ETNIK MEMALOH, SARAWAK, BORNEO
ETNIK MEMALOH, SARAWAK, BORNEO
Malo atau Maloh atau Matoh atau Mbaloh atau Memaloh atau Palin atau Pari atau Sangau atau Sanggau, inilah nama-nama yang seiring dengan satu lagi etnik minoriti di Sarawak. Etnik Memaloh merupakan salah satu sub-etnik yang diklasifikan sebagai Etnik Iban di Sarawak Bumi Kenyalang.
Populasi etnik Memaloh banyak tertumpu di Batang Katibas dan daerah Lubok Antu, Sri Aman, Sarawak. Mengikut laporan populasi yang dikeluarkan oleh kerajaan pada tahun 1988, etnik Memaloh hanya tinggal seramai 121 orang dan selepas itu tiada lagi laporan mengkhusus mengenai etnik ini dan mungkin kerana selepas itu mereka telah dihimpunkan menjadi etnik Iban iaitu etnik paling majoriti di Sarawak Bumi Kenyalang.
Menurut sejarah asal keturunan bagi Etnik Memaloh berasal daripada kawasan pedalaman di Sungai Kapuas, Kalimantan Barat, Indonesia. Kemudian beratus-ratus tahun dahulu, nenek moyang etnik ini dikatakan telah berhijrah bagi survival perang kayau iaitu perang memotong kepala yang satu ketika dahulu merupakan satu adat yang banyak menghapus etnik-etnik kecil di Borneo.
Keunikan kepada etnik Memaloh ini adalah biarpun mereka dikategorikan sebagai etnik Iban namun bahasa mereka langsung tidak sama dengan bahasa Iban yang dipertuturkan sekarang. Dari segi bahasa sebenarnya bahasa etnik Memaloh dikategorikan di bawah rumpun bahasa Austronesian, Malayo-Polynesian, South Sulewesi, Bugis, Tamanic. Dan ianya juga mempunyai dialek-dialek tersendiri iaitu dialek Kalis bagi Kalis Dayak dan Kalis Maloh. Dan bahasa ini sememangnya bahasa pertuturan utama di kawasan Putusibau, Wilayah Kapuas Ulu, Kalimantan Barat.
Walau bagaimanapun, pada masa sekarang amat jarang kita mendengar etnik Memaloh di Sarawak menggunakan bahasanya sendiri tetapi lebih gemar untuk menggunakan bahasa Iban sebagai bahasa pertuturan memandangkan etnik Memaloh amat rapat dengan etnik Iban Sarawak sehingga dikatakan untuk setiap rumah panjang Iban mesti ada satu keluarga daripada etnik Memaloh yang tinggal bersama mereka. Pertembungan ini mungkin kerana ramai etnik Memaloh yang mengamalkan perkahwinan campur dengan etnik Iban sehingga amat susah untuk menemui etnik Memaloh yang asli.
Keistimewaan kepada etnik Memaloh ini adalah mereka merupakan satu etnik yang kreatif dan pandai membuat kraftangan di antara etnik-etnik di Sarawak. Menurut sejarahnya sejak zaman berzaman etnik Memaloh terkenal dengan kepakaran membuat pedang dan kerana kepakaran itu adalah tidak mustahil untuk melihat etnik Memaloh hidup bersama-sama di dalam etnik-etnik lain di Sarawak.
Dikatakan merekalah yang sering membuat pedang-pedang untuk kegunaan pahlawan-pahlawan etnik pergi berperang suatu waktu dahulu. Selain daripada itu wanita dari etnik Memaloh pula terkenal dengan hasil kraftangan yang seni dan halus seperti pembuatan aksesori pakaian untuk wanita dan gadis. Mungkin survival etnik Memaloh di dalam melarikan diri daripada adat memburu kepala adalah kerana kepakaran mereka di dalam hasil kerja seni seperti ini sehinggakan mereka diterima untuk diasimilasikan di dalam etnik-etnik lain suatu waktu dahulu.
Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.