top of page

ADAT ISTIADAT MENYAMBUT “BUJANG BERANI” PULANG DARI PERANG NGAYAU


ADAT ISTIADAT MENYAMBUT “BUJANG BERANI” PULANG DARI PERANG NGAYAU


Perang Ngayau adalah salah satu daripada tradisi bagi masyarakat Dayak Borneo suatu waktu dulu di dalam memperkatakan pertempuran yang berlaku di dalam perluasan wilayah. Ianya adalah lambang kepada semangat keperwiraan serta kegagahan masyarakat Dayak Borneo dahulu kata kerana bukan calang-calang orang yang boleh turut serta. Jika tiada keberanian dan semangat hati yang waja tidak akan ada mereka yang berperang itu dipanggil “Bujang Berani”.


Adat istiadat menyambut “Bujang Berani” Pulang Dari Perang Ngayau adalah satu adat istiadat yang diadakan apabila menyambut pahlawan-pahlawan dari pulang berperang Ngayau mengikut apa yang diamalkan oleh etnik Iban Sarawak iaitu etnik paling majoriti di Sarawak Bumi Kenyalang yang juga terkenal dengan tradisi Perang Ngayau di dalam masyarakat mereka.


Kesemua peraturan adat istiadat ini mempunyai simbolik yang unik yang melambangkan betapa kayanya adat warisan nenek moyang masyarakat Iban itu sendiri suatu waktu dahulu.Apabila sudah diketahui bahawa kemenangan sudah berpihak kepada mereka maka satu istiadat menyambut kepulangan “Bujang Berani” akan diadakan.


Maka segala persiapan akan disediakan oleh semua yang terlibat di dalam komuniti rumah panjang tersebut. Sementara itu sejak dari awal lagi ketibaan pahlawan-pahlawan ini maka seluruh seisi rumah panjang akan riuh dengan bunyi pukulan gendang dan gong yang bertalu-talu. “Gendang Rayah” iaitu sejenis gendang tradisional etnik Iban akan dipalu dan tujuannya adalah untuk memberitahu kepada dewa mereka untuk bertandang ke rumah panjang tersebut agar sama-sama menyaksikan upacara keramaian yang diadakan.


Selain daripada itu ianya juga seumpama isyarat kepada jiran-jiran rumah panjang yang lain bahawa di rumah panjang tersebut mereka sedang meraikan pahlawan-pahlawan yang baru pulang dari perang Ngayau. Selesai “Gendah Rayah” dipalu 7 kali berturut-turut maka ianya akan disusuli dengan pukulan “Gendang Ajat” iaitu gendang tradisional masyarakat Iban yang sering digunakan di dalam tarian “Ngajat”. Dan ianya akan dipalu tanpa henti-henti.


Tiba harinya kepulangan pahlawan-pahlawan ini akan disambut dengan penuh meriah dan tradisi yang melambangkan kesepaduan seluruh komuniti rumah panjang tersebut. Pada ketika ini akan disediakan satu dulang besar di atas tangga rumah panjang tersebut. Dulang besar ini sebenarnya dulang yang digunakan oleh wanita Iban untuk menjalankan proses mewarnakan benang bagi perbuatan kain “Pua Kumbu”. Di dalam dulang tersebut jua akan diletakkan batu “pelaga: iaitu batu yang digunakan oleh wanita Iban untuk menyingkirkan segala kotoran di badan mereka. Di dalam dulang yang diisikan air itulah “batu pelaga” diletakkan.


Simbolik kepada menyimpan batu di dalam dulang itu ialah supaya roh-roh semua pahlawan perang yang balik dari Perang Ngayau itu akan bersih daripada segala perkara buruk atau sial. Simbolik kepada batu “Pelaga” itu ialah supaya pada masa hadapan penghidupan pahlawan-pahlawan perang itu akan lebih baik dan berkilauan seperti cahya batu pelaga di dalam dulang tersebut. Air yang dimasukkan di dalam dulang tersebut pula ialah supaya ia membersihkan segala dosa yang telah mereka lakukan dan agar mereka terus aman dan damai.


