SABAH, NEGERI DI BAWAH BAYU - Ke Arah Berkerajaan Sendiri
SABAH, NEGERI DI BAWAH BAYU
- Ke Arah Berkerajaan Sendiri
31hb Ogos 2015 ini maka genaplah 52 tahun Sabah, Negeri Di Bawah Bayu yang mendapat kemerdekaan daripada Kerajaan Koloni British Borneo. Kemerdekaan yang dikecapi atas jerih perih pejuang-pejuang Bangsa Sabah yang terdahulu di dalam memastikan siapa kita sekarang. Untuk paparan kali ini, Borneo Oracle akan memberikan sedikit ruang informasi tentang perjalanan Sabah, Negeri Di Bawah Bayu ke arah berkerajaan sendiri. dalam memastikan kemerdekaan yang ada ini harus wajar dipertahankan.
Sabah suatu ketika dahulu dikenali sebagai Borneo Utara (North Borneo) kerana kedudukannya yang terletak di utara Pulau Borneo. Pada tahun 1881, sebuah syarikat yang dinamakan Persatuan Perniagaan North Borneo telah ditubuhkan bagi memerintah Borneo Utara pada masa itu. Kemudian pada tahun 1882, setelah mendapat pengiktirafan daripada Kerajaan Mahkota British, syarikat tersebut telah menukar nama kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara Inggeris (The British North Borneo Company) dan kekal memerintah sehingga tahun 1946.
Walau bagaimanapun setelah termeterainya perjanjian 1888, Borneo Utara, Sarawak dan Brunei telah memeterai perjanjian dengan Kerajaan Mahkota British sebagai sebuah negara perlindungan (Protectrate) yang mana ketiga-tiga negara ini akan dilindungi oleh Kerajaan British sekiranya berlaku peperangan dan sebagainya. Kesemua ini dilakukan bagi melindungi hak-hak Syarikat Berpiagam Borneo Utara Inggeris ke atas Borneo Utara pada masa itu.
Pemerintahan Syarikat ini terhadap Borneo Utara telah memberi banyak pembangunan di kawasan ini. Borneo Utara diperintah melalui satu sistem secara hirarki (tidak langsung). Pada amnya pentadbiran berjalan dengan aman, namun begitu terdapat juga beberapa penentangan kecil. Penentangan yang serius termasuklah Perang Mat Salleh dari tahun 1894-1900 diikuti oleh penentangan Rundum yang dilakukan oleh suku Murut dalam tahun 1915.
Pihak Syarikat berupaya memerintah Borneo Utara sehingga 1942, selama 60 tahun apabila Perang Dunia Kedua tercetus. Tentera Jepun mendarat di Labuan pada 1 Januari dan menduduki North Borneo sehingga ia dibebaskan oleh askar dari ‘9th Division Australian Imperial Forces (A.I.F)’ pada tahun 1945. Selepas Perang Dunia Kedua, Borneo Utara telah ditadbir oleh Pentadbiran Ketenteraan British (British Military Administration) sehingga 15 Julai 1946 apabila kerajaan sivil disambung semula.
Pada 15hb Julai 1946, Borneo Utara secara rasminya menjadi tanah jajahan Koloni British memandangkan pihak Syarikat tidak berupaya membangunkan semula Borneo Utara akibat daripada kemusnahan sewaktu Perang Dunia Kedua. Pada mulanya sewaktu pemerintahan pihak Syarikat, Sandakan merupakan ibu negeri bagi Borneo Utara namun akibat daripada kemusnahan yang teruk, pihak Koloni British telah memberikan taraf ibu negeri kepada Jesselton sebagai pusat pemerintahan Koloni British dan sehingga sekarang statusnya kekal seperti seadanya. Semasa menjadi jajahan Koloni British inilah Sabah mahupun Sarawak dikenali sebagai Jajahan British Borneo.
Tidak seperti di Sarawak yang pada awalnya mempunyai gerakan yang dikenali sebagai Anti-Penyerahan, di Borneo Utara proses pertukaran daripada Syarikat Berpiagam kepada Jajahan Koloni British agak santai dan aman. Walau bagaimanapun setelah timbulnya kesedaran daripada beberapa pertubuhan masyarakat yang rata-ratanya diasaskan oleh tokoh-tokoh tempatan yang kebanyakkannya daripada mereka yang berkerja sebagai guru dan pegawai kerajaan maka barulah ada perkembangan nasionalisme yang berlaku di Borneo Utara pada masa itu.
Antara pertubuhan masyarakat tersebut adalah Persatuan Kebangsaan Melayu Labuan, Persatuan Kebangsaan Melayu Jesselton, Barisan Pemuda Labuan. Pasuk Momogun dan banyak lagi pertubuhan anak negeri North Borneo lantang menyatakan pendirian mereka. Namun begitu usaha ini juga tidak begitu menyeluruh dan Koloni British tetap berkuasa ke atas Borneo Utara.
