top of page

PERANG AJI APAI LIMPA KE ATAS PEMERINTAHAN BROOKE 1858


PERANG AJI APAI LIMPA KE ATAS PEMERINTAHAN BROOKE 1858


Sering kali namanya disebut-sebut di dalam bait-bait lagu rakyat etnik Iban kerana sesungguhnya keberanian beliau di dalam mempertahankan tanahairnya daripada cengkaman pengaruh Brooke sungguh membanggakan. Antara bait-bait yang disering didendangkan adalah seperti "Baka Pemerani Aji Apai Limpa Nan Ka Kuta Ngelaban Nanga Sungai Raja Di Langit. ". Yang bermaksud di dalam bahasa Melayu standard bererti "Keberanian seperti Aji Apai Limpa yg mempertahankan Kota untuk melawan Rajah di Kuala Sungai Langit". Itulah Aji Apai Limpa salah seorang pahlawan etnik Iban yang bangun menentang pemerintahan Brooke suatu waktu dahulu.


Mungkin ramai yang tidak mengetahui kisah perang ini kerana ianya tidak begitu dilestarikan buat informasi generasi baru namun sesungguhnya sejarah perang ini sebenarnya amat penting di dalam kita cuba mengungkai kefahaman kita bagaimana nenek moyang kita yang terdahulu berhabis-habisan menentang pentadbiran Brooke di bumi Sarawak suatu waktu dahulu. Selain kepahlawan Rentap Libau ada terselit seorang pahlawan Iban yang setia kepadanya walaupun ramai yang lain berpaling tadah ketika Rentap diserang habis-habisan oleh Brooke suatu waktu dahulu.


Aji Apai Limpa merupakan anak kedua kepada seorang pahlawan iban yang namanya juga sering disebut-sebut baik di dalam jurnal pengembaraan Brooke serta di dalam lipatan sejarah Sarawak iaitu Orang Kaya Pemancha Dana. Diceritakan ada satu ketika Tuan Muda Charles Brooke yang merupakan anak saudara Rajah James Brooke telah mendapat informasi daripada “barua-barua” mereka yang mengatakan bahawa Aji Apai Limpa bersama-sama dengan orang kanannya iaitu Lintong Mohari iaitu anak kepada pemimpin Iban Julau sedang bersiap sedia dengan 40 buah perahu perang bangkong untuk menyerang Saribas pada April 1858.


Bertindak daripada informasi itu, Tuan Muda Charles Brooke telah memohon bantuan daripada Kerajaan Sarawak Kingdom di Kuching. Sementara menunggu bantuan sampai, Tuan Muda Charles Brooke juga tanpa berlengah masa telah beredar dari Skrang bersama-sama dengan tenteranya yang seramai 60 orang. Selain daripada itu kapal perangnya juga dilengkapi dengan 3 pounder gun yang dikatakan boleh memusnahkan bangkung Iban dengan mudah sekali. Ketika Tuan Muda Charles Brooke belayar menerusi perairan Lingga, disinilah beliau mendapati bahawa satu lagi kapal Kerajaan Sarawak Kingdom yang bernama Jolly Bachelor sedang berlabuh.


Maka bersatulah Tuan Muda Charles Brooke dengan pemerintah Jolly Bachelor iaitu John Cannon untuk sama-sama memerangi Aji Apai Limpa ke Saribas. Disamping itu ada beberapa buah bangkung Iban juga menyebelahi mereka iaitu etnik Iban yang menjadi pendokong Brooke selama itu juga turut serta.


Dengan kekuatan itu, tujuan Tuan Muda Charles Brooke dan rombongannya adalah untuk menyerang hendap tempat tinggal Aji Apai Limpa dan abangnya di Nanga Padeh. Oleh kerana diserang hendap Aji Apai Limpa dan komuniti rumah panjangnya di Nanga Padeh tidak dapat bertahan lama dan banyak kerosakan berlaku di sebelah Aji Apai Limpa. Pada ketika itu juga dikatakan tentera Tuan Muda Rajah Charles Brooke juga berada di dalam keadaan yang terdesak yang mengakibatkan beliau memanggil kesemua tenteranya untuk berundur. Dikatakan ketika itu ramai anggota tentera Sarawak Kingdom sedang sakit-sakit kerana diserang wabak taun.


