PENENTANGAN DATU MAT SALLEH DI SABAH
PENENTANGAN DATU MAT SALLEH DI SABAH
Jika di Sarawak ada pahlawan bangsa Sarawak seperti Rosli Dhoby, rakan-rakanya di dalam Rukun 13 dan Rentap yang dilabelkan sebagai pembunuh dan lanun oleh pemerintah British suatu waktu dahulu, ianya juga pernah terjadi di bumi Sabah yang mana pahlawan bangsa Sabah juga dlabelkan sebagai lanun iaitu Datu Mat Salleh. Sebagai informasi sejarah pada kali ini, Borneo Oracle akan berkongsi dengan pembaca sekalian tentang siapakah Datu Mat Salleh ini serta kronologi penentangannya ke atas pemerintahan British di Borneo Utara (nama lama bagi Sabah) melalui Syarikat Borneo Utara British.
Sejarah Hidup Datu Paduka Mat Salleh
Digelar Datu Paduka Mat Salleh oleh penduduk tempatan Sabah manakala nama sebenarnya adalah Datu Mohammed Salleh bin Datu Balu. Mengikut salsilah keturunan Datu Mat Salleh, beliau berasal dari etnik Dusun-Suluk melalui sebelah ayahnya yang berasal dari Kampung Lingkabou, Sugut. Ibu Datu Mat Salleh pula bernama Alifah yang berketurunan Bajau-Dusun, Inanam. Hasil perkahwinan ini, mereka dikurniakan 4 orang anak iaitu Ali, Mat Salleh, Badin dan Bolong.
Ayah Datu Mat Salleh adalah Datu Balu merupakan salah seorang pembesar yang telah dilantik oleh Kerajaan Sulu untuk memerintah kawasan sekitar Sungai Sugut. Diceritakan bahawa Datu Mat Salleh dilahirkan di Inanam iaitu di sebelah kampung ibunya Alifah dan setelah dilahirkan beliau terus dibawa pulang ke Kampung Pangalaban, Paitan iaitu di kampung sebelah ayahnya, Datu Balu.
Kerana ayah Mat Salleh iaitu Datu Balu merupakan seorang pembesar di Sungai Sugut maka hasil kekayaan keluarganya adalah berkaitan dengan kutipan cukai di Sungai Sugut yang menyebabkan keluarganya adalah antara keluarga terkaya di seluruh kawasan Sungai Sugut. Jadi tidak menghairankan jika keluarga Datu Mat Salleh juga dikatakan mempunyai banyak harta di Jambongan, Inanam, Tambunan malah di Sulu sendiri.
Seperti anak-anak orang berada yang lain, Datu Mat Salleh juga dihantar ayahnya Datu Balu untuk mempelajari segala ilmu dunia dan akhirat bagi memperkemaskannya untuk menjadi pemimpin meneruskan warisan keluarga di Sungai Sugut. Dan kerana itulah kepahlawanan Datu Mat Salleh banyak diterapkan sejak dia muda lagi dan semua ini banyak mencorakkan jati dirinya sehingga sewaktu penentangannya ke atas British di Borneo Utara, beliau amat digeruni oleh pemerintah British pada masa itu.
Mengikut perjalanan riwayat hidup Datu Mat Salleh dikatakan telah berkahwin dengan tiga wanita yang berasal daripada 3 etnik Sabah dari tiga kawasan yang berbeza. Dikatakan perkahwinannya itu dibuat bagi memastikan bahawa pengaruh keluarganya sentiasa mekar di kawasan-kawasan tersebut. Isterinya yang pertama adalah Dayang Bandang iaitu seorang puteri daripada Kerajaan Sulu yang juga merupakan puteri saudara kepada Sultan Jamalul Kiram. Menurut legendanya dikatakan Dayang Bandang adalah seorang puteri yang sakti yang mana seumur hidupnya dikatakan tidak pernah memijak tanah dan setiap pergerakannya banyak ditandu dari satu kawasan ke kawasan yang lain. Melalui perkahwinannya dengan Dayang Bandang telah dikurniakan dengan 2 orang putera yang dinamakan Halipan dan Pahlawan.
