top of page

SARAWAK TURF CLUB


SARAWAK TURF CLUB

- Menyelusuri sejarah sukan kuda untuk perlumbaan di Sarawak


Mungkin ramai rakyat Sarawak yang masih terpinga-pinga dengan tajuk yang hendak diutarakan memandangkan ianya tidak popular dan amat jarang didengar di kalangan rakyat Sarawak. Namun sukan lumba kuda juga merupakan salah satu sukan yang merupakan satu sukan elit bagi bangsa Sarawak suatu waktu dahulu.


Di dalam menjejaki sejarah ini, Borneo Oracle telah berkesempatan bertemu dan membuat penyelidikan sejarah ke tempat sebenar dimana berlakunya perlumbaan lumba kuda yang pertama di Sarawak iaitu kita kembali ke Sarawak Turf Club yang dahulunya terletak di Jalan Padungan, Jalan Sekama, Jalan Tan Sri Dato’ William Tan, Jalan Lumba Kuda, Kuching yang kemudiannya bagi membenarkan pembangunan di Bandaraya Kuching Selatan telah berpindah ke Batu 8 ½ Jalan Penrissen, Kuching, Sarawak sekarang.


Sebenarnya sukan lumba kuda di Sarawak telah wujud sejak tahun 1880an lagi iaitu ketika pemerintahan keluarga Brooke melalui Rajah Ke-2 iaitu Rajah Charles Brooke. Rajah Charles Brooke sememangnya diketahui sebagai seorang penunggang kuda yang cekap di Negara kelahirannya iaitu di Devon, United Kingdom jadi ianya tidaklah menghairankan mengapa beliau mengwujudkan sukan lumba kuda di Sarawak.


Mengikut sejarahnya sebelum tertubuhnya Sarawak Turf Club, beliau dikatakan sering menunggang kuda di satu hamparan jalan menghijau bagi sukan riadahnya yang sekarang dikenali sebagai Jalan Green. Daripada hamparan hijau ini Green Road yang ada sekarang mendapat namanya. Minat beliau ini telah membawa kepada wujudnya Sarawak Turf Club yang pertama kalinya terletak di antara Jalan Padungan, Jalan Sekama, Jalan Lumba Kuda,Jalan Tan Sri Dato William Tan sekarang.


Mengikut sejarahnya perlumbaan pertama telah diadakan pada tahun 1890 dengan menggunakan kuda yang diimport dari Negara North Borneo (Sabah) iaitu jiran kepada Sarawak Kingdom. Seterusnya apabila melihat sambutan penduduk tempatan dan juga masyarakat Eropah di Sarawak, akhirnya pemilik-pemilik kuda telah menggunakan kuda import dari Negara Australia.


Dikala itu juga dikatakan Rajah Charles Brooke telah mengistiharkan Piala Sarawak di Sarawak Turf Club yang diadakan setahun sekali. Dikatakan sepanjang 2 hari perlumbaan besar ini ianya adalah cuti umum untuk seluruh Sarawak Kingdom pada waktu itu. Di Sarawak Turf Club ini setiap penonton akan mempunyai tempat duduk yang tertentu iaitu untuk kawasan grandstand berbumbung akan disediakan untuk masyarakat Eropah dan juga ketua-ketua kaum peribumi Sarawak manakala untuk kawasan duduk terbuka adalah untuk penduduk tempatan Sarawak.


Diceritakan bahawa satu hal yang berlaku apabila sukan lumba kuda tahunan berlaku, Rajah Charles Brooke akan menghiasi kapalnya “Maimunah” untuk belayar dari satu jajahan ke jajahan Sarawak Kingdom bagi menjemput ketua-ketua masyarakat pribumi Sarawak untuk bersama-sama merasai keseronokan perlumbaan itu. Acara tahunan perlumbaan ini akan diadakan dengan penuh gilang gemilang dengan adanya perarakan dengan alat muzik seperti pancaragan dan sebagainya.


