TUN DATUK PATINGGI ABANG HAJI MUHAMMAD SALAHUDDIN BIN ABANG BARIENG
TUN DATUK PATINGGI ABANG HAJI MUHAMMAD SALAHUDDIN BIN ABANG BARIENG
- TYT Gabenor Sarawak Ke-3 (1977–1981) & Ke-6 (2001–2014)
Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin bin Abang Barieng merupakan satu-satunya anak Sarawak yang telah menjawat jawatan tertinggi di dalam pentadbiran Sarawak iaitu menjadi TYT ke-2 pada 2 April 1977 sehingga 2 April 1981. Kemudian pada 22 Februari 2001 sehingga 28 Februari 2014. Dilahirkan pada 27hb Ogos 1921 dan merupakan anak jati Kampung Nangka, Sibu, Sarawak.
Jika di kampung beliau, Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin lebih dikenali sebagai Abang Louis dan beliau merupakan anak tunggal kepada seorang pemimpin berketurunan Melanau yang agak terkenal di Sibu iaitu Allahyarham Abang Barieng bin Abang Anyut.
Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin memulakan kerjayanya sebagai Municipal Inspector selepas sahaja berakhirnya pendudukan Jepun di Sarawak iaitu sekitar tahun 1947. Ketika itu beliau berkhidmat sebagai penjawat awam di bawah pemerintahan Koloni British Borneo Sarawak dan telah mencurahkan tenaga dan kebijaksanaannya dengan bertugas di Jabatan Pendaftaran Sarawak dan juga di Jabatan Kerjaraya Sarawak.
Dikatakan disepanjang beliau mencurahkan bakti sebagai penjawat awam, beliau adalah antara anak tempatan Sarawak yang telah menunjukkan prestasi dan dedikasi kerja yang tinggi sehingga memungkin beliau untuk dinaikkan pangkat di dalam jabatan kerajaan.
Jika dilihat kepada betapa patriotik dan semangat nasionalisme yang ada pada beliau maka tidak menghairankan bagaimana Tun Datuk Patinggi Abang Salahuddin merupakan antara mereka yang menjadi pemimpin yang mewakili kaum Melanau di dalam Suruhanjaya Cobbold 1962 iaitu salah satu suruhanjaya yang menjadi “key-point” pada Penubuhan Gagasan Malaysia pada tahun 1963.
Sewaktu mudanya Tun Datuk Patinggi amat aktif di daam Barisan Pemuda Sarawak dan juga Barisan Jati Sarawak (BERJASA). Atas kerana minatnya pada politik pada tahun 1963, beliau telah meletak jawatan di dalam perkhidmatan awam dan memasuki dunia politik serta memenangi pilihanraya pada tahun 1963. Dunia perkhidmatan awam amat sebati dengan Tun sehinggalah pada tahun 1968, beliau telah meletak jawatan di dalam dunia politik dan akhirnya kembali menabur bakti kepada rakyat Sarawak dengan menjadi Pengerusi kepada State Public Service Commission.
Seperti pemuda Melayu yang lain, Tun Datuk Patinggi juga telah melayari perkahwinannya dengan jayanya. Perkahwinan pertama beliau adalah dengan Toh Puan Hajjah Dayang Umi Kalthum dan kemudiannya dengan Toh Puan Hajah Norkiah. Hasil perkahwinan ini beliau telah dikurniakan dengan 9 orang cahayamata. Legasi kepimpinan Tun Datuk Patinggi telah diwariskan kepada anak perempuannya iaitu Datin Dayang Fatiyah binti Tun Datuk Patinggi Abang Salahuddin yang merupakan wanita pertama yang dilantik ke jawatan “Penghulu” di Sibu, Ianya umpama kata pepatah lama iaitu kemana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi maka begitulah juga semangat dedikasi dan kepimpinan yang ada pada anak perempuan beliau.
Sekarang, Tun Datuk Patinggi Abang Salahuddin telahpun bersara daripada tugasnya sebagai TYT Gabenor yang ke-6 Sarawak pada tanggal 28hb Februari 2014. Banyak daripada masa beliau dihabiskan dengan keluarga. Semoga terus diberikan kesihatan yang baik untuk negarawan Sarawak ini yang banyak menabur baktinya berkhidmat untuk Sarawak Bumi Kenyalang.