top of page

KERAJAAN KESULTANAN QADRIAH PONTIANAK, KALIMANTAN BARAT, BORNEO


KERAJAAN KESULTANAN QADRIAH PONTIANAK, KALIMANTAN BARAT, BORNEO


Kerajaan Kesultanan Qadriah Pontianak, Kalimantan Barat merupakan salah satu kerajaan Islam yang pernah wujud di bumi Borneo suatu ketika dahulu. Ianya adalah satu Kerajaan Kesultanan Melayu yang didirikan sekitar tahun 1771 oleh seorang yang dikatakan berketurunan Arab yang berasal dari Hadratulmaut, Yaman. Kerajaan ini dahulu didirikan di daerah muara Sungai Kapuas, Kalimantan Barat oleh seorang berbangsa Arab yang bernama Syarif Abdurrahman Al-Qadri.


Diriwayatkan bahawa Syarif Habib Hussein Al-Qadri merupakan antara seorang ulama besar di dalam Kerajaan Matan iaitu salah satu antara kerajaan islam yang berasal dari Kerajaan Sukadana. Sebagai seorang ulama besar maka adalah perlu baginya untuk terus mengembangkan syiar Islam ke seluruh kesultanan Islam di Kalimantan Barat pada waktu itu. Atas perkara itu Syarif Habib Hussein Al-Qadri telah berpindah dengan membawa seluruh keluarga termasuk putera sulungnya iaitu Syarif Abdurrahman Al-Qadri yang ketika itu berusia 16 tahun berpindah ke Kerajaan Mempawah.


Ketika berusia 18 tahun, Syarif Abdurrahman Al-Qadri telah dititahkan oleh ayahandanya iaitu Syarif Habib Hussein Al-Qadri untuk mengahwini puteri Opu Daeng Menambon yang merupakan pemerintah Kerajaan Mempawah pada masa itu. Perkahwinan ini adalah untuk mengeratkan lagi sillaturrahim antara keluarga ulama Al-Qadri dengan pemerintah Kerajaan Mempawah yang didokongi oleh Opu Daeng Menambom.


Opu Daeng Menambon ini adalah seorang berketurunan bugis daripada Kerajaan Luwu, Sulewesi Selatan. Opu Daeng Menambon adalah orang yang berjasa besar kepada Sultan Muhammad Zainuddin daripada Kerajaan Matan di dalam membenteras perang saudara di Kerajaan Matan antara Sultan Muhammad Zainuddin dan juga Pengeran Agung, adinda sultan sendiri. Atas jasa itu, Sultan Muhammad Zainuddin telah berkenan untuk mengahwinkan Opu Daeng Menambon dengan Puteri Kesumbar, puterinya sendiri.

Setelah itu Opu Daeng Menambon menjadi raja di Mempawah salah satu tanah jajahan Kerajaan Matan pada waktu itu. Perkahwinan Sharif Abdurrahman Al-Qadri dengan Puteri Utin Cenderamidi pula diharap akan mendekatkan lagi ukhuwah antara keluarga mereka.


Pada usia Syarif Abdurrahman Al-Qadri berusia 22 tahun, beliau berhajat untuk menjadi mubaligh Islam memperkembangkan ajaran agama Islam ke tempat lain maka bermulalah pengembaraan beliau menuju ke Pulau Tambelan, Siantan dan Pulau Penyengat di Riau. Dari sana beliau telah berkunjung ke Palembang dan berkawan rapat dengan Sultan Pelakit iaitu Sultan Palembang pada masa itu.


Setelah beberapa ketika beliau berhajat untuk kembali ke Kerajaan Mempawah dan sebagai tanda persahabatan, Sultan Pelaki telah menghadiahkan sebuah perahu dan seratus pikul timah bagi Sharif Abdurrahman Al-Qadri gunakan sewaktu di dalam perjalanan pulang nanti. Sekembalinya di Kerajaan Mempawah, Sharif Abdurrahman Al-Qadri sekali lagi pergi mengembara sambil memperkembangkan syiar Islam sehinggalah beliau tiba di Negeri Banjar.


Di Negeri Banjar ini, Syarif Abdurrahman Al-Qadri mengahwini puteri Sultan Sepuh dan kemudiannya dilantik menjadi Pangeran oleh Panembahan Batu dan ditukar namanya menjadi Pangeran Syarif Abdur Rahman Nur Allam. Hasil perkahwinan dengan puteri Sultan Sepuh ini beliau dikurniakan dengan 2 orang cahayamata iaitu Syarif Alwi Al-Qadri yang digelar Pangeran Kecil dan Syarifah Salmah Al-Qadri yang digelar Syarifah Puteri.