Isteri kedua kepada Datu Mat Salleh pula bernama Dayang Cahaya @ Aisyah yang berasal dari Marudu. Dayang Cahaya merupakan salah seorang keturunan daripada Kesultanan Brunei Darussalam dan dikatakan pernah berkahwin dengan Syarif Rum bin Syarif Osman iaitu salah seorang pembesar bagi Teluk Marudu suatu waktu dahulu. Hasil perkahwinan Datu Mat Salleh dan Dayang Cahaya dikurniakan dengan 3 orang cahayamata iaitu Ahmad, Kapayan dan Anang.
Perkahwinan terakhir bagi Datu Mat Salleh adalah apabila beliau mengahwini seorang gadis dari etnik Dusun Tambunan yang bernama Sitimah. Perkahwinan ini berlangsung ketika Datu Mat Salleh berpindah ke Tambunan menurut perjanjian yang telah dimeterai antara beliau dengan British iaitu satu perjanjian yang dipanggil Perjanjian Menggatal. Hasil perkahwinan beliau dengan Sitimah ini dikurniakan dengan 2 orang anak iaitu Palalun dan Taga’as.
Walaupun Datu Mat Salleh mempunyai keturunannya sendiri namun begitu sehingga sekarang waris-waris keturunan beliau masih tidak dapat dikenalpasti dengan lebih spesifik. Ini kerana sejak di awal lagi keluarga keturunan Datu Mat Salleh lebih memilih untuk hidup seperti rakyat biasa samada yang menetap di Sabah sekarang mahupun di Selatan Filipina.
Kronologi Penentangan Datu Paduka Mat Salleh Ke Atas British (Syarikat British Borneo Utara)
Sekitar tahun 1894, William Clark Cowie telah dilantik menjadi Pengerusi bagi SBBU dan dari awal-awal lagi beliau tidak begitu senang dengan perihal Datu Mat Salleh yang dikatakan masih lagi mengutip cukai di sepanjang Sungai Sugut. Laporan yang sampai ke pendengaran William Clark Cowie ini adalah dibuat oleh Haji Otang iaitu seorang kerani SBBU di Jambongan. Dan ianya semakin mencapai kemuncak apabila ada masyarakat tempatan di Sungai Sugut sendiri yang membuat aduan kepada beliau yang mengatakan bahawa Datu Mat Salleh telah membunuh dua orang peniaga tempatan yang cuba untuk berniaga di kawasan Sungai Sugut.
Aduan daripada masyarakat tempatan Sungai Sugut ini telah dijadikan alasan oleh pihak British untuk memburu Datu Mat Salleh pada 15hb September 1894 walaupun hakikatnya aduan tersebut tidak disiasat dengan penuh teliti. Sebenarnya pihak British mengambil kesempatan ke atas peristiwa tersebut kerana marah dengan aktiviti Datu Mat Salleh yang berani memungut cukai di bumi Sungai Sugut walaupun SBBU merupakan pemerintah sebenar untuk seluruh Borneo Utara pada masa itu.
Pada masa itu SBBU telah menghantar Mr Barraut yang juga merupakan Penolong Pegawai Daerah dengan dibantu oleh Kapten Barnet untuk menangkap Datu Mat Salleh. Datu Mat Salleh tidak melarikan diri pada ketika itu kerana beliau percaya beliau tidak bersalah malah beliau juga telah memberikan sepenuh kerjasama kepada SBBU. Akhirnya Datu Mat Salleh dibebaskan kerana tidak cukup bukti.
Pada tanggal 3hb Januari 1895, sekali lagi SBBU cuba untuk mengheret Datu Mat Salleh di dalam kancah jenayah di Borneo Utara ketika itu. Kali ini dikatakan bahawa Datu Mat Salleh telah memainkan peranan menghasut dan bersubahat dengan penduduk tempatan di Sandakan untuk bangun memberontak ke atas pemerintahan SBBU di Sandakan pada masa itu. Hakikatnya punca sebenar rusuhan di Sandakan itu adalah pembunuhan 2 peniaga Cina yang dilakukan oleh 2 orang pengikut Datu Mat Salleh di Sandakan yang bernama Jemani dan Serati. Selepas melakukan onar tersebut kedua-duanya melarikan diri memohon perlindungan daripada Datu Mat Salleh di Lingkabu, Sungai Sugut.