Dan apabila pahlawan telah membasuh kaki mereka sebelum masuk ke rumah panjang tersebut ini bermakna segala hal itu akan tinggal di dalam dulang besar ini dan akan dilahirkan semula roh dan semangat apabila tenenun pua kumbu dibuat kelak. Sebelum mereka membasuh kaki itu juga dikatakan pahlawan-pahlawan perang Ngayau ini akan menjerit sekuat-kuatnya dari luar rumah panjang “Mangka Sa Kelaing” yang bermaksud mandi darah dalam 7 kali.


Selesai membasuh kaki di dalam dulang yang disediakan, setiap “Bujang Berani” yang baru hendak naik ke anak tangga rumah panjang harus menyepak kepala tangga yang pertama. Simbolik kepada tindakan ini adalah untuk berdoa agar mereka dipanjangkan umur dan tidak dimakan sumpah atau badi daripada kepala musuh yang mereka perolehi sewaktu Perang Ngayau itu. Selain itu ia juga simbolik agar segala badi-badi dan hal yang buruk ditinggalkan di luar rumah dan tidak menular kepada kaum keluarga mereka yang berada di rumah panjang tersebut.


Di dalam tradisi masyarakat Iban juga tidak pernah melupakan wanita di dalam struktur tradisi mereka malah golongan wanita itu adalah nadi kepada sistem masyarakat mereka. Di dalam tradisi ini juga golongan wanita diangkat tinggi kerana tanpa mereka tiadalah keturunan generasi “Bujang Berani” ini. Tatkala suami mahupun anak lelaki bujang atau abang atau adik lelaki pulang maka si isteri (bagi yang sudah berkahwin) ataupun si ibu (bagi yang bujang dan masih punya ibu) atau kakak dan adik perempuan (bagi yang sudah tiada ibu) akan diminta untuk berkumpul di pintu utama rumah panjang.


Tujuannya adalah untuk mereka menyambut kepala musuh yang baru diperolehi oleh suami mahupun anak lelaki keluarga mereka. Mereka akan menyambut kepala musuh itu dengan menggunakan pinggan seramik atau nyiru. Pada ketika inilah juga kesemua wanita-wanita ini akan menutupi kepala musuh itu dengan pua kumbu.


Simbolik kepada ini adalah umpama satu perbuatan doa agar si suami atau anak lelaki mereka akan terus gagah dan mampu mengalahkan setiap musuh dengan hebat lagi pada masa hadapan. Selain itu sebagai satu doa juga untuk para isteri dan seluruh keluarganya agar umur panjang serta status keluarga mereka akan dipandang tinggi di dalam komuniti masyarakat rumah panjang mereka.


Selesai mempersembahkan kepala musuh yang diperolehi kepada isteri dan keluarga perempuan mereka, kesemua “bujang berani” akan terus menggayakan tarian yang dinamakan “Berayah” iaitu tarian yang dikhaskan untuk mana-mana pahlawan perang Ngayau yang telah berjaya memenggal kepala musuh. Gerak tari tarian “Berayah” ini lebih kepada gerak tari perkasa seorang pahlawan yang telah mengalahkan musuh. Selesai tarian “Berayah” ditarikan barulah mereka akan mempersembahkan tarian “Ngajat”, tarian tradisional masyarakat Iban.

Sementara itu untuk para isteri atau keluarga wanita “Bujang Berani” yang membawa kepala musuh di dalam pinggan seramik atau nyiru (untuk kepala musuh yang lebih dari satu berjaya dipenggal) akan melangkah dengan perlahan-lahan di belakang tingkah jalan “Bujang Berani” sambil menggayakan tarian khas yang dinamakan “Naku Antu Pala”. Di dalam rentak tarian ini kepala-kepala musuh itu akan digerakkan ke kiri dan ke kanan.


