top of page

KEDATANGAN MASYARAKAT CINA KE SARAWAK


KEDATANGAN MASYARAKAT CINA KE SARAWAK


Masyarakat Cina Sarawak terdiri daripada pelbagai rumpun dialek Cina dan mereka dikategorikan mengikut bahasa pertuturan mereka iaitu Hakka, Hokkien, Teochew, Hainan dan Foochow. Walaupun mereka sudah menetap di bumi Sarawak namun begitu mereka masih lagi mengekalkan warisan tradisi dan adat resam budaya mereka termasuk menyambut semua perayaan masyarakat Cina di seluruh dunia seperti Tahun Baru Cina dan banyak lagi.


Seperti masyarakat Cina di seluruh dunia, masyarakat Cina Sarawak majoritinya masih lagi menganuti agama Buddha. Sejajar dengan waktu ramai juga antara masyarakat Cina Sarawak yang menganuti agama Kristian. Masyarakat Cina Sarawak juga seperti etnik-etnik bumiputra Sarawak yang lain juga ramai yang mengamalkan perkahwinan campur sehingga membenarkan mereka juga mempunyai saudara-mara di kalangan etnik-etnik pribumi Sarawak yang lain.


Di Sarawak, kedatangan masyarakat Cina bermula pada suku kedua abad ke-19 iaitu setelah wujudnya pemerintahan Rajah James Brooke pada tahun 1841. Rajah James Brooke yang telah berusaha mengekalkan keamanan di Sarawak Kingdom dan kejayaannya telah menyebabkan berkembangnya aktiviti pemiagaan saudagar Inggeris dan Cina di Singapura dan Sarawak. Keamanan yang wujud di Sarawak telah menarik minat masyarakat Cina untuk datang ke Sarawak pada waktu itu.


Pada peringkat awal masyarakat Cina yang berhijrah bukanlah berasal dari negeri China tetapi terdiri daripada pelombong masyarakat Cina berketurunan Hakka yang datang dari kawasan Sambas, Pontianak. Mereka telah melombong emas di kawasan tersebut sejak tahun 1760-an lagi.


Apabila Belanda meluaskan kekuasaan di Pontianak pada tahun 1820-an, masyarakat Cina di Pontianak telah tertekan dengan bentuk pemerintahan Kerajaan Belanda. Apabila longgokan emas di Pontianak mulai berkurangan maka ramailah yang berpindah ke Bau, Sarawak dalam tahun 1841. Masyarakat Cina Hakka ini telah bersama-sama membuka lombong emas secara primitif.


Apabila Sarawak (semasa Pengiran Indera Mahkota memerintah Kuching dikenali dengan nama Sarawak) dibuka pada tahun 1836 oleh Pangeran Mahkota, banyak peniaga Hokkien mulai menetap di situ bersama-sama orang Melayu dan Bidayuh. Masyarakat Cina sememangnya sejak azali lagi terkenal sebagai pelopor kepada perdagangan di seluruh dunia sudah tentu menganggap sumber ekonomi di Sarawak wajar untuk sama-sama diterokai. Selain melombong emas di Bau dan Marup, tanaman gambir dan lada untuk tujuan eksport juga menjadi daya penarik kepada kedatangan mereka ke Sarawak.


Sehingga tahun 1857 adalah dianggarkan terdapat sebanyak 4,000 masyarakat Cina di bahagian barat Sarawak Kingdom. Perusahaan tanaman lada hitam secara meluas hanya bermula pada tahun 1876 apabila Raja Brooke menawarkan pelayaran percuma kepada penanam lada dari Singapura dan memperuntukkan tanah bagi ladang lada hitam kepada saudagar Cina.


Selain masyarakat Cina berketurunan Hakka, pada tahun 1900 ramai masyarakat Cina berketurunan Foochow berpindah ke Sarawak untuk menanam lada di Sibu, Sarikei-Binatang (sekarang Bintangor) dan Serian. Tanaman getah mula diperkenalkan di Sarawak pada tahun 1881. Hasilnya menjadi eksport penting Sarawak mulai tahun 1906 apabila harga getah melambung naik.


Rajah James Brooke telah mengambil pendekatan yang baik untuk memastikan getah menjadi komoditi utama bagi Sarawak Kingdom pada ketika itu. Getah dimajukan dengan cara menggalakkan pekebun kecil bumiputera dan masyarakat Cina Foochow menanam tanaman ini. Disinilah bermulanya penanaman getah secara besar-besaran. Dan kemasukan masyarakat Cina semakin ramai selepas itu.

Perangkaan tentang bilangan kedatangan masyarakat Cina yang meningkat di Sarawak adalah jelas apabila pada tahun 1908 dianggarkan terdapat 45,000 orang masyarakat Cina yang mendiami setiap pelusuk Sarawak Kingdom. Walau bagaimanapun pada tahun 1960 jumlahnya menjadi 229,154 orang atau 32 peratus dari jumlah penduduk Sarawak.


Pertambahan pesat berlaku di antara tahun 1939 hingga 1960 yang mana faktor ekonomi adalah menjadi pendorong kedatangan masyarakat Cina ke Sarawak pada masa itu. Malahan dasar keluarga Brooke yang memberikan pelbagai kemudahan seperti pemilikan tanah, bantuan kewangan, dan tambang pelayaran telah memesatkan lagi kedatangan mereka ke bumi Sarawak suatu ketika itu.



‪#‎KamekSayangSarawakBah!


bottom of page