Pada 17hb Ogos 1895, Datu Mat Salleh bersama-sama dengan 300 orang pengikutnya telah mudik ke Sandakan untuk bertemu secara empat mata dengan Gabenor L P Beaufort dan Residen William B. Pryer untuk menjernihkan hubungannya dengan SBBU. Namun begitu ketibaan beliau itu tidak diterima oleh pembantu Gabenor iaitu A. Cook kerana pada masa itu L P Beaufort tiada di Sandakan. Dikatakan Datu Mat Salleh dengan sabarnya menunggu untuk bermusyawarah dengan SBBU sehingga beliau sanggup menunggu di Buli Sim Sim Sandakan selama 2 hari. A Cook yang enggan berjumpa dengan beliau telah mengarahkan beliau untuk membuat surat rasmi dengan SBBU dan ini menyebabkan Datu Mat Salleh naik berang.
Di dalam perjalanan pulang dari Sandakan inilah dikatakan bahawa Datu Mat Salleh dengan beberapa orang pengikut kanannya telah pulang dahulu sementara baki pengikutnya yang lain pulang kemudian dengan menggunakan 26 buah perahu telah melakukan rompakan ke atas sebuah kedai milik masyarakat Cina di Nunuyan Laut dan Lingkabau. Di dalam kejadian itu juga pengikut-pengikut Datu Mat Salleh telah memaksa dua orang polis SBBU untuk menyerahkan senapang dan peluru kepada mereka.
Sejak daripada itu hubungan Datu Mat Salleh dengan British terus tegang sehingga pihak SBBU bertekad untuk menghapuskan kekuasaan Datu Mat Salleh di bumi Borneo Utara ketika itu. British SBBU telah bertindak menawarkan ganjaran wang kepada sesiapa sahaja yang boleh membantu SBBU untuk menangkap Datu Mat Salleh. Akibat daripada tawaran ganjaran wang ini menyebabkan ada pengikut-pengikut Datu Mat Salleh sendiri yang berpaling tadah.
Pada tahun 1896, SBBU telah membalas dendam ke atas Datu Mat Salleh dan menyerang Datu Mat Salleh di Jambungan malah perkampungan Datu Mat Salleh juga musnah dalam serangan tersebut. Akibat daripada serangan itu Datu Mat Salleh dan seluruh pengikut serta keluarganya berundur. Sebagai membalas balik serangan tersebut pada bulan Julai 1897, Datu Mat Salleh dan pengikutnya telah menyerang serta membinasakan pejabat pentadbiran SBBU di Pulau Gaya. Pada tahun yang sama juga mereka turut menyerang pejabat residen di Ambong.
Pihak SBBU tidak berdiam diri dan pada bulan Disember 1897, kubu Datu Mat Salleh di Ranau telah diserang. Namun serangan kali pertama memberikan kejayaan yang besar kepada Datu Mat Salleh dan pengikutnya sebaliknya ramai yang terkorban di pihak SBBU. Tanpa mengenal erti putus asa sekali lagi pada Januari 1898, Kubu Datu Mat Salleh di Ranau diserang tetapi kali ini dengan pasukan yang lebih besar. Di ketika inilah ramai pengikut Datu Mat Salleh termasuk abangnya Ali serta kedua adiknya iaitu Badin dan Bolong turut terkorban dan memaksa Datu Mat Salleh berundur sehingga ke Tambunan.
Pada tanggal 6hb Disember 1999, Datu Mat Salleh telah mula menyerang kaum Dusun di Tambunan iaitu dari Kampung Sunsuron sehingga ke Lembah Sungai Papar. Ini kerana kaum Dusun ini merupakan talibarut kepada SBBU. Ketika itu Datu Mat Salleh telah mempunyai permuafakatan dengan Abu Bakar dari Lawas yang memberikan bantuan senjata kepadanya. Pada 11hb Disember 1899, Mat Satur telah bersatu dengan Datu Mat Salleh untuk menyerang dan memusnahkan perkampungan Dusun di Tambunan dan seterusnya 15 Disember 1899, pengikut Datu Mat Salleh dari etnik Bajau yang seramai 100 orang telah menyerang Mengkabong.
