FROM ENGKILILI WITH LOVE
FROM ENGKILILI WITH LOVE
Daerah Kecil Engkilili adalah sebuah daerah kecil yang juga merupakan di dalam jurisdiksi pentadbiran Bahagian Sri Aman. Terletak kira-kira 56 km dari Lubok Antu dan hanya 37 km daripada bandar Sri Aman dan 210 km jauhnya daripada bandaraya Kuching yang merupakan ibukota kepada Sarawak Bumi Kenyalang.
Menurut laporan populasi 2010 dikatakan terdapat 23,234 orang yang mendiami daerah kecil Engkilil ini dengan majoritinya adalah daripada etnik Iban dan kemudiannya diikuti oleh kaum Cina Sarawak serta Melayu Sarawak. Walaupun daerah kecil Engkili ini majoritinya adalah daripada etnik Iban namun begitu toleransi kaum dan agama di bumi Engkilili ini tetap terpelihara walaupun berbeza agama, budaya dan bangsa seperti seluruh Sarawak Bumi Kenyalang sekarang.
Menurut sejarahnya, Engkilili ini mendapat namanya daripada satu nama pokok yang dikenali dengan nama pokok Engkilili. Keunikannya adalah kerana dikatakan hanya di kawasan Engkilili ini sahaja banyak tumbuhnya pokok Engkilili. Dan dikatakan suatu waktu dahulu daerah Engkilili ini adalah sebuah daerah yang hanya akan riuh rendah apabila pokok Engkilili berbuah.
Ini kerana bila buah engkilili ini sampai musimnya maka ramailah penduduk sekitarnya yang akan bertandang ke Engkilili untuk mengambil buahnya yang dikatakan kelat dan pahit tapi sedap dimakan. Suasana riuh rendah itu juga bukan sahaja daripada manusia malah daripada binatang-binatang seperti unggas yang datang ke Engkilili untuk bersama-sama menikmati buah engkilili itu. Lama kelamaan akhirnya Engkilili itu kekal sebagai nama daerah tersebut sehinggalah sekarang.
Jika di daerah-daerah lain di bumi Sarawak mempunyai beberapa tempat yang unik malah di Engkilili juga tidak pernah kurang dengan cerita-cerita legenda. Di bumi Engkilili inilah terdapat satu batu yang menyerupai ular yang dinamakan Batu Nabau. Ianya adalah satu batu ular yang sebenarnya mempunyai legenda sendiri mengikut cerita oral masyarakat Iban di Engkilili.
Batu Nabau ini terletak di satu lokasi yang bernama Bukong. Di sinilah suatu ketika dahulu dikatakan seorang masyarakat Siam dari Semenanjung Malaysia telah terbang ke Sarawak semata-mata hendak mencari satu batu ular yang didapatinya di dalam mimpi. Akhirnya dengan pertolongan masyarakat tempatan di Engkilili iaitu penduduk dari rumah panjang Nyalau Muang, beliau berjaya menemuinya.
Mungkin ramai tidak mengetahui bahawa di Engkilili ini juga ada tercatat sejarahnya di dalam rentetan sejarah Sarawak Kingdom. Sekitar tahun 1850, pemerintah Sarawak Kingdom iaitu Rajah James Brooke pernah membina sebuah kubu di Engkilili yang bernama Fort Dayang Leonara. Kubu ini juga seperti kubu-kubu yang lain merupakan nadi kepada pemerintahan James Brooke di dalam memastikan pentadbiran dan mengawal gerakan daripada masyarakat tempatan Engkilili daripada bangun menentang pemerintahannya di bumi Sarawak suatu ketika dahulu.
Setiap Daerah Mempunyai Sejarahnya Dan Setiap Daerah Mempunyai Nilai Kasih Sayangnya.
#KamekSayangSarawakBah!