KACANG MA
KACANG MA
Kacang Ma… mesti ramai yang mengaitkan menu ini sebagai makanan berkhasiat untuk wanita berpantang sahaja kerana hakikatnya makanan berherba ini sebenarnya sudahpun menjadi kegilaan ramai urang Sarawak tanpa mengira jantina dan etnik.
Mengikut sejarahnya, menu masakan berkhasiat ini iaitu Kacang Ma adalah makanan yang disediakan untuk wanita-wanita selepas melahirkan anak di dalam kaum Cina Hakka. Dan ianya sehingga kini masih lagi diamalkan oleh masyarakat China Hakka di Negara Tembok Besar China. Namun begitu yang menjadi peliknya, masyarakat Cina Hakka di Semenanjung Malaysia, Singapura mahupun yang mendiami di Sabah tidak pula mengamalkan pemakanan ini tetapi untuk masyarakat Cina Hakka di Sarawak ianya adalah sesuatu yang popular.
Walau bagaimanapun, makanan berherba ini tidak hanya popular dan menjadi tradisi bagi masyarakat Cina Hakka Sarawak sahaja malah ianya juga sudah meresapi ke seluruh etnik di Sarawak tanpa mengira kaum dan agama. Dan keunikan makanan ini bukan hanya dikhaskan untuk golongan wanita tetapi juga antara menu makanan yang digemari oleh kaum lelaki Sarawak. Jika dahulu ianya dikhaskan untuk wanita yang di dalam pantang tetapi sesuai dengan peredaran zaman, kacang ma juga dihidangkan di dalam jamuan dan majlis-majlis kecil seperti makan malam keluarga atau parti hujung minggu seperti barbeku dan banyak lagi.
Sebenarnya menu masakan kacang ma ini mempunyai seribu satu khasiat kerana asas kepada ramuannya adalah satu tumbuhan herba yang dikenali sebagai Kacang Ma atau Chinese Motherwort. Nama saintifik kepada tumbuhan herba ini adalah Leonurus Artemisia iaitu tumbuhan herba yang dikategorikan di dalam keluarga pudina. Jika dahulu ianya hanya boleh ditemui di Negara Tembok Besar China tetapi sekarang ianya sudah boleh didapati di seluruh dunia. Ini kerana kegunaannya sebagai antara yang terbaik di dalam proses penyembuhan wanita-wanita selepas bersalin menyebabkan permintaannya tinggi di seluruh dunia.
Menurut sejarahnya nama botani Leonurus ini hanya dikenali pada tahun 1752 dan dinamakan sebegitu mengikut perkataan Yunani. “Leon” bermaksud “singa” dan “ourus” bermaksud ekor. Namanya diberikan sedemikian rupa kerana suatu waktu dahulu ianya dipercayai mempunyai hubungan spiritual dengan singa yang juga membawa maksud panjang umur bagi masyarakat Cina suatu waktu dahulu.
Herba Leonorus ini sebenarnya mempunyai seribu satu khasiat dan telah dibuktikan di dalam sains perubatan moden. Ianya sebenarnya adalah pemangkin untuk masalah peredaran darah tubuh manusia dan sudah tentu untuk wanita yang selepas bersalin memerlukan makanan berherba ini untuk memanaskan perut selepas 9 bulan 9 hari mengandung. Dan jika bercakap pasal peredaran darah di dalam tubuh manusia sudah tentu yang berjantina lelaki juga memerlukannya kerana ianya sesuai untuk tenaga batin serta menjadikan tubuh lelaki itu sihat walafiat hendaknya.
Kacang Ma amatlah sesuai untuk dimasak atau digoreng kering sebelum menambahkan dalam bahan-bahan lain seperti ayam, halia, wain putih Cina atau bagi etnik di Sarawak lebih menggemari memasukkan sedikit langkau iaitu wain beras asli. Apabila ada kesemua ramuan ini nanti apabila ianya dimasak maka akan naiklah aroma yang unik dan sedap dicium yang boleh menyebabkan penggemarnya begitu mendambakannya.
Inilah sekelumit informasi tentang Kacang Ma iaitu antara menu makanan yang sememangnya hanya ada di dalam masyarakat Sarawak tanpa mengira kaum dan seksualiti. Asalnya menu masakan untuk wanita yang sedang berpantang tetapi sekarang sudah menjadi menu popular di Sarawak Bumi Kenyalang.