Adat istiadat menyambut kepulangan “Bujang Berani” akan diteruskan dengan kesemua penduduk rumah panjang dan pahlawan-pahlawan yang baru pulang ini akan berkumpul di ruang tamu. “Tuai Kayau” akan memulakan upacara miring kepada kesemua pahlawan-pahlawan ini dengan menghayun-hayunkan ayam di atas kepala mereka. Dalam pada masa itu juga “Tuai Kayau” akan membaca doa untuk mereka selamat sejahtera sehingga ke akhir hayat. Ayam tersebut akan disembelihkan dan darah ayam itu akan disapu pada carik bulu ayam yang kemudiannya akan dicalit pada dahi setiap pahlawan-pahlawan perang itu serta kepala-kepala musuh yang sudah dipenggal juga.


Simbolik kepada upacara ini adalah untuk menghindarkan roh kepala musuh yang dipenggal itu mengganggu penghidupan mereka pada masa akan datang serta menghindarkan badi pada kepala musuh it uterus menghantui penghidupan mereka di rumah panjang kelak. Setelah itu barulah kepala musuh itu akan disalai di atas satu dapur khas yang dinamakan “Bedilang” di kawasan ruang tamu. Pada masa inilah “Tuai Kayau” akan mengumpulkan kepala musuh yang akan diikat rapi dengan rotan.


Setelah upacara menyalai kepala musuh barulah akan diadakan satu lagi upacara keramaian yang dinamakan “Gawai Sandau Ari”. Gawai Sandau Ari bermaksud pesta keramaian sebagai doa selamat kepada semua pahlawan perang Ngayau kemudian disusuli dengan “Gawai Enchaboh Arong” yang bermaksud membuang sial selepas perang Ngayau.


Di dalam upacara keramaian ini akan diletakkan satu pokok yang dinamakan “Ranyai” di tengah-tengah ruang tamu. Di dahan “Ranyai” ini akan digantung kepala musuh yang baru mereka perolehi tadi. Pada ketika inilah Lemambang atau penyair Iban yang terpilih akan mula menyanyikan mantera tradisional suku dayak Iban yang dinamakan “Renong”, “Mengap” dan seterusnya “Nimang Jalong” mengelilingi “Ranyai” tersebut.


Sewaktu mantera “Nimang Jalong” dinyanyikan oleh Lemambang, air tuak akan dituangkan ke dalam satu mangkuk seramik dan bersama itu juga dibaca mantera sumpah “Bujang Berani”. Di ketika ini kesemua pahlawan-pahlawan perang harus bercakap benar bahawa merekalah yang telah memenggal kepala musuh itu dan bukannya orang lain. Jika mereka berbohong nescaya akan ada musibah kemudian hari seperti mati di dalam keadaan yang menyiksakan. Disinilah apa yang dipanggil termakan sumpah Lemambang yang dinamakan “Timang Jalong”.


Bagi pahlawan-pahlawan Ngayau yang berkata benar sudah tentu tiada masalah untuk mereka untuk meminum air tuak yang disediakan dan air tuak ini dinamakan “Ai Jalong Timang”. Pada ketika meminum “Ai Jalong Timang” inilah Lemambang akan menamakan pahlawan-pahlawan itu dengan panggilan “Bujang Berani” berdasarkan kepada penceritaannya sewaktu memenggal kepala musuh.


Inilah sekelumit ruang informasi di dalam kita cuba mengenal satu adat istiadat yang amat unik yang sudah tentu tidak lagi diamalkan setelah Perang Ngayau diharamkan di bumi Borneo. Adat istiadat menyambut kepulangan “bujang berani” dari ekspedisi Ngayau ini merupakan sesuatu yang simbolik di dalam memperkatakan sejarah dan jati diri masyarakat dayak Borneo.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!

bottom of page