ETNIK SIHAN, SARAWAK, BORNEO
ETNIK SIHAN, SARAWAK, BORNEO
Etnik Sihan atau Sian pada dasarnya boleh dikategorikan sebagai etnik yang mengamalkan penghidupan secara nomad suatu waktu dahulu seperti juga etnik Penan. Namun begitu sesuai dengan peredaran zaman, etnik Sihan dikatakan sudahpun hidup menetap di suatu tempat. Tetapi malangnya populasi sebenar etnik Sihan ini dikatakan hampir tiada direkodkan di dalam mana-mana laporan populasi kaum di Sarawak. Yang terakhir hanya pada tahun 1988 sahaja etnik Sihan ini mempunyai rekod yang mana jumlah populasinya iaitu sekitar 117 orang sahaja.
Uniknya etnik Sihan ini adalah ianya adalah antara etnik yang hanya boleh didapati di Belaga, Kapit, Sarawak. Etnik Sihan juga dikatakan mempunyai bahasa atau dialek mereka yang tersendiri yang tidak menyamai mana-mana bahasa etnik yang lain. Rumpun bahasa bagi etnik Sihan dikategorikan dibawah rumpun bahasa Austranesian, Malayo-Polinesian, North Borneo, Melanau-Kajang, Kajang.
Jika diamati daripada konteks asal-usul keturunan pula, menurut legenda orang-orang tua etnik Sihan bahawa etnik Sihan ini adalah sebenarnya salah satu daripada etnik Punan iaitu Punan Batu. Etnik Punan Batu dikatakan satu etnik yang pernah menduduki Mujong. Di Mujong ini, etnik Sihan digelar “Orang Gua” kerana mereka dikatakan membuat penempatan atau perkampungan di dalam sebuah gua yang digelar Bukit Batu. Ada yang menceritakan bahawa Orang Gua ini bersaiz kecil dan amat tangkas menghilang diri. Sehingga sekarang teori ini belum lagi disahihkan di dalam mana-mana dokumentasi etnik di Sarawak melainkan hanya satu cerita legenda yang diperturunkan secara oral dari generasi ke generasi yang lain.
Etnik Sihan dikategorikan sebagai kumpulan etnik yang termasuk di dalam kategori etnik yang disebut Kajang iaitu salah satu di dalam etnik dibawah kategori Orang Ulu. Menurut laporan Maxwell (1992:5) ada menyatakan bahawa perkataan Kajang belum lagi mempunyai deskripsi yang komprehensif kerana Kajang itu sendiri tidak pernah disebut di dalam mana-mana sejarah kuno Sarawak sehinggalah pada awal 1960an malah diketika pemerintahan keluarga Brooke lagi, tiada etnik Kajang yang pernah disebut di dalam jurnal pengembaraan mereka.
Walau bagaimanapun, etnik Kajang boleh diperincikan sebagai:
- Pribumi yang lain selain daripada Kayan atau mereka yang bukan Kayan.
- Pribumi yang memakan sagu, pantu atau mulung dan menjadikan makanan ini sebagai makanan ruji mereka.
- Tempat asal kumpulan ini iaitu di Lembah Sungai Kajang iaitu salah satu anak sungai kepada Sungai Linau yang bahagian hulunya terletak di kawasan bahagian paling pedalaman di antara sempadan Belaga dan Kalimantan Barat Indonesia.
Mungkin kerana etnik Sihan ini mempunyai ketiga-tiga asas ini maka ianya telah dikategorikan di dalam etnik Kajang seperti etnik minoriti yang lain iaitu etnik Buketan, Sekapan, Kejaman, Lahanan dan Punan.
Menurut laporan Sandin (1985:70) etnik Sihan juga dikaitkan dengan kelompok Penan atau Punan apabila melalui satu soal selidik yang dijalankan ke atas masyarakat Sihan di Belaga pada waktu itu. Di dalam laporan itu menyatakan bahawa etnik Sihan menganggap Punan dan Sihan adalah sama tetapi bukan semua kelompok Punan ada kaitan dengan etnik Sihan. Dikatakan bahawa etnik Sihan mempunyai bahasa yang sama dengan etnik Punan Bushang dan Punan Amput sahaja.
Manakala persamaan etnik Sihan dengan etnik Punan Tanah adalah dari segi makanan ruji yang sama dan budaya tradisional yang sama dan etnik Sihan tidak mempunyai persamaan langsung dari segi bahasa dengan etnik Punan Tanah.
Jadi mungkin kerana etnik Sihan ini telah diasimilasikan kepada etnik-etnik yang lain di dalam masyarakat Sarawak maka ini membenarkan kenyataan apabila jumlah populasinya semakin mengecil sedangkan hakikatnya mereka ada Cuma dikategorikan menjadi etnik-etnik yang bersangkutan dengan mereka.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta..