top of page

LEGENDA BATU GONG DAN REMAUNG


LEGENDA BATU GONG DAN REMAUNG


Jika di Negeri Sembilan ada satu cerita legendanya yang amat terkenal malah telah difilemkan iaitu Waris Jari Hantu yang mana ianya menceritakan saka keluarga iaitu harimau jadi-jadian. Namun mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa di dalam etnik Iban Sarawak juga mempunyai satu cerita legenda yang mempunyai misteri yang sama iaitu “Remaung”.


Remaung adalah sejenis binatang yang dikatakan berasal dari alam bunian dan ianya juga mempunyai ciri-ciri yang pelik iaitu separuh daripada badannya di sebelah atas menyerupai singa manakala bahagian badannya menyerupai manusia. Dan kewujudan remaung ini sebenarnya ada hubungkaitnya dengan sebuah batu yang berada di Sungai Katibas sekarang iaitu Batu Gong.


Batu Gong di Sungai Katibas itulah nama sebuah batu yang sebenarnya dahulunya dikenali sebagai Batu Bedawak atau Tawak iaitu sejenis peralatan muzik gong bagi masyarakat Iban. Ianya dipanggil Batu Bedawak kerana bonggolan batu di tepi Sungai Katibas ini dikatakan menyerupai tawak atau gong. Namun penduduk tempatan yang mendiami kawasan Sungai Katibas lebih memanggilnya dengan panggilan Batu Gong.


Sebenarnya ada cerita legenda tentang kemunculan Batu Gong ini dan ianya berkaitan secara langsung dengan Remaung, makhluk aneh yang dikatakan berasal dari alam bunian. Batu Gong ini bukanlah sembarangan batu kerana sehingga sekarang Batu Gong ini masih dianggap suci oleh masyarakat Iban terutamanya kepada mereka yang masih lagi mengamalkan animesme atau pagan kerana Batu Gong ini ada waktu-waktunya akan dipuja bagi meminta semangat ghaib atas sesuatu hal yang berlaku.


Menurut cerita lisan orang-orang tua daripada masyarakat Iban, Sarawak, suatu ketika dahulu ada satu makhluk yang dikatakan berasal daripada dunia bunian bernama Remaung tinggal di Sungai Katibas. Remaung ini sebenarnya adalah makhluk yang berkepala singa dan berbadan manusia dan dia hanya makan daging manusia. Oleh kerana sifatnya yang suka memburu manusia untuk makanannya jadi ianya digeruni oleh masyarakat Iban yang tinggal di Sungai Katibas pada masa itu.


Banyak cara sudah digunakan oleh masyarakat Iban Sungai Katibas untuk menangkapnya namun Remaung ini sentiasa dapat menghidu perangkap yang dibuat untuknya. Jadi mahu tidak mahu, masyarakat Iban Sungai Katibas terpaksalah menghindari kawasan yang menjadi kegemaran Remaung contohnya Sungai Katibas yang kaya dengan hasil hutannya serta ikan-ikan yang boleh dijadikan oleh mereka untuk kelansungan hidup mereka. Dan jika ada masyakat Iban yang berani untuk ke Sungai Katibas pada masa itu sudah tentu bala akan berlaku.


Dari hari ke sehari, masyarakat Iban Sungai Katibas sudah tidak boleh menahan sabar atas keganasan si Remaung dan mereka merujuk hal ini kepada Bungai Nuing. Keluhan daripada masyarakat Iban Sungai Katibas ini didengari oleh Bungai Nuing yang tinggal di suatu tempat bernama Panggau Libau. Difahamkan Bungai Nuing ini bukanlah sembarangan orang kerana Panggau Libau tempat dia tinggal merupakan satu tempat yang suci yang mana menurut kepercayaan masyarakat Iban, Panggau Libau hanya dihuni oleh mereka yang tampan, bijaksana dan penuh kesaktiannya.


Jadi Bungai Nuing juga bukanlah seorang yang yang sembarangan kerana dia juga adalah seorang yang sempurna segalanya malah penuh dengan kesaktian yang tidak ada pada manusia biasa. Jadi apabila Bungai Nuing telah memberikan respons kepada keluhan masyarakat Iban Sungai Katibas pada masa itu ianya seperti satu peluang keemasan yang dinantikan bagi penduduk tempatan kerana dapatlah Remaung yang ganas itu dihapuskan.


Maka tibalah Bungai Nuing di rumah panjang masyarakat Iban Sungai Katibas dan daripada aduan-aduan yang didengar oleh Bungai Nuing tentang keganasan Remaung ini telah menyebabkan dia marah. Setelah segalanya didengar dan bukti dihimpunkan maka berangkatlah Bungai Nuing ke Batu Gong tempat kediaman Remaung. Bungai Nuing bersemuka secara empat mata dengan Remaung dan ternyata Remaung juga bukan calang-calang makhluk kerana dia juga mempunyai kesaktiannya yang tersendiri.


Pertarungan mereka dikatakan berlangsung 3 hari 3 malam namun tiada siapa yang menang. Bungai Nuing yang terkenal dengan cerdik pandainya tahu bahawa dia juga harus menggunakan akal fikiran untuk mengalahkan Remaung. Maka untuk pertarungan pertama Bungai Nuing membiarkan Remaung gah dengan kejayaannya dan Bungai Nuing pun berlalu pergi dan ini menyebabkan Remaung amat yakin bahawa Bungai Nuing tidak akan mencampuri urusannya lagi di Sungai Katibas.


Tetapi telahan Remaung itu sebenarnya meleset sama sekali kerana hakikatnya Bungai Nuing yang disangkakan berlalu pergi sebenarnya hanya bersembunyi di sekitar kawasan tersebut. Sebaliknya Bungai Nuing membiarkan Remaung untuk pulang ke kediamannya di dalam Batu Gong tersebut. Setelah Remaung masuk ke dalam Batu Gong iaitu kediaman Remaung itu, maka Bungai Nuing dengan cepat-cepat keluar daripada persembunyiannya.


Dengan secepat kilat, Bungai Nuing telah mengepal batu-batu yang berada di sekitar Sungai Katibas menjadi seperti bentuk bola dan kemudian terus disumbat ke dalam lubang-lubang Batu Gong. Hampir setiap jalan keluar Remaung dari dalam Batu Gong telah ditutup oleh Bungai Nuing dan akhirnya Remaung itu mati di dalam Batu Gong tanpa ada usaha daripadanya untuk keluar daripada batu persembunyiannya. Sejak itu dikatakan masyarakat Iban Sungai Katibas hidup dengan penuh harmoni dan aman tanpa ada rasa takut untuk mencari rezeki di Sungai Katibas sehingga sekarang.



bottom of page