top of page

LEGENDA TENABI


LEGENDA TENABI

- Anak Dikandung Di Betis Kaki Kanan


Al-sahibul hikayat beribu-ribu tahun dahulu ketika manusia tidaklah seramai sekarang, munculnya seorang lelaki berasal dari etnik Bidayuh yang unggul yang bernama Tenabi. Dikatakan Tenabi ini mendiami kawasan kaki bukit iaitu yang digelar Bukit Suit dan Baru. Seperti manusia yang lain ketika itu, Tenabi juga dikurniakan dengan seorang penyeri hidup yang menjadi teman di kala kesepian iaitu isterinya yang bernama Ketipung.


Dikala Ketipung sedang sarat mengandung cahayamata pertama, Ketipung jatuh sakit dan menghembuskan nafasnya yang terakhir di pangkuan Tenabi sendiri. Namun sesuatu yang pelik berlaku iaitu anak di dalam kandungan isterinya, Ketipung masih lagi hidup. Dengan izin Dewata, Tenabi telah mengambilalih zuriat kandungan isterinya lalu diletakkan di buah betis kanannya. Bila kandungan itu sudah cukup 9 bulan maka pecahlah buah betis Tenabi lalu melahirkan seorang anak perempuan yang manis dan mulus.


Anak perempuan tunggal Tenabi dijaga umpama menatang minyak yang penuh dan kasih sayang dari Tenabi ini telah menghasilkan seorang gadis cantik malah pandai di dalam serba serbi penghidupan rumahtangga. Kasih sayang ini akhirnya dilunaskan dengan Tenabi mengahwini anak gadisnya memandangkan hanya mereka sahaja yang tinggal di kawasan tersebut dan bagi memastikan kelangsungan generasi etnik Bidayuh pada masa itu.


Setelah melayari bahtera perkahwinan akhirnya telah ada bibit-bibit generasi daripada mereka dengan izin Dewata mereka dikurniakan dengan 3 orang anak iaitu 2 perempuan dan 1 lelaki. Yang perempuan dinamakan Timuyau dan Tiruah manakala anak lelaki tunggal dinamakan Padat. Apabila dewasa dan sudah mampu mandiri, akhirnya ketiga-tiga anak Tenabi telah berhijrah mencari rezeki di tempat lain dan akhirnya mereka menetap di kawasan Sinyang dan Bukit Saki. Mereka juga bertemu jodoh di kawasan tersebut dan akhirnya meramaikan lagi generasi Tenabi dari masyarakat Bidayuh pada masa itu.


Dikatakan pada suatu hari, anak lelaki Padat telah berjalan-jalan melalui ladang tebu milik emak saudaranya Tiruah. Kerana kehausan dan lapar, akhirnya anak lelaki Padat ini telah mengambil tebu di ladang tersebut tanpa kebenaran tuannya. Hal ini disedari oleh anak lelaki Tiruah lalu beliau bertekad untuk meletakkan perangkap.


Keesokan harinya, anak lelaki Padat datang semula ke ladang tebu tersebut dan sekali lagi mengambil tebu tanpa kebenaran dan tanpa dia sedari bahawa anak lelaki Tiruah sudahpun memasang perangkap. Apabila anak lelaki Padat hendak mencuri tebu itu maka dengan tidak semena-mena anak lelaki Padat telah terkena perangkap lalu kepalanya pun terlerai daripada badan. Berita kematian anak lelaki Padat terkena perangkap di ladang tebu Tiruah telah sampai ke telinga Padat sendiri dan beliau merasa sungguh kecewa dan marah serta ingin menuntut bela atas kematian anaknya.


Padat telah bertindak dengan membawa keluarganya berpindah ke Sikangan dan membina perkampungannya sendiri di sana. Dari Sikangan ini jugalah nanti Padat akan melancarkan serangan ke atas adiknya sendiri iaitu Tiruah dan keluarganya. Tiruah sebenarnya amat kesal atas apa yang berlaku dan beliau sendiri tidak suka untuk berperang dengan abangnya lalu beliau dengan keluarganya telah melarikan diri dan seterusnya menetap di Inikabut, iaitu salah satu cabang sungai kanan bagi Sungai Sarawak. Maka perang saudara ini dapatlah dielakkan bagi mengelakkan pertumpahan darah sesama masyarakat Bidayuh pada masa itu.


Timuyau anak perempuan yang sulung yang juga sudah berkeluarga dikatakan mempunyai seorang anak lelaki yang gagah perkasa yang dinamakan Sikaya. Sikaya yang tampan telah terpaut hati dengan seorang gadis yang mempunyai kuasa luarbiasa iaitu Sekama. Perkahwinan mereka ini telah dikurniakan dengan beberapa orang anak yang kemudiannya telah menjadi nama-nama besar di dalam masyarakat Bidayuh seperti Bena, Bungu, Bibawang, Biatah, Singai, Bikirup, Baang, Bratak, Peninjau dan Puruh.


Dari keturunan Tenabi inilah melalui cucu-cicitnya Sikaya dan Sekama ini dikatakan asal usul keturunan masyarakat Bidayuh di Sarawak yang akhirnya membentuk etnik majoriti kedua terbesar di Sarawak Bumi Kenyalang.


Inilah legenda Tenabi yang mengandungkan anak dari betisnya sendiri bagi memastikan kelangsungan generasi suatu waktu dahulu. Cerita ini mungkin ada kebenarannya dan ada sesetengah cerita lisan ini mungkin tidak masuk akal namun ianya adalah salah satu pelengkap pengindahan cerita. Sesungguhnya kita rakyat Sarawak mempunyai banyak cerita legenda yang mempunyai 1001 pengajaran kepada kita untuk dijadikan pedoman.


bottom of page