ADAT ISTIADAT PERKAHWINAN ETNIK LUN BAWANG
ADAT ISTIADAT PERKAHWINAN ETNIK LUN BAWANG
Etnik Lun Bawang adalah salah satu daripada etnik pribumi Sarawak yang tergolong di dalam Kaum Orang Ulu. Diceritakan bahawa etnik Lun Bawang telah berhijrah ke Sabah, Sarawak dan Brunei sekitar abad ke-17 dan ke-18 lagi daripada Kalimantan, Indonesia. Sejarah awal penempatan mereka dikatakan bermula di Tanah Tinggi Kerayan Kelabit iaitu kawasan tengah di utara Borneo. Di Sarawak, populasi masyarakat Lun Bawang ramai terdapat di sepanjang persisiran Sungai Lawas, Trusan dan Limbang.
Seperti etnik-etnik pribumi Sarawak yang lain, etnik Lun Bawang juga mempunyai adat istiadat perkahwinan yang unik dan masih lagi dipertahankan sehingga ke hari ini. Adat resam perkahwinan ini diwarisi sejak zaman berzaman lagi dan sentiasa menjadi kebanggaan setiap etnik Lun Bawang sehingga ke hari ini.
Pada zaman dahulu sebelum kedatangan agama di dalam masyarakat Lun Bawang, hampir setiap aspek penghidupan contohnya seperti membina rumah hendaklah diadakan satu upacara akan diadakan bagi memastikan bahawa setiap yang dilakukan tidak akan bertentangan dengan dunia spiritual. Tetapi sesuai dengan kedatangan agama di dalam masyarakat Lun Bawang, banyak adat dan budaya mereka telah diasimilasikan mengikut ajaran agama mereka kerana rata-rata masyarakat Lun Bawang sejak di tahun 1930an lagi sudahpun menganuti agama Kristian.
Adat istiadat perkahwinan etnik Lun Bawang biasanya bermula sekiranya si teruna sudahpun memilih si dara pilihan hatinya. Si teruna perlu memberitahu kepada keluarganya akan niat hatinya dan keluarga si teruna akan bertandang ke rumah si dara untuk berunding.
Di dalam proses perundingan ini segalanya akan dibincangkan termasuk tarikh untuk perkahwinan cuma janganlah ada sesuatu benda yang berlaku di dalam proses perundingan itu berjalan contohnya ada benda-benda yang terjatuh kerana ini memberi petanda buruk dan risiko untuk perkahwinan itu ditunda adalah besar sekali. Sekiranya segalanya berjalan lancar maka perkahwinan ini akan diteruskan mengikut adat yang telah dipersetujui.
Sewaktu majlis perkahwinan diadakan, pengantin lelaki akan bertandang ke rumah panjang keluarga pengantin perempuan. Mengikut adat yang dipersetujui oleh kedua-dua keluarga sewaktu perundingan, pengantin lelaki akan membawa bersama baling besar, peralatan pertanian, alat muzik seperti gong dan beberapa ekor haiwan seperti khinzir dan lain-lain sebagai hantaran perkahwinan. Kesemua hantaran ini adalah simbol kepada permulaan kepada perjalanan bahtera penghidupan sebagai suami isteri kelak.
Sebelum upacara perkahwinan ini diadakan maka semua penduduk , akan bersama bergotong royong menyediakan jamuan perkahwinan itu nanti. Mereka akan sama-sama membuat “Nuba Laya” iaitu nasi lembut yang diletakkan di dalam daun. Dan di dalamnya juga diisikan dengan sayur-sayuran yang sudah dimasak dan kemudian dihidangkan kepada tetamu majlis perkahwinan itu nanti. Makanan seperti “Kelupis” juga akan disediakan secara gotong royong. Kelupis adalah makanan tradisional iaitu diperbuat daripada beras pulut yang diadun bersama gula merah, minyak dan garam. Kuih tradisional seperti “Pinaram” dan “Nunu” juga akan turut sama disediakan.
Di dalam masyarakat Lun Bawang sememangnya adat gotong royong ini adalah satu yang menjadi kebanggaan kepada mereka dan kaum wanita dan kaum lelaki telah mempunyai bidang tugas masing-masing. Yang memerlukan hasil tangan lembut dan kreatif seperti kerja memasak adalah bidang tugas kaum wanita tetapi untuk kerja-kerja seperti melakukan penyembelihan binatang, menyediakan air untuk dimasak atau menyalakan api serta mencari kayu api adalah bidang tugas kaum lelaki. Itulah keberkahan yang didapati di dalam masyarakat Lun Bawang yang tidak mementingkan dominasi sesuatu jantina sahaja.
Apabila tiba hari perkahwinan, maka semua tetamu akan bersukaria bagi menunjukkan kegembiraan atas perkahwinan tersebut. Maka bermulalah acara tari menari tradisional masyarakat Lun Bawang dengan diiringi oleh kumpulan muzik tradisional mereka. Mereka akan bersama-sama menjamu selera dengan makanan dan minuman yang telah disediakan secara gotong-royong itu tadi.
Sesuatu yang agak unik di dalam masyarakat Lun Bawang adalah cara penyusunan makanan yang dihidangkan. Di dalam adat makan ini, golongan lelaki dan wanita akan mempunyai kumpulan-kumpulan makan yang tersendiri maksudnya kedua-dua jantina tidak akan bercampur di dalam satu kumpulan.
Masyarakat Lun Bawang lebih menggemari untuk makan di atas lantai beralaskan tikar dan makanan bagi setiap kumpulan akan dimulai dengan menyusun “Nuba Laya” ditengah-tengah dan kemudian barulah diletakkan mangkuk-mangkuk kecil secara urutan. Bagi kelompok lelaki, mereka akan mula berbual-bual mengikut kelompok masing-masing dan kelompok wanita kebiasaannya lebih senyap daripada kelompok lelaki sesuai dengan tertib dan bicara masyarakat wanita Lun Bawang yang penuh kelembutan dan berbudi bahasa.
Inilah adat istiadat perkahwinan etnik Lun Bawang, Sarawak yang sehingga ke hari ini masih lagi dilestarikan biarpun sudah diamalkan berkurun lamanya. Keunikan inilah yang membuatkan Sarawak ini kaya baik dari segi masyarakatnya, adat tradisi dan warisannya.