PEMBINAAN TERUSAN KUT ATAU SUNGAI KUT 1790an
PEMBINAAN TERUSAN KUT ATAU SUNGAI KUT 1790an
Terusan Kut? Mungkin ramai rakyat Sarawak akan berasa hairan pernah adakah sebuah terusan dibina di Sarawak. Sesuatu yang amat jarang-jarang di dengar di Sarawak namun begitu memang ada sebuah terusan yang dikenali sebagai Terusan Kut ataupun lebih dikenali sebagai Sungai Kut yang masih kekal sehingga sekarang kewujudannya.
Terusan Kut atau Sungai Kut dibina kira-kira sekitar tahun 1790-an oleh Jilag dan pengikutnya yang setia. Siapakah Jilag? Sudah tentu namanya tidak diketahui umum kerana nama ini wujud sewaktu Sarawak masih lagi menjadi tanah kuripan kepada Kesultanan Brunei lagi. Mengapa mereka membina terusan ini (Sungai Kut)? Inilah satu sejarah yang akan dirungkai di dalam artikel ini.
Jilag adalah Ketua kepada penduduk Kampung Medong suatu waktu dahulu. Kampung Medong sebenarnya terletak di pinggir Sungai Oya (Batang Oya). Penduduk kampung akan melalui Batang Oya untuk pergi ke laut menangkap ikan dan juga pergi ke Sibu untuk menjual hasil tangkapan serta hasil pertanian mereka seperti tepung sagu, topi, bakul dan tikar. Untuk sampai ke Sibu mereka perlu keluar ke laut melalui Batang Oya dan kemudian masuk semula ke sebuah sungai lagi yang dinamakan Sungai Igan (Batang Igan). Nama kedua-dua sungai ini berkaitan dengan perkampungan di kuala sungai tersebut.
Ketua bagi penduduk Oya bernama Pengiran Mohammad Ali atau Matali. Matali adalah saudara kepada Sultan Brunei yang telah ditugaskan untuk menjaga Oya bagi pihak Kesultanan Brunei pada suatu waktu dahulu. Hubungan Medong dan Oya diceritakan sangat baik sehingga jika ada musuh yang cuba untuk menyerang Medong maka penduduk Oya akan berganding bahu untuk menghentikan mereka sebelum sampai ke Medong.
Jilag, ketua penduduk Medong dikatakan sangat bijak dan dapat menyelesaikan semua masalah dengan baik dan adil. Bukan setakat dari penduduk dari Kampung Medong saja yang meminta nasihat daripada beliau malah juga penduduk di Oya. Apabila mendengar kisah kehebatan dan kebijaksanaan Jilag ini maka Matali berasa kurang senang dan merasakan reputasinya sebagai ketua di Oya tergugat.
Pada suatu hari beliau telah mengatur rancangan iaitu beliau mengarahkan pengikutnya untuk meletakkan halangan berbentuk tali rotan dan beberapa bilah lembing di satu tempat di Batang Oya. Jadi dengan berbuat demikian, barangsiapa dari Kampung Medong yang ingin melepasi halangan tersebut haruslah memberikan sejumlah ufti yang berbentuk emas kepadanya.
Jadi penduduk Medong yang tidak tahu tentang halangan tersebut telah turun ke laut seperti biasa namun mereka terpaksa berpatah balik apabila sampai pada halangan tersebut. Hal ini terus disampaikan kepada ketua mereka iaitu Jilag. Jilag amat hairan mengapa ada halangan yang harus dibuat sedangkan selama ini hubungan Oya dan Medong amat baik sekali. Dengan rasa tanggungjawabnya sebagai seorang ketua, keesokannanya Jilag telah menghantar utusan ke Oya dengan berjalan kaki menyusuri tebing sungai untuk bertemu Pengiran Mohammad Ali dan bertanya tentang perkara tersebut.
Pengiran Mohammad Ali telah memberi penjelasan kewajaran tindakannya kepada utusan Jilag dan pulanglah rombongan Jilag ke Medong. Kemudian utusan Jilag telah menyampaikan hasil perbincangan mereka dengan Pengiran Mohammad Ali yang tetap berdegil untuk meneruskan halangannya. Perkhabaran ini sudah tentu tidak menggembirakan Jilag dan penduduk di Medong kerana itulah sahaja jalan yang harus dilalui jika hendak menjual dan membeli keperluan mereka ke Sibu. Selain itu ufti berbentuk emas adalah sesuatu yang amat membebankan bagi penduduk di Medong.
Melihat kepada masalah besar yang sedang dihadapi penduduk Medong, maka Jilag pun mengadakan mesyuarat dengan orang-orang tua di kampung tersebut. Beliau bertanya jika ada sesiapa tahu jalan lain atau sungai yang dapat dilalui untuk pergi ke laut. Seorang tua telah tampil memberitahu bahawa ketika dia muda-muda dulu pernah terjumpa laluan kecil ketika berburu. Lebih kurang ½ hari perjalanan akan terjumpa parit kecil yang mengalir ke Sungai Igan katanya.
