LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA KUCHING, SARAWAK (1940 – KINI)
LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA KUCHING, SARAWAK (1940 – KINI)
Beylon!! Itulah ayat yang amat sinonim dan unik di dalam menyatakan salah satu pengangkutan yang popular di Sarawak iaitu Kapalterbang. Jika sudah ada kapalterbang sudah tentu landasan kapalterbang harus ada. Jadi untuk kali ini, Borneo Oracle akan mengajak warga Sarawak untuk mengenali sebuah lapangan terbang yang menjadi nadi kepada pengangkutan udara di Sarawak iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.
Mungkin ramai di antara warga Sarawak tahu dimana letaknya lapangan terbang ini tetapi mungkin ramai juga yang tidak begitu mengetahui sejarah lapangan terbang ini. Namun dengan keluasan Sarawak yang begitu besar dan dipisahkan oleh Laut China Selatan dengan tanah Semenanjung Malaysia, pengangkutan udara adalah antara pengangkutan yang paling banyak menjimat masa walaupun pada hakikatnya menggunakan pengangkutan ini memerlukan pelaburan yang lebih.
Sejarah lapangan terbang antarabangsa Kuching ini bermula sejak di zaman pemerintahan Brooke lagi. Pada tahun 1940an, Rajah Charles Vyner Brooke telah membina lapangan terbang Kuching bagi membuat persediaan bagi menghadapi Perang Dunia Kedua. Pada masa itu landasan pertama hanyalah sepanjang 700m sahaja dengan kemudahan infrastruktur yang agak terhad.
Kesemuanya dilakukan bagi memastikan bahawa segala pesawat perang yang disediakan oleh Kerajaan Mahkota British bagi membantu Sarawak Kingdom menghadapi perang tersebut. Ini kerana pada masa itu Sarawak Kingdom adalah Negara Perlindungan Kerajaan Mahkota British. Namun sayangnya lapangan terbang Kuching pada masa itu tidak dapat digunakan dengan sepenuhnya memandangkan bantuan udara yang diharapkan oleh Sarawak tidak kunjung tiba kerana Kerajaan Mahkota British sendiri pada masa itu bergelut di kancah peperangan melalui tanah-tanah jajahannya yang turut diserang oleh tentera Jepun.
Dikala Sarawak dibawah penaklukan tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua, pihak pentadbiran tentera Jepun juga menggunapakai landasan kapalterbang Kuching ini sebagai hab untuk melancarkan pesawat-pesawat tempur tentera Jepun. Pihak Jepun telah melakukan sedikit pengubahsuaian memandangkan banyak landasan pada masa itu musnah akibat pengeboman sewaktu penaklukan berlaku.
Pada tanggal 7hb Julai 1943, lapangan terbang Kuching telah menerima satu pendaratan bersejarah apabila Perdana Menteri Jepun pada ketika itu iaitu Jeneral Hedeki Tojo telah berkunjung ke Sarawak bagi membuat lawatan kerjanya di Sarawak dan pesawatnya mendarat di lapangan terbang Kuching buat kali pertamanya.
Selepas Sarawak Kingdom diserahkan oleh Rajah Charles Vyner Brooke menjadi salah satu daripada tanah jajahan Kerajaan Mahkota British, pihak pentadbiran Kerajaan Mahkota British di Sarawak telah mengambil inisiatif untuk membuka semula lapangan terbang tersebut kepada pengangkutan awam memandangkan inilah salah satu cara bagi membuka pintu Sarawak British Borneo kepada dunia.
Setelah melakukan pengubahsuaian landasan dan penaiktarafan infrastruktur yang ada pada tanggal 26hb September 1950, Lapangan Terbang Kuching telah dibuka dengan rasminya. Landasan kapalterbang telah dipanjangkan kepada 1959 – 1555 meter bagi memastikan kapalterbang yang lebih besar boleh mendarat. Penerbangan yang terulung di masa itu adalah penerbangan diantara Kuching Ke Singapura dengan kekerapan seminggu sekali merupakan penerbangan pertama di antara Sarawak dengan dunia luar.
Pembukaan lapangan terbang Kuching kepada penerbangan awam telah mendapat sambutan sehingga pentadbiran British pada masa itu sekali lagi membuat pengubahsuaian pada tahun 1954 dengan menaiktaraf landasan kapalterbang kepada 1862-1921 meter. Di kala ini, lapangan terbang Kuching antara yang tersibuk samada daripada segi penerbangan antarabangsa mahupun penerbangan tempatan.
Setelah Sarawak merdeka daripada menjadi tanah jajahan Kerajaan Mahkota British pada 22hb Julai 1963 dan membentuk Gagasan Malaysia bersama-sama dengan North Borneo (Sabah), Malaya dan Singapura pada 16 September 1963 hanya pada tahun 1973, lapangan terbang Kuching telah dinaiktaraf semula. Penaiktarafan ini mencakupi landasan kapalterbang yang diperbesarkan kepada 2454 meter bagi membolehkan pesawat yang lebih besar seperti Boeing 707 mendarat.
Kerja-kerja penaiktarafan ini siap sepenuhnya pada tahun 1976. Pada tahun 1980, landasan ini diperkukuhkan lagi bagi menerima pesawat jenis Airbus 300. Pada 16 Januari 2006, sebuah bangunan terminal baru itu terbuka. Dengan perkembangan ini Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sudahpun mencakupi pembangunan terminal Kuching dengan keluasan 46,000 meter persegi. Sejak itu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching terus mampu untuk mengendalikan pesawat Boeing 747 dan pesawat Airbus A380.
Untuk itu sekali lagi landasan telah diperbesarkan daripada 2454 meter kepada 3780 meter. Pada hari ini, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching adalah merupakan pintu masuk utama ke Sarawak dan juga merupakan pengkalan udara untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Dengan kapasiti untuk mengendalikan 5 juta penumpang setahun, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching telah bersedia untuk menerima pertumbuhan yang lebih besar dan seterusnya menjadi hab kepada industri pelancongan serta menjadi penghubung untuk Sarawak dengan dunia luar.
Dan kami percaya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sudahpun bersedia untuk menerima kedatangan pelancong-pelancong pada kadar yang besar dari setahun ke setahun.
Lan Berambeh Ke Sarawak!