Seperti di Sarawak, pihak Koloni British yang telah mengeluarkan Pekeliling 9 (Circular 9) yang melarang mana-mana individu untuk terlibat dengan politik maka begitulah juga yang terjadi ke atas Borneo Utara pada waktu itu. Kesemua ini dilakukan bagi memperlahankan kesedaran politik di kalangan penduduk tempatan dan terbukti ianya berjaya sekali. Hanya pada tahun 1950, kerajaan Koloni British telah mula memberikan sedikit ruang kepada penduduk tempatan Borneo Utara untuk mempelajari selok belok pemerintahan sendiri.
Maka pada bulan Oktober 1950, perlembagaan telah digubal dan ini memberi ruang kepada penduduk tempatan Borneo Utara untuk menganggotai Majlis Undang. Antara nama-nama besar yang pernah menjadi ahli Majlis Undangan Sabah tersebut adalah Donald Stephens dan Datu Mustapha bin Datu Harun.
Melihat kepada betapa perlunya penglibatan jumlah penduduk tempatan untuk menganggotai sistem pemerintahan North Borneo maka pada tahun 1960, Perlembagaan 1950 telah digubal semula dan ianya dilakukan bagi menambahkan jumlah bilangan ahli di dalam Majlis Undangan. Maka ramailah pemimpin-pemimpin anak tempatan yang dapat dilatih untuk menuju ke arah berkerajaan sendiri. Pada tahun 1962, pilihanraya yang pertama telah diadakan di Borneo Utara. Pilihanraya ini adalah bagi memilih pemimpin-pemimpin untuk menganggotai Majlis Tempatan.
Ianya adalah satu titik permulaan bagi memilih perwakilan secara demokrasi. Walaupun hakikatnya Majlis Tempatan telahpun ditubuhkan sejak dari tahun 1952 lagi namun begitu Majlis Tempatan didominasi oleh Koloni British kerana Majlis Tempatan ini bertanggungjawab kepada perkara-perkara seperti hal ehwal kewangan, pendidikan, kesihatan, bekalan air dan elektrik, pertanian serta ternakan yang menjadi nadi kepada penghidupan penduduk Borneo Utara pada waktu itu. Jadi mengadakan pilihanraya untuk memastikan adanya wakil-wakil penduduk tempatan di Majlis Tempatan merupakan sesuatu yang paling penting di dalam “road map” untuk kemerdekaan Borneo Utara.
Pada tanggal 27 Mei 1961, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana menteri kepada Persekutuan Tanah Melayu telah mengwar-warkan tentang gagasan penubuhan negara Malaysia yang terdiri daripada 5 buah negara iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak. Antara sebab-sebab keatas cadangan pembentukan gagasan ini bagi menyekat pengaruh komunis yang mula menular di Asia Tenggara, mengimbangi jumlah penduduk dan meningkatkan kemajuan ekonomi serta mempercepatkan proses kemerdekaan terhadap Singapura, Brunei, Sarawak dan Borneo Utara yang masih lagi merupakan negara jajahan Koloni British pada masa itu sedangkan Persekutuan Tanah Melayu sudahpun merdeka pada 31 Ogos 1957.
Pada dasarnya Singapura menyambut baik idea pembentukan gagasan tersebut manakala Brunei enggan menyertainya sejak dari awal lagi. Sarawak dan Borneo Utara yang mulanya menolak cadangan tersebut akhirnya telah bersetuju apabila diberi jaminan mengenai pemerintahan sendiri iaitu pemerintahan Negara Berautonomi di dalam Gagasan Malaysia.
Walaupun secara dasarnya ianya telah dipersetujui tetapi bagi memberi keadilan kepada semua, pada 17 Januari 1962, sebuah suruhanjaya telah ditubuhkan bagi meninjau pandangan daripada penduduk-penduduk di Borneo Utara dan Sarawak. Suruhanjaya ini dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold (Cobbold Commission) yang dianggotai oleh 5 orang ahli dengan dipengerusikan oleh Lord Cobbold dan dianggotai oleh dua wakil Kerajaan British, Sir Anthonv Abell dan Sir David Watherston, sementara wakil Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula terdiri dari Datuk Wong Pow Nee dan Encik Mohamed Ghazali Shafie. Mr. H. Harris bertindak selaku Setiausaha.
Sepanjang Februari-April 1962, Suruhanjaya ini telah menemui lebih 4000 orang dan menerima 2200 memorandum daripada pelbagai pihak yang terdiri daripada parti-pati politik, ahli-ahli mesyuarat kerajaan dan undangan, pembesar-pembesar, anak-anak negeri dan pemimpin kaum, majlis bandaran, pemimpin-pemimpin agama, kesatuan sekerja dan orang ramai yang memberikan pandangan. Akhirnya pada 1 Ogos 1962, Laporan daripada Suruhanjaya Cobbold telah siap dan diserahkan kepada Kerajaan British. Antara intipati laporan tersebut adalah:
- Persekutuan yang ditubuhkan bersetuju dan sesuai dengan nama “Malaysia”. - Pemberian Kuasa menentukan hal ehwal agama dan dasar imigresen di beri kuasa pada Majlis Undangan Negeri Borneo Utara dan Sarawak. - Kaum pribumi Borneo Utara dan Sarawak diberi kedudukan istemewa dan di kekalkan. - Perwakilan Borneo Utara dan Sarawak akan diwujudkan dalam Parlimen Malaysia. - Bagi memudahkan pengendalian hal ehwal kewangan, kewarganegaraan, kedudukan bumiputra, kebebasan beragama,dan pendidikan, penubuhan sebuah jabatan persekutuan di cadangkan ditubuh di Sarawak dan Borneo Utara. - Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) hendaklah ditubuhkan dan jawatankuasa ini bertanggung jawab menjamin hak dan kepentingan rakyat Borneo Utara dan Sarawak agar tidak tergugat apabila menyertai Gagasan Malaysia kelak.