Setelah kembalinya ke rahmatullah ayahanda Syarif Habib Hussein Al-Qadri pada 11 Rabiulakhir 1185 iaitu bersamaan dengan 24 Jun 1771, Syarif Abdurrahman Al-Qadri berserta dengan adik-beradiknya yang lain iaitu Syarif Ahmad Al-Qadri, Syarif Abu Bakar Al-Qadri dan Syarif Alwi Habib Al-Qadri telah bersetuju membenarkan Syarif Abdurrahman Al-Qadri keluar daripada Kerajaan Mempawah dan mencari ikhtiar untuk membuka sebuah kerajaan sendiri.



Berdirinya Kerajaan Kesultanan Qadriah Pontianak


Jadi pada 14 Rejab 1185 bersamaan dengan 23 Oktober 1771, Syarif Abdurrahman Al-Qadri berserta keluarga dan pengikutnya telah meninggalkan Negeri Mempawah dengan 14 perahu kecil yang dinamakan kakab. Di dalam perjalanan mencari sebuah negeri untuk didirikan ini, rombongan beliau telah sampai ke Sungai Pontianak dan mereka telah menjumpai sebuah masjid untuk mereka menunaikan solat dan melepaskan lelah.


Pada keesokan harinya rombongan Syarif Abdurrahman Al-Qadri telah menyusuri Selat Pontianak dan menemui sebuah kawasan yang amat sesuai dan strategik untuk didirikan kerajaan. Beliau memerintahkan pengikut-pengikutnya untuk mula menerokai kawasan tersebut dan mulalah mereka membina sebuah rumah besar dan sebuah balai. Tanggal 4 Ramadhan 1185 bersamaan 11 Disember 1771, Syarif Abdurrahman Al-Qadri dengan rombongannya telah dengan secara rasminya berpindah ke kawasan tersebut.


Pada bulan Jumadilakhir 1191 bersamaan dengan 10 Jun 1777, Sharif Abdurrahman Al-Qadri dengan armada tenteranya telah membantu Yang Dipertuan Muda Riau iaitu Raja Haji di dalam Perang Sanggau. Mereka telah bersama-sama membuat benteng pertahanan di Pulau Simpang Labi dan dari sana mereka beroleh kemenangan. Setelah berjaya menewaskan Raja Sanggau, Raja Haji telah ikut serta rombongan Sharif Abdurrahman Al-Qadri pulang ke Pontianak.


Dari sinilah Raja Haji telah berniat untuk menabalkan Syarif Abdurrahman Al-Qadri menjadi sultan di Pontianak. Perutusan telah dihantar kepada Kerajaan Mempawah, Kerajaan Matan, Kerajaan Landak dan Kerajaan Kubu. Ternyata respon positif atas penabalan Syarif Abdurrahman Al-Qadri sebagai Sultan di Kerajaan Pontianak. Pada hari Isnin, 8 Syaaban 1192 bersamaan dengan 1 September 1778, Syarif Abdurrahman Al-Qadri telah dengan rasminya menjadi Sultan Kerajaan Pontianak yang pertama dengan menggelar dirinya Sultan Syarif Abdur Rahman Al-Qadri.



Koloni Belanda Dan Kerajaan Kesultanan Qadriah Pontianak


Seperti juga kerajaan-kerajaan yang pernah wujud di bumi Borneo suatu waktu dahulu, Kerajaan Kesultanan Qadriah Pontianak juga tidak boleh lepas lari daripada pengaruh Koloni Belanda pada waktu itu. Sekitar tahun 1778, Koloni Belanda telah mula memasuki wilayah Kerajaan Kesultanan Qadriah. Melalui perjanjian yang ditandatangai pada 5hb Julai 1779, akhirnya Koloni Belanda berjaya menduduki satu kawasan bernama Tanah Seribu yang merupakan jajahan takluk Kesultanan Qadriah namun daerah itu hanya untuk Belanda menguruskan perdagangan mereka sahaja.


Seterusnya apabila Sultan Syarif Abdur Rahman mangkat pada tahun 1808, maka ditabalkan anakandanya iaitu Syarif Kasim Al-Qadri untuk menjadi Sultan di Kerajaan Kesultanan Qadriah Pontianak. Dikatakan Sultan Syarif Kasim adalah seorang sultan yang pro kepada pengaruh barat sehingga memungkinkan satu perjanjian antara Kerajaan Belanda dibuat semula dan seterusnya dengan Koloni British sekitar tahun 1811. Walau bagaimanapun, atas dasar bersahabat dengan Koloni Belanda ini memungkinkan Kesultanan Qadriah tidak begitu dicampuri urusan pentadbirannya melainkan atas usahasama perdagangan sahaja.


