada zaman pendudukan Jepun, Gua Fairy dikatakan menjadi “base camp” untuk tentera Jepun mempertahankan diri daripada segala serangan. Dan kerana itulah terdapat binaan asas 4 struktur konkrit di Gua Fairy yang dikatakan tapak untuk bekalan air bagi tentera Jepun melepaskan dahaga. 4 struktur konkrit ini masih wujud lagi sehingga sekarang.
Untuk meneroka Gua Fairy, seseorang itu tidaklah perlu untuk mendapat pemandu pelancong tempatan memandangkan segalanya sudah disediakan melalui panduan yang diletakkan di pintu gua. Pengemar eksplorasi gua hanya perlu mempunyai tenaga yang kuat untuk mengorak langkah-langkah melalui denai-denai konkrit yang disediakan.
Bagi penggemar sukan ekstrem seperti “rock climbing” tidak jauh dari Gua Fairy terdapat kemudahan yang disediakan dan dengan hampir 90 darjah pendakian sudah tentu ini akan memberi cabaran untuk penggemar sukan ini.
Diharap Gua Fairy akan terus kekal sebagai antara gua eko-pelancongan di Sarawak dan terus dipelihara habitat semulajadinya untuk tatapan generasi yang mendatang.
Lan Berambeh Ke Sarawak!