Bertitik tolak daripada cerita orang tua Medong ini maka Jilag pun mengarahkan beberapa penduduk Medong untuk membuat penyelidikan tentang kebenaran cerita tersebut. Maka sekumpulan lelaki telah pergi menyusuri laluan kecil sehingga mereka berjumpa sebatang sungai. Mereka berfikir kalaulah mereka ada perahu kecil, mereka boleh melalui sungai tersebut untuk keluar ke Batang Igan. Ketika mereka menjumpai sungai itu, sudah tengahari dan mereka duduk makan bekalan yang dibawa. Waktu mereka makan itulah air sedang pasang dan mulai memenuhi jalan kecil yang mereka lalui tadi. Mereka dapat idea untuk menunggu air pasang supaya dapat menolak perahu kecil dari Medong melalui laluan kecil tadi ke sungai dan seterusnya berkayuh ke batang Igan.
Pada keesokan harinya, beberapa orang lelaki yang kuat telah bersedia dengan perahu kecil dan bila air pasang mereka menolak perahu dari Medong melalui jalan kecil yang mereka lalui semalam. Dengan bantuan sedikit air pasang yang masuk ke jalan itu, mereka menolak perahu perlahan-lahan sehingga ke sungai kecil. Mereka mengambil masa hampir satu hari juga menolak perahu untuk sampai ke sungai tu. Mereka membuat pondok ditepi sungai dan bermalam di situ. Keesokan hari mereka mula berkayuh melalui sungai tersebut dan sampai ke sungai yang lebih besar iaitu Batang Igan. Apabila sampai ke Batang Igan mereka mengangkat pengayuh dan menjerit kegembiraan kerana telah menjumpai jalan lain untuk ke Sibu.
Hari seterusnya 3 buah perahu lagi telah keluar ke Sibu dengan cara yang sama. Walau bagaimanapun, untuk menolak perahu sebegitu sebelum sampai ke sungai bukanlah kerja yang mudah. Ianya perlukan tenaga dan hanya orang-orang yang kuat sahaja yang mampu lakukan. Pada suatu hari Jilag memanggil para penduduk lelaki untuk bermesyuarat. Beliau memulakan kata dengan rasa bangga dan gembira kerana mereka telah menjumpai jalan alternatif ke Sibu dan juga ke laut tetapi menyatakan adalah sukar untuk mengerakkan perahu sebegitu.
Dia juga mengajak para penduduk lelaki tersebut berfikir setelah menyedari bahawa semakin mereka menolak perahu melalui jalan tersebut, semakin dalam dan besar jadinya laluan itu. Jadi beliau memberikan buah fikiran beliau agar mereka menggali jalan tersebut dan menjadikannya sebuah terusan yang cukup untuk dilalui perahu. Cadangan ini dipersetujui dengan sebulat suara oleh penduduk lelaki Medong.
Hari seterusnya, seawal subuh lagi penduduk lelaki Medong tidak kira tua dan muda telah keluar dengan membawa peralatan pertanian seperti cangkul, parang, kapak dan sebagainya. Mereka melakukan kerja masing-masing. Kaum wanita Medong juga tidak mahu ketinggalan apabila mereka turut membantu dengan menyediakan makanan untuk semua orang. Selepas bekerja keras selama 6 hari, maka siaplah sebuah terusan dan penduduk menamakannya “Sungai Kut”. Jika dilihat daripada dialek Melanau, Kut bermaksud Korek atau Gali. Jadi berpadananlah namanya dengan caranya dibina. Dengan siapnya sungai baru tersebut, maka penduduk Medong sudah boleh berkayuh dari Batang Oya ke Batang Igan dan seterusnya ke Sibu atau ke laut melalui Kuala Igan.
Berbalik semula kepada kisah Pengiran Mohammad Ali dan pengikutnya, mereka berasa hairan apabila mereka mendapati tiada siapa yang melalui halangan menuju ke laut. Pengiran Mohammad Ali menyuruh pengikutnya mengangkat halangan dan pergi ke Medong untuk untuk melihat apa yang berlaku. Sampai di Medong, Jilag telah menyambut Pengiran dengan mesra dan menjamu makanan kepada mereka. Sewaktu menjamah hidangan inilah Jilag memberitahu kepada Pengiran Mohammad Ali tentang apa yang sudah penduduk Medong usahakan iaitu membina sebuah terusan.
Mendengar cerita itu, maka dengan perasaan hormat Pengiran Mohammad Ali kepada Jilag semakin menebal kerana memang terbukti sesungguhnya kebijaksanaan Jilag yang mampu untuk mengelakkan pertempuran hanya kerana soal laluan sungai telah membuktikan bahawa Jilag adalah seorang ketua yang bijak dan adil. Sejak itu dikatakan hubungan Oya dan Medong kembali erat malah lebih erat daripada sebelumnya.
Inilah cerita disebalik pembinaan sebuah terusan yang bersejarah yang bernama Terusan Kut atau Sungai Kut yang dibina pada tahun 1790an. Sudah pasti ramai yang tidak mengetahui sejarahnya walaupun ianya tidak se-gah Terusan Wan Mat Saman di Kedah tetapi ianya tetap sejarah lama yang wajar untuk kita ketahui.