PERISTIWA KUCHING TERBAKAR 1884
PERISTIWA KUCHING TERBAKAR 1884
Peristiwa Kuching Terbakar 1884! Mungkin ramai bangsa Sarawak yang tidak pernah mengetahui sejarah ini tetapi inilah peristiwa hitam yang pernah terjadi di bumi Sarawak suatu ketika dahulu. Sejarahnya mungkin tidak diketahui umum kerana ianya tidak diceritakan secara penuh di dalam subjek sejarah yang kita belajar sekarang. Peristiwa hitam ini sebenarnya telah banyak mengubah lanskap struktur pembinaan di bandaraya Kuching yang kita lihat sekarang.
Umum mengetahui bahawa Sarawak sehingga kini gah dengan struktur binaan ala eropah yang tersengam indah di bandaraya Kuching hasil usaha daripada Rajah ke-2 Sarawak Kingdom iaitu Rajah Charles Brooke. Beliaulah yang merupakan Rajah Sarawak Kingdom yang paling banyak membina dan membangunkan Kuching daripada ibu kota yang diliputi hutan menjadi sebuah ibu kota di dalam taman yang indah sehinggalah ianya seperti adanya sekarang.
Tanggal 20hb Januari 1884 telah berlaku satu peristiwa hitam di dalam kalendar Sarawak apabila pada satu pagi yang hening telah terjadi satu kebakaran besar yang berlaku di ibukota Kuching pada waktu itu. Menurut laporan yang diterima secara telegraf dari Kapten Joyce, salah satu anak kapal S.S Ranee yang berpangkalan di Sungai Sarawak pada waktu itu, kebakaran besar ini berlaku di sekitar Main Bazaar menerusi Carpenter Street dan kawasan sekitarnya.
Di dalam telegraf ini dinyatakan bahawa kebakaran ini bermula daripada bahagian dapur di salah sebuah bangunan kayu di Carpenter Street. Kerana keadaan angin yang agak kuat serta struktur bangunan yang terbina daripada kayu pada masa itu maka api cepat merebak. Dari Carpenter Street ianya telah menular sehingga ke China Street dan juga Bishopgate Street dan kebakaran ini adalah pada skala besar sehingga memungkin tiada apa yang dapat dibuat kerana kurangnya prasarana mencegah kebakaran pada waktu itu.
Dilaporkan juga akibat terlalu cepatnya api merebak semua penghuni Kaum Cina, keluarga dan pembantu mereka hanya mampu meloloskan diri melalui pintu belakang bangunan kerana adanya jalan pintas di bahagian belakangnya. Pada ketika itu hanya beberapa warga Eropah yang turun membantu seperti Residen Kaunselor F.O Maxwell, Mr Hardie dan Mr. E.J Smith dari Borneo Company Limited yang mana pejabat mereka berada tidak jauh daripada situ telah berusaha bersama-sama dengan beberapa penduduk tempatan cuba mengelakkan api daripada terus memusnahkan bangunan-bangunan yang berdekatan.
Setelah menjelang tengahari akhirnya kebakaran itu berhenti apabila hujan telah turun dengan lebatnya pada tengahari itu. Setelah dicongak kemusnahannya hampir 194 bangunan telah dijilat api sehingga menjadi bara di dalam peristiwa hitam ini. Banyak bangunan-bangunan lama telah musnah dan Kuching sebenarnya bernasib baik kerana adanya hujan pada ketika itu jika tidak sudah tentu keseluruhan pusat pentadbiran dan komersial Kuching musnah dijilat api dan sudah tentu kerugiannya tidak mampu untuk ditanggung oleh Kerajaan Sarawak Kingdom pada ketika itu.
Inilah sejarah peristiwa Kuching terbakar 1884 yang mana selepas itu banyak bangunan disekitarnya telah dibina semula seperti deretan kedai di Carpenter Street dan Bishopgate Street sekarang. Deretan bangunan yang ada sekarang di jalan-jalan tersebut telah dibina semula oleh Rajah Charles Brooke sekitar tahun 1886 bagi memberikan ruang pembangunan untuk ibukota Kuching pada waktu itu. Selain itu ada juga bangunan-bangunan seperti Tua Pek Kong Temple yang terselamat daripada dijilat api pada kerana tindakan cepat beberapa penduduk tempatan tanpa mengira kaum dan agama yang berganding bahu menyelamatkannya daripada terkena tempias kebakaran tersebut.
Jika ada yang ingin melihat bekas-bekas bangunan yang terbakar itu maka rajin-rajinlah meredah Jalan Carpenter di Kuching sekarang kerana ada sesetengah binaannya sememangnya mempunyai kesan kebakaran tetapi tidak mencacatkan keseluruhan bangunan. Ianya sebagai saksi bisu bahawa suatu waktu dahulu hampir 3/4 pusat komersial Kuching pernah dijilat api.
#KamekSayangSarawakBah!