Setelah mangkat Sultan Syarif Kasim Al-Qadri pada 25hb Februari 1819 ditabalkan pula anaknya Syarif Usman Al-Qadri sebagai Sultan Pontianak. Beliau memerintah dari tahun 1819 sehingga 1855. Di kala inilah dikatakan syiar Islam di bumi Pontianak dan jajahannya amat kuat sekali sehingga berdirinya Masjid Jami’ yang gah di kota Pontianak pada masa itu.


Zaman kegemilangan Kesultanan Qadriah Pontianak adalah ketika Sultan Syarif Muhammad Al-Qadri memerintah iaitu dari tahun 1895 sehingga ke 1944. Di kala ini ianya dipanggil zaman modenisasi Pontianak kerana hubungan yang baik antara Kesultanan Qadriah dengan Belanda memungkinkan segalanya berlaku. Sultan Syarif Muhammad Al-Qadri inilah merupakan Sultan yang menggunapakai kebesaran Eropah pada keluarganya disamping pakaian diraja yang lain sebagai pakaian rasmi.


Di kala ini bidang pendidikan serta kesihatan di Pontianak hampir selari dengan kaedah pendidikan dan kemudahan kesihatan seperti di Negara Eropah. Banyak kemudahan prasarana dipertingkatkan serta mempunyai pengaruh Eropah di dalamnya. Ramai bangsa Eropah dan juga komuniti Cina di bumi Pontianak bebas untuk berniaga dan rakyat Pontianak ketika itu hidup makmur serta aman sentosa.



Pendudukan Jepun Dan Tragedi Mandor 1944


Sekitar tahun 1942, tentera Jepun sudahpun menakluki keseluruhan bumi Borneo mencakupi Sarawak, North Borneo, Brunei dan Kalimantan. Dan tidak terkecuali dengan Pontianak pada masa itu. Pentadbiran tentera Jepun tidak pernah mengiktiraf mana-mana kerajaan yang pernah wujud di Borneo pada masa itu kerana mereka beranggapan kesemua kerajaan ini adalah barua Koloni Belanda dan termasuklah Kerajaan Kesultanan Qadriah Pontianak.


Pada tanggal 28hb Jun 1944, terjadi satu tragedi di dalam keluarga pemerintah Kerajaan Kesultanan Qadriah Pontianak yang mana pada hari itu, tentera Jepun telah menangkap Sultan Syarif Muhammad berserta dengan beberapa anggota keluarga serta seluruh pembesar-pembesar ke satu tempat yang tidak diketahui. Di sana dikatakan mereka telah dihukum pancung sampai mati dan mayat-mayat mereka dikatakan dihumban sebegitu sahaja atau dikubur tanpa tanda. Tragedi inilah yang dipanggil dengan Peristiwa Mandor 1944 yang menjadi salah satu peristiwa hitam di dalam lipatan sejarah rakyat Pontianak sehingga sekarang.


Hanya selepas 2 tahun setelah pencarian demi pencarian akhirnya pusara Sultan Syarif Muhammad berjaya ditemui oleh anakandanya yang terselamat daripada peristiwa pembunuhan beramai-ramai itu memandangkan ketika itu beliau sudah dihukum penjara di Betavia dari tahun 1942. Beliau dibebaskan pada tahun 1945 setelah Jepun menyerah kalah, anakanda Sultan Syarif Muhammad itu bernama Syarif Hamid Al-Qadri.



Pembubaran Kerajaan Kesultanan Qadriah Pontianak


Pada 29hb Oktober 1945, Syarif Hamid Al-Qadri ditabalkan menjadi Sultan di Kerajaan Kesultanan Qadriah Pontianak bagi meneruskan legasi pemerintahan ayahnya Sultan Syarif Muhammad. Beliau digelar dengan nama Sultan Syarif Hamid II. Walaupun begitu setelah beberapa bulan akhirnya pembubaran dilakukan ke atas Kerajaan Kesultanan Qadriah Pontianak bagi memberi ruang sebuah republic diwujudkan yang diberi nama Republik Indonesia. Pada ketika ini juga wilayah Kerajaan Kesultanan Qadriah Pontianak hanya dikenali sebagai daerah swapraja yang mempunyai immuniti tertentu di dalam sistem pemerintahannya.



Inilah satu sejarah panjang sebuah kerajaan kesultanan Islam yang gah namanya suatu waktu dahulu sehingga memungkinkan kota Pontianak pada masa itu dikatakan antara yang tersohor namanya sebagai kota ala Eropah dengan kemudahan yang moden dan sebagainya pada waktu itu. Semoga pencerakahan ini mampu memberikan kefahaman kepada semua kita di dalam cuba memahami kerajaan-kerajaan kuno yang pernah wujud di bumi Borneo.


bottom of page