FORT ARUNDELL, LUBOK ANTU, SRI AMAN, SARAWAK
FORT ARUNDELL, LUBUK ANTU, SRI AMAN, SARAWAK
Seperti pekan-pekan kecil di seluruh Sarawak, Lubok Antu juga antara jajahan empayar Sarawak Kingdom di bawah pemerintahan 100 tahun dinasti Keluarga Brooke. Suatu ketika dahulu Lubok Antu menjadi pusat pentadbiran bagi sekitarnya dan seperti kebanyakan kawasan yang menjadi pusat pentadbiran Brooke akan didirikan sebuah kubu sebagai pejabat dan juga benteng pertahanan Sarawak ketika itu.
Di Lubok Antu juga tidak terkecuali apabila Residen Sir Gilbert Roger Harris Arundell yang menjadi Residen Simanggang telah membina sebuah kubu. Walau bagaimanapun kubu yang asal telah pun musnah terbakar oleh masyarakat tempatan yang menolak pemerintahan Brooke di Lubok Antu. Penentangan ini telah dimulai oleh seorang ketua masyarakat Iban iaitu Ngumbang.
Namun begitu setelah Sir Arundell membuat muafakat dengan masyarakat Iban di Lubok Antu akhirnya ada yang mahu menerima pentadbiran residen di Lubok Antu dan sekali lagi kubu ini dibina dengan jerit perih masyarakat Iban yang mendokong kepimpinan Brooke di bumi Lubok Antu ketika itu.
Ketika Sarawak Kingdom masih di dalam kegawatan kerana di dalam persediaan untuk menghadapi Perang Dunia Kedua, Kubu Lubuk Antu sekali lagi dibakar oleh masyarakat tempatan di Lubok Antu. Ianya dibakar oleh Penghulu Jimbun salah seorang ketua masyarakat Iban di Lubok Antu. Pada ketika itu Sarawak Kingdom yang hampir muflis kerana sikap Rajah Ketiga Rajah Charles Vyner Brooke yang gemar berfoya-foya dan banyak menghabiskan rizab wang Negara Sarawak hampir berkurangan telah begitu banyak menekan masyarakat tempatan di seluruh Sarawak.
“Pupu” atau cukai telah dikenakan kepada masyarakat tempatan Sarawak dan sudah tentu ini ditentang oleh masyarakat tempatan juga lebih-lebih lagi yang diketuai oleh Penghulu Jimbun. Di dalam pembakaran kubu tersebut Sir Arundell telah berjaya melarikan diri ke Ulu Ai dan mendapat perlindungan daripada masyarakat Iban di Ulu Ai ketika itu. Setelah Jepun berjaya menakluki keseluruhan Sarawak, Sir Arundell juga turut diburu oleh tentera Jepun dan sesiapa yang memberikan perlindungan kepada beliau turut sama dipenjara.
Bagi menambah seksa Sir Arundell, sesiapa yang pernah dipenjarakan oleh Sir Arundell seperti Pong, Ajon, Mikai dan Sunying yang ditangkap dan dipenjarakan oleh Sir Arundell ketika pemerintahan Brooke kerana telah melanggar undang-undang memburu kepala di bumi Sarawak telah dibebaskan oleh tentera Jepun daripada penjara Simanggang. Kerana dendam kesumat inilah Sir Arundell dan keluarganya yang mendapat perlindungan daripada masyarakat Iban Ulu Ai akhirnya terkorban dibunuh oleh mereka ini. Setelah Jepun menyerah kalah kerana pengeboman Nagasaki dan Hiroshima oleh tentera perikatan, Rajah Charles Vyner Brooke sudah tidak mampu lagi untuk membangunkan Sarawak kerana kemusnahan perang yang teruk ditambah lagi dengan sikap beliau yang sudah muak memerintah. Akhirnya pada tahun 1946, Sarawak telah diserahkan untuk menjadi salah satu tanah jajahan kepada Koloni British.
Pemerintahan Koloni British di Sarawak Sabah dikenali sebagai Kerajaan British Borneo telah membuat perhitungan atas kematian Sir Arundell sekeluarga di Ulu Ai. Akhirnya mereka yang turut terlibat di dalam komplot pembunuhan Sir Arundell iaitu Pong, Ajon, Mikai dan Sunying telah ditangkap dan dihukum gantung sampai mati di penjara Simanggang oleh pemerintahan British Borneo di Sarawak.
Pada tahun 1947 bagi mengenang sumbangan Residen Simanggang ini iaitu Sir Gilbert Roger Harris Arundell akhirnya sebuah kubu yang tidak jauh daripada tapak lamanya telah didirikan dan dinamakan dengan nama Kubu Arundell. Kubu Arundell 1947 ini kekal sehingga sekarang sebagai salah satu bangunan untuk komuniti masyarakat di Pekan Lubok Antu sehingga sekarang.