Tuan Muda Charles Brooke dikatakan berundur tidak jauh daripada Nanga Padeh iaitu sekitar persisiran Sungai Saribas. Seperti mana-mana daerah di Sarawak Kingdom pada waktu itu juga, Tuan Muda Charles Brooke telah mengarahkan agar dibina satu kubu pertahanan di persisiran Sungai Saribas iaitu di satu kawasan yang dinamakan Rantau Anak suatu waktu dahulu dan sekarang dinamakan dengan Betong. Kubu ini dibina bagi menghalang Aji Apai Limpa dan sekutunya daripada semakin kuat. Kubu tersebut pada asalnya tidak bernama dan hanya dikenali sebagai Kubu Betong dan akhirnya dinamakan dengan nama Kubu Lily.


Setelah siapnya Kubu Lily pada tahun 1858, Rajah James Brooke telah mengarahkan agar James Brooke Cruickshank, seorang pelapis pentadbiran muda yang juga keluarga Brooke mengambilalih sebagai pentadbir di Kubu Lily. Setelah kesemua persedian untuk Kubu Lily siaga semuanya, Tuan Muda Charles Brooke telah kembali semula ke Skrang kerana disitulah pentadbiran beliau berpusat.


Ketika sampai di Skrang, sekali lagi Tuan Muda Charles Brooke mendengar perkhabaran tidak baik apabila dikatakan Linggir Mali Lebu sedang bersedia untuk melakukan perang kayau di kawasan penempatan Melayu Saribas. Sekali lagi Tuan Muda Charles Brooke dengan bantuan Iban Balau menggunakan segala kekuatan mereka dengan bertempur dengan Linggir Mali Lebu di kawasan Meludam. Di dalam pertempuran itu dikatakan Linggir Mali Lebu kalah dan hampir 20 orang pahlawannya terkorban di samping beliau sendiri turut tercedera. Namun begitu Linggir Mali Lebu dan pahlawan Ibannya berjaya meloloskan diri dan kembali ke rumah panjang mereka.


Bagi pihak Aji Apai Limpa yang mana rumah panjang mereka yang musnah akibat diserang hendap oleh Tuan Muda Charles Brooke sekitar April 1858 pula telah mula mendapat kekuatan semula. Pada kali ini ianya penuh dengan dendam kesumat untuk mengalahkan Brooke habis-habisan. Maka pada 14hb July 1858, Aji Apai Limpa bersama-sama dengan orang kanannya Lintong Moahari dengan berpuluh-puluh bangkong Iban menuju ke Kubu Lily di Betong. Tujuannya adalah satu untuk memusnahkan Kubu Lily sehingga menjadi arang.


Berita Aji Apai Limpa dan pahlawan Ibannya yang sedang siaga untuk menyerang Kubu Lily telah diketahui oleh James Brooke Cruickshank dan sekali lagi dengan pertolongan daripada Panglima Bakir serta pahlawannya, James Brooke Cruickshank dan tentera Sarawak Kingdom menunggu mereka di Sungai Saribas dan kali ini berjaya mendesak Aji Apai Limpa dan pahlawan Iban kembali semula ke rumah panjang mereka di Nanga Padeh.


Berang dengan tindakan Aji Apai Limpa dan pahlawan Iban di Nanga Padeh yang tidak pernah gentar dengan pentadbiran Brooke itu, Tuan Muda Charles Brooke telah sekali lagi mengatur ekspedisi perang untuk memerangi Aji Apai Limpa dan pahlawan Iban yang bersekutu dengannya. Sekitar Disember 1858, dengan kekuatan 200 orang pahlawan Melayu dan 2,000 orang pelbagai etnik yang mendokongi bersama-sama dengan tentera Sarawak Kingdom telah menuju ke Nanga Padeh.


