BUAH TERAP
BUAH TERAP
Buah Terap atau Tarap atau Maran adalah nama-nama tempatan bagi satu lagi buah-buahan yang menjadi kegilaan masyarakat Sarawak apabila musimnya tiba. Buah Terap ini hanya tumbuh di Borneo, Palawan dan juga Mindanau di Negara Filipina. Dan kerana itulah buah ini tidak begitu dikenali oleh masyarakat di Semenanjung Malaysia melainkan hanya orang Sarawak dan Sabah yang begitu mendambakan.
Dengan nama saintifiknya Odoratissimus Artocarpus adalah tumbuhan malar hijau dari keluarga Moraceae. Jika suatu waktu dahulu ianya hidup meliar di hutan tropika Pulau Borneo dan Filipina, namun sejajar dengan waktu dan permintaannya yang tinggi telah menyebabkan rakyat di Thailand turut sama menanamnya untuk tujuan komersial.
Jika di Sabah dikenali dengan nama “buah tarap” dan sekiranya di Filipina dikenali dengan nama “johey”, “green pedalai”, “madang” atau “timadang” dan nama-nama ini dipanggil berdasarkan dialek-dialek etnik-etnik di Negara Filipina.
Yang menariknya tentang buah terap ini adalah baunya yang kuat dan seakan-akan bau buah nangka dan cempedak yang masak tetapi masih belum dapat mengatasi bau buah durian iaitu “Raja Buah” bagi masyarakat di Malaysia. Rasa untuk buah terap ini adalah seperti lemak berkrim seakan-akan pisang tetapi ianya lebih sedap daripada itu semua.
Walaupun di bahagian kulitnya agak tebal tetapi tidaklah susah untuk membuka buah terap ini ditambah lagi ianya agak lembut. Dan kerana itulah jika boleh ianya diambil sewaktu ianya masak di pokok kerana apabila ianya jatuh ke tanah, buah terap akan cepat pecah akibat hentakan yang kuat.
Di ketika ia belum masak, buah terap akan berwarna kehijau-hijauan tetapi apabila ianya sudah ranum masak akan bertukar menjadi keperang-perangan dan pada ketika inilah aroma baunya yang mendambakan itu akan keluar. Di kala inilah jika di hutan liar, binatang-binatang seperti monyet mahupun unggas-unggas hutan seperti burung akan mula menghurung buah terap untuk sama-sama merasai kelazatannya.
Buah terap juga adalah tumbuhan bermusim dan musimnya adalah bulan Julai sehingga September saban tahun dan ada sesetengah kawasan di Sarawak sememangnya mempunyai pokok-pokok terap yang banyak contohnya di Bahagian Lawas sehingga adanya Pesta Buah Terap yang dimasukkan di dalam calendar pelancongan mereka sebagai mempopularkan buah terap sebagai ikon pelancongan di Lawas.
Inilah sekelumit informasi di dalam kita cuba mempromosi buah-buah eksotik yang ada di Borneo amnya dan Sarawak khususnya. Mungkin ramai generasi baru yang belum merasai keenakannya dan silalah mencuba jika berkesempatan.