FROM PULAU BRUIT WITH LOVE
FROM PULAU BRUIT WITH LOVE
Pulau Bruit merupakan antara gugusan kepulauan di Sarawak yang tidak kurang menariknya dari segi eko-pelancongan. Pulau yang terletak di kawasan Rejang Delta iaitu 150 kilometer barat laut Kuching dan di kategori di bawah Bahagian Mukah dan di dalam urus selia Daerah Daro. Pulau Bruit merupakan pulau terbesar di Sarawak dan merupakan pulau kedua terbesar di Malaysia selepas Pulau Banggi di Sabah.
Pulau Bruit pada asalnya tidak mempunyai nama namun dikatakan bahawa tanah pamah di Pulau Bruit merupakan tanah pamah yang subur dan sesuai untuk bercucuk tanam. Di tambah lagi kawasan laut Pulau Bruit amat kaya dengan segala jenis hidupan laut yang akan memberikan hasil yang baik untuk golongan nelayan. Maka bertitik tolak daripada itu ramailah penduduk dari tanah besar telah terpanggil untuk membuka penempatan di pulau ini.
Diceritakan pada zaman dahulu melalui cerita orang tua-tua pada suatu masa dahulu di awal penerokaan tanah penduduk di Pulau Bruit tidak mempunyai ketua yang sah dan segala bentuk keputusan diambil berdasarkan mesyuarat kampung. Walau bagaimanapun, di kalangan penduduk ini ada seorang peneroka yang amat dihormati iaitu Ngah Dulik.
Ngah Dulik adalah merupakan satu-satunya peneroka yang “kenal huruf’ di perkampungan tersebut kerana keupayaannya menulis dan membaca tulisan jawi. Jadi dengan beliaulah tempat penduduk meminta buah fikiran sekiranya ada kemusykilan di hati. Diceritakan pada suatu hari Ngah Dulik telah pergi menjala di muara sungai seperti yang biasa dilakukan oleh penduduk di kampong Pulau Bruit maka dia pun menebar jala dan tiba-tiba tersangkutlah jalanya pada sesuatu yang amat berat.
Ngah Dulik tidak mampu untuk mengangkat jala itu sendiri maka dia memohon pertolongan pemuda-pemuda kampong yang lain untuk membantunya mengangkat jalanya yang tersangkut. Setelah diangkat Ngah Dulik dan pemuda yang membantu beliau amat terkejut kerana di dalam jala tersebut tersangkut sebuah batu yang mempunyai tulisan. Selesai tugas mereka Ngah Dulik pun pulang ke rumah dengan seribu pertanyaan kerana dia pasti ada hikmah disebalik batu yang tersangkut kepada jalanya.
Diceritakan lagi pada keesokannya seluruh kampong heboh kerana terdapat sebuah kapal yang bersaiz besar berlabuh di muara sungai yang tidak dikenali oleh penduduk kampong dan percakapan daripada mulut ke mulut telah sampai kepada Ngah Dulik. Ngah Dulik dan beberapa penduduk kampong pun berperahu menghampiri kapal besar itu dan semakin dekat dengan kapal tersebut semakin hati Ngah Dulik berdebar-debar kerana ternyata firasatnya betul.
Pemuda kampong yang bersama-sama dengan Ngah Dulik pun cuba bertanya kenapa Ngah Dulik seperti banyak persoalan di minda. Ngah Dulik pun bercerita bahawa batu yang ditemuinya semalam tercatat huruf Pulau Bruit yang sama dengan nama kapal besar yang berlabuh itu. Sejak daripada itu, penduduk kampong dengan rasminya menamakan pulau yang tidak bernama itu dengan nama Pulau Bruit, asal namanya dari sebuah kapal menjadi nama sebuah pulau yang berpenghuni.
Tanah yang subur di Pulau Bruit telah memberikan kesejahteraan kepada penduduknya sehingga ke hari ini. Ramai yang menjadi petani seperti menanam padi huma dan ada juga yang menanam sagu untuk meneruskan penghidupan mereka. Malah penduduknya masih lagi mengamalkan pekerjaan tradisi mereka iaitu dengan menjadi nelayan.
Kerana itulah Pulau Bruit masih lagi popular sebagai antara pengeluar “ikan lumek salai” yang paling tersohor di Sarawak kerana ikan lumek salai keluaran Pulau Bruit dikatakan amat enak sekali berbanding dengan daerah-daerah lain di Sarawak. Disamping itu, perusahaan pembuatan susur udang tradisional masih lagi menjadi pekerjaan utama di pulau ini.
Jadi tidak hairanlah jika penduduknya kaya dengan bot-bot dan kapal tunda ikan yang menjadi pemangkin kepada perusahaan produk perikanan di pulau ini. Penduduk-penduduk di Pulau Bruit hanya bersandarkan kepada perkhidmatan bot untuk membeli barangan keperluan iaitu menaiki bot express untuk ke pekan yang berdekatan samada ke Daro ataupun Sarikei.
Keperluan asas di Pulau Bruit juga masih minima kerana infrasktruktur air bersih mahupun elektrik masih lagi ditahap yang tidak begitu membanggakan. Adalah baiknya Pulau Bruit tidak dilupakan kerana mereka juga berhak untuk mengecapi segala kemudahan ini seperti mereka yang di tanah besar. Diharap akan ada sinar pembangunan yang lebih mampan untuk Pulau Bruit seperti yang dijanjikan oleh kerajaan sebelum ini tanpa menjejaskan norma-norma tradisi yang dijalankan oleh penduduk Pulau Bruit berpuluh tahun yang lalu.
Setiap Daerah Mempunyai Sejarahnya Dan Setiap Daerah Mempunyai Nilai Kasih Sayangnya.