top of page

ETNIK BISAYA, SARAWAK, BORNEO


ETNIK BISAYA, SARAWAK, BORNEO


Masyarakat Bisaya merupakan antara etnik minoriti di Sarawak. Mengikut laporan populasi yang dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia pada tahun 2012 terdapat kira-kira 6,000 orang masyarakat etnik Bisaya yang mendiami di antara Sungai Limbang, Limbang, Sarawak Bumi Kenyalang. Masyarakat Bisaya walaupun dikategori sebagai antara etnik minoriti di Sarawak namun begitu mereka masih lagi mengekalkan adat tradisi dan budaya mereka terutama sekali yang paling terkenal adalah Pesta Babulang masyarakat Bisaya Sarawak yang diadakan saban tahun di Limbang, Sarawak.


Masyarakat Bisaya dikatakan antara penerima Islam yang pertama di Pulau Borneo iaitu sejak di awal kurun ke-13 lagi. Masyarakat ini menerima Islam hasil daripada pengaruh yang telah disebarkan oleh pendakwah-pendakwah dari Negara Timur Tengah yang datang berdagang di Pulau Borneo dan akhirnya menyebarkan ajaran Islam dengan penduduk pribumi di Pulau Borneo.


Di katakan bahawa sewaktu dahulu, pemerintahan di Pulau Borneo agak kucar-kacir dan banyak penindasan sehingga mengwajarkan masyarakat Bisaya berhijrah daripada tempat asal iaitu dari wilayah Kerajaan Baruni yang telah wujud seawal kurun 977 Masihi lagi. Penghijrahan bagi survival inilah yang telah membentuk masyarakat Bisaya di Sabah yang banyak tertumpu di kawasan Beaufort, Sungai Padas, Sungai Klias, Pulau Gaya dan Labuan manakala bagi Sarawak, masyarakat Bisaya ramai mendiami Sungai Limbang.


Berdasarkan laporan yang diterangkan oleh pakar sejarah antropologi seperti Bewsher (1958), Sandin (1971) dan Hussain & Newman (1987), kewujudan etnik Bisaya di bumi Borneo boleh disahkan seawal tahun 1370an lagi. Ini dapat dibuktikan apabila tahun 1370an Empayar Tanah Besar China telah menghantar satu misi ke Negara Barunai (Negara Brunei) yang mana ketika itu Chang Ching Tze telah membantu Maha Mokhsa, Raja Barunai bagi mengawal pemberontakan.

Pemberontakan itu telah menyebabkan ibukota Barunai pada masa itu telah terbakar teruk dan Maha Mokhsa hanya bersandarkan kepada 1,000 masyarakat tempatan Barunai yang dikenali sebagai Bisaya untuk tujuan pertahanan dan keselamatan. Bantuan daripada Maharaja Tembok Besar China telah dapat meredakan Kerajaan Barunai pada masa itu. Dan sebagai membalas jasa itu, maka Maha Mokhsa telah menghantar satu rombongan bagi misi penghormatan ke Negara China pada Ogos 1371.


Asal Muasal Etnik Bisaya Dari Perspektif Cerita Legenda


Mengikut versi cerita legenda dari Limbang, Sarawak dikatakan keturunan nenek moyang masyarakat Bisaya ini sebenarnya berasal daripada 7 orang bersaudara daripada Kerajaan Baruni. Mereka adalah Peti Berambai, Si Garamba, Peti Garamba, Peti Runa, Si Maun dan Alak Betatar serta seorang puteri tunggal yang dikenali sebagai Siti Duyah. Di katakana sewaktu dahulu ketika menentukan siapakah pewaris Kerajaan Baruni, telah diadakan satu pertandingan lumba perahu dan perlumbaan itu dimenangi oleh adinda lelaki yang bongsu iaitu Alak Betatar.


Kerana kemenangan inilah Alak Betatar telah dimahkotakan sebagai Raja Kerajaan Baruni yang akhirnya memeluk agama Islam dengan menggunakan Sultan Mohammad Shah, Sultan Pertama Kesultanan Brunei Darussalam sekarang. Setelah berlakunya perang tempatan di Kerajaan Baruni suatu waktu dahulu, kekanda-kekanda Alak Betatar telah berhijrah membawa diri bagi memperluaskan pengaruh masing-masing. Si Garampa, kekanda ke-2 telah berhijrah dengan pengikutnya ke Limbang dan membentuk masyarakat Bisaya Limbang sekarang.


Peti Runa dikatakan telah berhijrah ke kawasan Sungai Kinabatangan dan membentuk masyarakat Bisaya di Sungai Kinabatangan sekarang manakala adinda puteri tunggal Siti Duyah pula telah berhijrah dengan keluarganya dan menetap di Kinabalu, Sabah dan masyarakat Bisaya yang ramai di Beaufort adalah daripada keturunan beliau.


Mengikut versi legenda Negara Brunei Darussalam pula, asas kepada masyarakat Bisaya sekarang adalah merujuk kepada legenda Syair Awang Semaun yang berteraskan kepada 14 adik beradik sama ayah tetapi berlainan ibu. Mengikut syair Awang Semaun ini, dikatakan bahawa 14 adik beradik ini adalah anakanda-anakanda kepada Dewa Amas yang berasal daripada kayangan.

Kerana satu malapetaka beliau telah diturunkan ke bumi iaitu di Ulu Limbang dengan menjadi sebiji telur. Setelah menetas menjadi seorang yang gagah perkasa dan gemar berburu. Dikatakan Dewa Amas ini mempunyai 14 orang isteri yang isteri-isterinya adalah daripada 14 kawasan yang berbeza. 14 adik-beradik ini adalah:


1. Patih Barbai atau Peti Berambai yang juga dikenali sebagai Paduka Sri Pangiran Bendahara Sri Maharaja Permaisura. 2. Awang Semaun yang juga dikenali sebagai Pangiran Temenggung 3. Patih Mambang 4. Patih Tuba 5. Patih Sangkuna atau Peti Runak 6. Patih Manggarun 7. Patih Malakay 8. Pathing Pahit atau Si Lampang 9. Damang Sari 10. Patih Sindayung 11. Damang Libar Daun yang dikenali sebagai Juru Shahbandar. Dikatakan telah berhijrah ke Tanah Jawa dan mengahwini seorang puteri Jawa dan dikurniakan 2 orang anak iaitu Nakhoda Ragam dan Palingkam Kahaya. 12. Hapu Awang 13. Patih Lela Langkung 14. Awang Alak Betatar atau Umuk Batata.


Bonda kepada Awang Alak Betatar adalah seorang wanita daripada masyarakat asli iaitu masyarakat Bisaya. Awang Alak Betatar adalah raja Negara Brunei yang pertama memeluk agama Islam dengan gelaran Paduka Sri Sultan Muhammad Shah yang memerintah dari 1363 – 1402. Perlantikan Awang Alak Betatar adalah hasil daripada musyawarahnya dengan 14 saudaranya berdasarkan kepada kebijaksanaan serta ketrampilannya yang lebih perkasa dan menyakinkan. Paduka Sri Sultan Muhammad Shah inilah yang telah berkahwin dengan puteri daripada Kerajaan Johor suatu waktu dahulu.



Etnik Bisaya Asal Borneo Bukan Dari Filipina


Terdapat banyak kecelaruan yang sering dikaitkan dengan etnik Bisaya. Ini kerana ramai yang melabelkan bahawa etnik Bisaya adalah SAMA dengan satu etnik di Filipina yang dikenali dengan nama Bisaya, Binisaya atau Visayan. Hakikatnya etnik Bisaya yang ada di bumi Borneo sebenarnya tidak mempunyai kaitan langsung dengan masyarakat Visayan di Filipina baik dari segi bahasa mahupun asal keturunannya. Etnik Bisaya, Borneo BUKAN berasal dari Filipina.


Jika dilihat dari rumpun bahasa, bahasa Visayan, Filipina dipanggil bahasa Cebuano yang diklasifikasikan di dalam rumpun bahasa Austronesian, Malayo-Polynesian; Phillippine, Central Phillippine; Visayan. Dan bahasa etnik Bisaya, Borneo yang dipanggil bahasa Tatana pula diklasifikasikan dibawah rumpun bahasa Austronesian, Malayo-Polynesian, North Borneo, Sabahan, Dusunic, Bisaya, Southern. Dan secara ringkasnya boleh dikatakan bahasa Bisaya, Borneo adalah lebih merujuk kepada dialek berbanding dengan bahasa etnik Visayan, Filipina.


Selain daripada itu dari segi pengkajian sejarahwan menyatakan bahawa etnik Bisaya yang menghuni bumi Borneo sekarang menurut laporan Beyer H.O pada 1926, Hester E.D pada 1954 dan Harrison pada tahun 1956 sependapat menyatakan bahawa etnik Bisaya merupakan kumpulan masyarakat yang berasal daripada Kerajaan Srivijaya melalui panglima mereka yang bernama Sri Bisaya. Pendapat ini juga disahkan oleh seorang pengkaji sejarahwan iaitu Sonza pada tahun 1972.


Manakala untuk masyarakat Visayan, Filipina pula asal keturunannya tidak langsung mempunyai kaitan dengan etnik Bisaya, Borneo kerana masyarakat Visayan, Filipina adalah merupakan sekumpulan masyarakat yang dipimpin oleh seorang pemerintah yang bernama Lapu-Lapu. Raja Lapu-Lapu ini merupakan pemerintah awal satu kerajaan kuno yang bernama Kingdom of Mactan yang wujud sekitar tahun 1200 Masihi.


Dan sejarah Kingdom Of Mactan ini ada diceritakan oleh seorang pengembara bernama Ferdinand Magellan yang terlebih dahulu menjadi bangsa Eropah yang pertama berkomunikasi dengan masyarakat Visaya pada tahun 1521. Pada ketika itu ianya diperintah Raja Humabon. Dan setelah kedatangan Sepanyol, ianya lebih dikenali sebagai Islas De San Lazaro.


Jadi berdasarkan kepada fakta-fakta ini adalah salah melabelkan etnik Bisaya yang ada di bumi Borneo iaitu mereka yang menghuni Sarawak, Sabah mahupun Brunei sebagai mereka yang berasal dari Filipina kerana etnik Bisaya adalah etnik pribumi Borneo sejak ribuan tahun lagi. Dan sekiranya adanya etnik Bisaya yang berhijrah ke Filipina adalah sebenarnya berasal daripada Borneo suatu ketika dahulu.


Tidak Kenal Maka Tidak Cinta. #KamekSayangSarawakBah!


Rujukan

1. Joshua Project : Histoey of Bisaya, Sabah/Sarawak, Malaysia

joshuaproject.net/people_groups/10876/MY

2. Jabatan Muzium Malaysa : Bisaya, Malay Community

www.jmm.gov.my/.../sabah-bisaya-malay-com

3. Bisaya Of Malaysia - People Groups

www.peoplegroups.org/explore/groupdetails.

4. Book Title: World and Its Peoples: Eastern and Southern Asia, Volume 9, The Bisaya Community Of Borneo by Marshall Cavendish

5. Thesis: Malaysia's Social History , The History of Bisaya.

https://cmskuching.limkokwing.net/.


bottom of page