Suruhanjaya ini menyimpulkan bahawa pembentukan Gagasan Malaysia harus dilaksanakan. Namun, Lord Cobbold juga menekankan bahawa semua negara yang membentuk Gagasan Malaysia sebagai rakan sejajar. Penemuan tersebut diringkaskan oleh Lord Cobbold sebagai berikut:
“About one-third of the population of each territory strongly favours early realisation of Malaysia without too much concern about terms and conditions. Another third, many of them favourable to the Malaysia project, ask, with varying degrees of emphasis, for conditions and safeguards varying in nature and extent: the warmth of support among this category would be markedly influenced by a firm expression of opinion by Governments that the detailed arrangements eventually agreed upon are in the best interests of the territories. The remaining third is divided between those who insist on independence before Malaysia is considered and those who would strongly prefer to see British rule continue for some years to come. If the conditions and reservations which they have put forward could be substantially met, the second category referred to above would generally support the proposals. Moreover once a firm decision was taken quite a number of the third category would be likely to abandon their opposition and decide to make the best of a doubtful job. There will remain a hard core, vocal and politically active, which will oppose Malaysia on any terms unless it is preceded by independence and self-government: this hard core might amount to near 20 per cent of the population of Sarawak and somewhat less in North Borneo.” —Lord Cobbold, Cobbold Commission –
Setelah kata sepakat dicapai antara Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dengan Harold Macmillan, Perdana Menteri British untuk mengadakan rundingan di London. Rundingan tersebut berlangsung selama 2 minggu. Pada 9 Julai 1963, satu perjanjian penting telah ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London.
Perjanjian Penubuhan Gagasan Malaysia ini telah ditandatangani oleh wakil-wakil Kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara, Sarawak dan Singapura. Kerajaan British telah diwakili oleh Perdana Menteri Encik Harold Macmillan, Encik Ducan Sandys dan Lord Landsdowne. Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula telah diwakili oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Encik Tan Siew Sin, Datuk V.T. Sambanthan, Datuk Ong Yoke Lin dan Dr. Lim Swee Aun. Borneo Utara pula telah diwakili oleh Datuk Mustapha bin Datuk Harun, Encik Donald A. Stephen, Encik W.K.H. Jones, Encik Khoo Siak Chiew, Encik W.S. Holley dan Encik G.D. Sundang. Wakil-wakil dari Sarawak pula terdiri daripada Encik P.E.H. Pike, Temenggung Jugah, Datuk Bandar Abang Haji Mustapha, Encik Ling Beng Siew dan Datuk Abang Haji Openg.
Sementara Singapura telah diwakili oleh Encik Lee Kuan Yew dan Encik Goh Keng Swee. Kesemua negara gabungan berserta Kerajaan British bersetuju mengeluarkan kenyataan bersama pada 12hb Julai 1963 iaitu Kerajaan British bersetuju memberikan kemerdekaan kepada Sabah, Sarawak dan Singapura bagi membenarkan negara-negara ini bergabung untuk membentuk Gagasan Malaysia dan Gagasan Malaysia hanya akan wujud pada 31hb Ogos, 1963. Jadi Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 dan Borneo Utara merdeka pada 31 Ogos 1963.
Walaupun perancangan sebenar pengisytiharan akan dibuat pada 31 Ogos 1963, majlis tersebut terpaksa ditangguhkan. Lawrance Michelmore selaku wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi mengadakan tinjuan pandangan penduduk Borneo Utara dan Sarawak. Pada 14 September 1963, laporan telah dikeluarkan yang mengesahkan majoriti penduduk North Borneo (Sabah) dan Sarawak tersebut menyokong untuk membentuk Gagasan Malaysia. Justeru, pada 16 September 1963, gagasan tersebut telah menjadi kenyataan dan lahirlah sebuah gagasan yang dikenali sebagai Malaysia.
Inilah sekelumit sejarah perjalanan Sabah, Negeri Di Bawah Bayu Ke Arah Berkerajaan Sendiri buat informasi kepada rakyat Malaysia amnya, Sabah dan Sarawak khususnya di dalam kita menghayati sebenar makna kemerdekaan kepada negara kita yang tercinta. Inilah sejarah sebenar yang kita tidak boleh ubah biarpun dengan tinta darah sekalipun. 31hb Ogos 1963 adalah tarikh sebenar kemerdekaan Sabah daripada menjadi jajahan Koloni British.
Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan yang ke 52 buat rakyat Sabah.