FORT LILY, BETONG, SARAWAK
FORT LILY, BETONG, SARAWAK
Pemerintahan Brooke di Sarawak sememangnya telah banyak meninggalkan beberapa tempat bersejarah yang wajib dilawati apabila berkunjung ke sesuatu tempat. Dan nun jauh di bumi Betong, Sarawak ada sebuah lagi kubu pertahanan yang didirikan oleh pemerintah Brooke yang dikenali dengan nama Kubu Lily atau Fort Lily.
Sekitar tahun 1884, pemerintah Brooke di bumi Sarawak Kingdom melalui anak saudara Rajah James Brooke iaitu Tuan Muda Charles Brooke telah mengarahkan pentadbiran Sarawak Kingdom untuk membina sebuah kubu di kawasan yang dinamakan Rantau Anak suatu waktu dahulu dan sekarang dikenali dengan nama Betong. Dan seperti juga banyak kubu-kubu yang dibina untuk menjadi kubu pentadbiran Brooke di sesuatu wilayah serta menjadi penghalang untuk kebangkitan penduduk tempatan yang bangun menentang Brooke pada masa itu, Kubu Lily juga tidak terkecuali dengan alasan yang sama.
Pada ketika itu dikatakan Tuan Muda Charles Brooke sedang cuba untuk mematahkan penentangan yang dipimpin oleh seorang pengikut Rentap yang setia iaitu Aji Apai Limpa di Nanga Padeh. Walaupun telah cuba mematahkan penentangan Aji Apai Limpa sehingga rumah panjang Aji Apai Limpa juga turut musnah dibakar oleh Tuan Muda Charles Brooke dan angkatan tentera Sarawak Kingdom pada April 1884 namun itu tidak dapat mematahkan semangan Aji Apai Limpa pada waktu itu. Maka sebagai memberikan satu pusat pemerintahan di Betong pada masa itu maka didirikan sebuah kubu yang pada mulanya hanya dikenali dengan Kubu Betong yang siap pada tahun 1885.
Pemerintah pertama yang diarahkan untuk menjadi petugas Brooke di Kubu Betong adalah James Brooke Cruickshank yang juga merupakan barisan pelapis muda penjawat Bangsa Inggeris yang bekerja dengan kerajaan Sarawak Kingdom pada waktu itu. Diceritakan setelah ianya siap, Aji Apai Limpa dengan sekutunya telah cuba untuk memusnahkan Kubu Lily bagi menunjukkan penentangan mereka keatas pentadbiran Brooke namun begitu ianya berjaya dipatahkan oleh James Brooke Cruickshank berserta dengan sekutu kuatnya Panglima Bakir dari Saribas. Jadi terselamatlah Kubu Lily ini daripada sebarang penentangan oleh masyarakat tempatan pada waktu itu.
Kubu Lily ini dahulunya pernah menjadi salah satu daripada pejabat polis bagi Daerah Bentong dan seterusnya menjadi pejabat bagi pentadbiran Sarawak sebelum kesemua badan-badan kerajaan ini mempunyai bangunannya sendiri. Sekarang Kubu Lily masih lagi utuh di bumi Betong dan menjadi saksi kepada pembangunan Betong sejak dahulu sehinggalah kini.
Inilah Kubu Lily atau Fort Lily yang namanya diambil bersempena dengan nama sebenar Ranee of Sarawak iaitu isteri Rajah Charles Brooke yang menjadi Rajah ke-2 Sarawak Kingdom iaitu Margaret Alice Lili De Windt.