Berita mengenai ekspedisi perang Tuan Muda Charles Brooke yang hendak ke Nanga Padeh memerangi Aji Apai Limpa akhirnya sampai jua ke pendengaran Aji sendiri. Dan menurut sumber Aji itu, kekuatan Tuan Muda Charles Brooke tersangatlah besar dan hanya dengan taktik perang yang bijaksana sahaja boleh mengalahkan mereka.


Setelah berhimpun dengan ketua-ketua perangnya, akhirnya Aji Apai Limpa telah mengarahkan agar kesemua pahlawan Ibannya untuk segera menebang pokok-pokok di persisir Sungai Layar. Tujuannya adalah untuk menyulitkan perjalanan rombongan tentera Brooke di Sungai Layar. Ini adalah salah satu daripada taktik perang konvensional etnik Iban sejak dahulu lagi yang dinamakan “pengerabah”.


Sebenarnya pokok-pokok tersebut tidaklah akan tumbang sebaliknya ianya diikat dengan rotan-rotan di daratan dan apabila musuh sudah menghampiri lokasi yang disebutkan dengan cepatnya rotan-rotan tersebut boleh diputuskan dan barulah pokok-pokok tersebut tumbang ke dalam Sungai Layar. Apabila ini berlaku sudah tentu rombongan tentera Sarawak Kingdom ketika itu akan kucar-kacir.


Taktik perang yang digunakan oleh Aji Apai Limpa itu sebenarnya berjaya memperlahankan kedatangan tentera Sarawak Kingdom dan sekutunya pada waktu itu tetapi tidak berjaya memusnahkannya secara total. Dengan penuh kesulitan akhirnya beberapa hari setelah berhempas pulas dengan pokok-pokok di Sungai Layar, rombongan tentera Sarawak Kingdom berjaya juga menghampiri sehingga ke Sungai Langit.


Di Sungai Langit inilah berlakunya pertempuran antara rombongan tentera Sarawak Kingdom di bawah pimpinan Tuan Muda Charles Brooke dengan pahlawan Iban dibawah pimpinan Aji Apai Limpa. Dikatakan ketika itu kerana berang yang amat sangat ditambah dengan kebenciannya kepada pemerintahan Brooke yang telah menyerang rumah panjangnya, Aji Apai Limpa dikatakan telah berlawan dengan hanya menggunakan parang ilangnya melawan tembakan senapang daripada tentera Sarawak Kingdom. Walaupun hanya bersenjatakan dengan parang ilang, Aji Apai Limpa berjaya membunuh beberapa orang sekutu Sarawak Kingdom dan beliau juga dikatakan cedera parah dan akhirnya gugur sebagai pahlawan Iban yang mempertahankan tanahairnya.


Gugurnya Aji Apai Limpa ditangan tentera Brooke telah memberikan seribu dendam kesumat kepada abangnya Nanang serta Luyoh. Dan kerana itulah dikatakan bahawa kedua-dua abangnya ini telah bersatu hati bersama-sama dengan pahlawan Ibannya yang lain memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Rentap Libau di Bukit Sadok ketika Ekspedisi Sadok dijalankan oleh Brooke. Merekalah antara pendokong kuat Kuta Rentap di Bukit Sadok yang hanya pada ekspedisi ketiga Brooke barulah boleh dimusnahkan.


Inilah satu sejarah perang seorang pahlawan iban bernama Aji Apai Limpa yang gugurnya untuk mempertahankan tanahairnya di Nanga Padeh daripada diserang oleh Brooke kerana beliau tidak mahu mengikut arahan Brooke untuk membayar cukai yang dikenakan. Perjuangan Aji Apai Limpa ini juga dilupa jangan dan kita sebagai anak Sarawak harus mengetahui setiap pengorbanan nenek moyang kita yang terdahulu di dalam kita cuba mengenal jati diri kita sebagai anak Sarawak, Bangsa Sarawak.



bottom of page