Ianya adalah mirip kepada acara perlumbaan kuda yang dianjurkan di luar Negara seperti di United Kingdom. Pada ketika Rajah ke-3 dan yang terakhir Sarawak Kingdom memerintah iaitu Rajah Charles Vyner Brooke, sukan lumba kuda ini telah dinaikkan taraf dengan menjadikannya sebagai satu kelab lumba kuda professional. Di kala ini ramai rakyat tempatan Sarawak sendiri yang menjadi pemilik kepada kuda-kuda untuk sukan ini dengan segalanya diuruskan oleh anak-anak tempatan daripada kampong-kampung yang berdekatan seperti Kampung Lumba Kuda, Kampung Simpang Tiga dan Kampung Melayu Padungan.


Saiz badan anak watan Sarawak yang ketika itu kecil-kecil tetapi tegap merupakan susuk badan yang amat sesuai untuk menjadi joki. Mereka dilatih oleh jurulatih-jurulatih yang mahir yang dibawa khas daripada England untuk memantapkan lagi kepakaran dan kemahiran mereka.


Selepas sahaja Sarawak Kingdom diserahkan untuk menjadi tanah jajahan British Borneo, Sarawak Turf Club masih lagi menjadi nadi kepada sukan lumba kuda di Sarawak cuma mungkin pemiliknya adalah Gabenor British Sarawak pada ketika itu. Acara sukan lumba kuda tetap diteruskan malah pada masa itu acara sukan lumba kuda sudahpun mencapai kemuncaknya dengan kehadiran beberapa ekor kuda yang juga merupakan jaguh sukan lumba kuda di Negara jajahan British yang lain untuk bertanding di Sarawak Turf Club.


Pada ketika ini sambutan terhadap sukan ini sememangnya sudah gah seantero jajahan British Borneo ketika itu. Sekitar tahun 1949, kapasiti tempat duduk Sarawak Turf Club hanyalah sekitar 380 tempat duduk sahaja dan sekali lagi demi keperluan yang mendesak ianya telah diperbesarkan sekitar tahun 1950an-1960an dengan terbinanya sebuah astaka besar untuk tujuan pemantauan kuda-kuda yang sedang di dalam perlumbaan serta infrastruktur jalannya telah dinaik taraf bagi memudahkan peminat-peminatnya meletakkan kenderaan mereka.


Setelah Sarawak membentuk Gagasan Malaysia bersama-sama dengan Malaya, Sabah dan Singapura iaitu pada tahun 1963, keperluan untuk menjadikan Sarawak Turf Club sebagai salah satu kelab lumba kuda begitu mendesak sekali. Jadi pada tahun 1969, Mendiang Datuk Amar Wee Hood Teck telah mengambil alih semua urusan Sarawak Turf Club. Dibawah pentadbiran baru ini Piala Emas telah diperkenalkan dan jemputannya juga mencakupi peminat-peminat sukan lumba kuda di seluruh Gagasan Malaysia. Antara yang turut meminati sukan lumba kuda ketika itu adalah Perdana Menteri Gagasan Malaysia iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.


Sekarang, padang lumba kuda di kawasan asalnya sudah pun tiada lagi bagi membenarkan pembangunan yang mampan di kawasan Bandaraya Kuching Selatan sekarang. Jika dahulunya ianya dikenali sebagai Sarawak Turf Club namun sejak dari tahun 1990 setelah berpindah ke Batu 8 ½ Jalan Penrissen, ianya telah bertukar nama menjadi Sarawak Turf And Equestrian Club. Inilah sejarah sukan lumba kuda di Sarawak yang telahpun berusia lebih 100 tahun di bumi Sarawak sekarang.


Menulis artikel ini sebenarnya satu penghormatan kepada Borneo Oracle kerana disinilah iaitu Kampung Lumba Kuda tempat dilahir dan dibesarkan. Mengimbau kenangan menyaksikan sukan lumba kuda ini setiap minggu dan juga menyaksikan sendiri joki-joki yang juga pakcik-pakcik yang dikenali berlatih setiap pagi. Jutaan terima kasih kepada Majlis Bandaraya Kuching Selatan dan Sarawak Turf and Equestrian Club yang telah banyak membantu untuk menjejaki sejarah sukan ini sebagai satu wadah informasi untuk tatapan Bangsa Sarawak sekalian.




bottom of page