top of page

FROM SARIKEI WITH LOVE


FROM SARIKEI WITH LOVE


Sarikei merupakan salah satu daripada bahagian di Sarawak yang dahulunya dikenali sebagai Bahagian Ke-Enam. Bahagian Sarikei ditubuhkan pada 2 April 1973 sebagai bahagian ke-6 dalam negeri Sarawak melalui Sarawak Gazette Swk. L.N 26 bertarikh 15 Mac 1973. Bahagian Sarikei pada awal penubuhannnya mempunyai keluasan 6969 km².


Di bawah jurisdiksi pentadbiran bahagian Sarikei terdapat beberapa buah daerah kecil iaitu Bandar Sarikei, Maradong, Julau, Pakan dan Bintangor (dahulunya Binatang). Bandar Sarikei terletak di tepi sungai terpanjang di Malaysia iaitu Sungai Rajang. Oleh kerana kedudukan Bandar Sarikei yang berada ditengah-tengah maka ia menjadi Bandar persinggahan bagi mereka yang di dalam perjalanan dari Kuching ke Sibu samada melalui jalanraya ataupun melalui pengangkutan bot ekpress. Kebanyakan penduduknya adalah daripada masyarakat Cina, Iban, Melanau dan Melayu.


Terdapat 2 versi cerita orang-orang tua tempatan tentang bagaimana Sarikei mendapat nama.


Versi 1:


Nama Sarikei diberikan oleh Kaum Sigalang iaitu kaum pertama yang menghuni daerah Sarikei pada waktu itu. Difahamkan bahawa Kaum Sigalang telah menghuni Sarikei kira-kira 300 tahun dahulu. Pada masa itu Sarikei dikelilingi dengan hutan rimba dan hanya ada perkampungan kecil di sepanjang Sungai Sarikei dan Sungai Nyelong yang mengalir terus ke Sungai Rajang.


Kaum Segalang dikatakan bertapak dan menghuni serta membuka kawasan sekitar Bukit Temujang. Dikatakan Kaum Segalang ini amat mahir di dalam pertukangan rumah dan mereka juga merupakan petani yang pintar bercucuk tanam dan memburu binatang. Dipanggil kaum Sigalang bersempena dengan nama ketua kaum ini iaitu Sigalang.

Sigalang dikatakan sebagai seorang ketua yang adil dan begitu mengambil berat tentang hal ehwal anak-anak buahnya. Sigalang mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Bujang dan dikatakan Bukit Temujang mengambil nama anak Sigalang iaitu Bujang. Bujang juga dikatakan sebagai seorang pemuda yang arif dengan soal-soal hutan seperti memburu dan mempunyai rupa paras yang tampan.


Beliau telah dikahwinkan ayahnya Sigalang dengan seorang gadis yang tercantik di dalam kaum Sigalang sendiri iaitu Sareke. Jadi nama Sarikei diambil daripada nama isteri Bujang yang cantik rupawan iaitu Sareke.


Versi 2:


Mengikut cerita lisan orang-orang tua tempatan iaitu Sarikei suatu masa dahulu terkenal dengan pusat penjualan ayam samada ayam kampung dan juga ayam sabung iaitu ayam yang digunakan di dalam satu pertandingan yang amat popular di kalangan penduduk tempatan suatu masa dahulu. Penjual-penjual ayam di daerah kecil ini kebanyakan terdiri daripada masyarakat Cina. Jadi perkataan “Sa-rie” mengikut dialek tempatan cina adalah pusat dan “kei” adalah ayam. Jadi lama-kelamaan apabila digabungkan dengan pelat penduduk tempatan maka timbullah perkataan Sarikei iaitu 2 perkataan digabungkan menjadi satu.



Ada satu cerita yang jarang diperdengarkan kepada generasi muda Sarikei iaitu cerita angkat pengayoh. Suatu waktu dahulu, Sarikei sentiasa disinggahi oleh saudagar-saudagar yang di dalam perjalanan berdagang di antara Sarawak dan Brunei. Selalunya kapal-kapal saudagar ini akan sampai lewat malam dan setiap kali hendak masuk ke muara Sungai Sarikei sudah tentu mereka akan terpegun melihat cahaya dari kelip-kelip yang menghuni pokok api-api di sepanjang sungai ini. .


Dan setiap kali itulah saudagar-saudagar ini akan mengangkat pengayuh dan membiarkan kapal atau perahu mereka bergerak mengikut aliran sungai. Inilah keistimewaan muara Sarikei yang jarang terdapat di mana-mana tempat di Sarawak suatu waktu dahulu.


Sejarah awal Sarikei dapat dikesan seawal kurun ke-19 iaitu pada 30 April 1845, dicatatkan bahawa Rajah James Brooke pernah mengunjungi Sarikei. Tidak kurang juga pemberontakan yang timbul bagi menentang pentadbiran Rajah Brooke oleh penduduk tempatan. Ianya terjadi kerana ketidakpuasan pada cukai dan pemimpin tempatan yang berpuak-puak pada masa itu.


Pada 4 Januari 1856 adalah kemuncak kepada pemberontakan tempatan apabila kaum Iban dari Julau telah datang mengamuk di Pekan Sarikei sehingga pekan itu musnah dibakar oleh kaum Iban ini. Sebagai tindak balas kepada pembakaran Sarikei oleh kaum Iban Julau, Rajah Brooke telah menghantar armada perangnya ke Julau dan ini dikenali sebagai Ekspedisi Julau.


Sarikei juga terkenal dengan keperwiraan Sharif Masahor yang merupakan pemerintah di Sungai Rejang. Beliau telah bangun menentang pemerintahan Rajah Brooke suatu waktu dahulu. Diceritakan sewaktu beliau hendak membantu Pengiran Dipa (pemimpin Mukah) menghadapi serangan daripada armada Rajah Brooke, kubu beliau di Sungai Rejang telah diserang hendap sehinggalah kaum keluarganya sendiri terkorban di dalam serangan tersebut.


Sarikei yang amat sinonim dengan buah-buahan tempatan iaitu Nenas sehingga bandarnya dikenali sebagai Bandar Nenas Sarawak. Sesungguhnya Sarikei telah bertukar wajah sekarang iaitu daripada sebuah penempatan kecil dengan beberapa buah rumah nelayan dan petani sekarang sudah berubah menjadi Bahagian Sarikei yang ikut serta membangun di dalam arus pembangunan negeri Sarawak.


Setiap daerah mempunyai sejarahnya dan setiap daerah mempunyai nilai kasih sayangnya.



bottom of page