Pada 31 Disember 1899, Kapten Harringtom dari pasukan polis SBBU telah menyerang Datu Mat Salleh di Tambunan. Pada masa itu juga polis SBBU telah dibantu oleh pasukan polis dari Labuan dan mereka membina pangkalan di Kampung Timbau. Sebanyak 2 kali pertempuran berlaku antara polis SBBU dengan Datu Mat Salleh dan hanya mampu mengorbankan 4 pengikut Datu Mat Salleh ketika itu.
Pada 1 Januari 1900, Kapten Harrington dan pasukannya telah menyerang Kampung Piasau dan dengan penggunaan meriam telah mampu mengorbankan 60 pengikut Datu Mat Salleh. Kemudian Datu Mat Salleh dan pengikut-pengikutnya telah berundur ke Kampung Toboh. Dan akibat serangan bertali arus dikatakan sejumlah besar pengikut Datu Mat Salleh telah menyerah diri kepada pasukan Kapten Harrington.
Kemudian Datu Mat Salleh telah berundur ke Kampung Tibabar dan membina kubunya di situ. Pada ketika itu kekuatan pasukan Kapten Harrington semakin kuat apabila pasukan Densey, Dunlop dan Fraser juga turut serta dan serangan berterusan ke kubu Datu Mat Salleh sehingga 21 Januari 1900.
Pada 26 Januari 1900, serangan demi serangan daripada pasukan Harrington dan sekutunya ke atas kubu Datu Mat Salleh telah membuahkan hasil. Lebih-lebih lagi ketika itu, pasukan Harrington telah memutuskan sumber air ke kawasan kubu Datu Mat Salleh ketika itu. Sumber air itu dikatakan sengaja diracun bagi melemahkan pengikut-pengikut Datu Mat Salleh yang menjadikan kubu itu sebagai pelindung.
Akhirnya pada 1 Februari 1900, Kamunta serta Mat Satur, pengikut setia Datu Mat Salleh telah keluar dari kubu tersebut dan ketika itu dikatakan bahawa Datu Mat Salleh telah terkorban namun begitu keluarga Datu Mat Salleh iaitu isterinya Dayang Bandang dan anak-anaknya telah sempat menyelamatkan diri dan dihantar pulang ke Sulu. Pengikut-pengikut setianya seperti Mat Satur dan Kamunta juga turut sempat melarikan diri dan menyembunyikan diri.
Pada tanggal 16 Mac 1900, berita kematian Datu Mat Salleh telah disahkan oleh Clifford yang merupakan Gabenor SBBU pada masa itu melalui pengecaman mayat yang dilakukan oleh beberapa orang yang pernah mengenali Datu Mat Salleh sewaktu hidupnya. Datu Mat Salleh juga dikatakan telah disemadikan di kawasan tersebut dan sebagai mengenang peristiwa penentangan Datu Mat Salleh telah dibina satu tugu bagi memperingati beliau di Tambunan, Sabah dan sehingga sekarang ianya masih wujud dan dijaga dengan baik.
Selepas berakhirnya riwayat penentangan Datu Mat Salleh ke atas pemerintahan SBBU suatu waktu dahulu ianya tidak terhenti kerana begitu sahaja kerana pengikut-pengikut setia Datu Mat Salleh seperti Mat Satur telah menyerang Kudat pada 28 April 1900. Walau bagaimanapun di dalam perang tersebut Mat Satur juga terkorban bersama-sama dengan orang kanannya iaitu Mat Daud. Kamunta pula mengetuai serangan ke Tempasuk dan Menggatal pada sekitar bulan Mei 1900 namun di dalam perang tersebut Kamunta telah berjaya diberkas hidup-hidup dan seterusnya beliau dibunuh pada tahun 1902.
Inilah satu sejarah panjang penentangan seorang pahlawan bangsa Sabah bernama Datu Paduka Mat Salleh yang dengan beraninya bangun menentang pemerintahan British melalui Syarikat Borneo Utara British. Kesatuan penentangan beliau bersama-sama dengan pengikut-pengikutnya yang terdiri daripada pelbagai etnik di Sabah suatu masa dahulu adalah sesuatu yang membanggakan.
#KamekSayangSarawakBah!