PERSEKUTUAN TANAH MELAYU – Ke Arah Berkerajaan Sendiri
PERSEKUTUAN TANAH MELAYU
– Ke Arah Berkerajaan Sendiri
31 Ogos 2015 ini genaplah 58 tahun Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan daripada British. Bagi mengimbau kembali sejarah kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu atau sering kita di Sarawak memanggil Malaya maka adalah lebih molek untuk kita juga mengetahui sejarah “road map” kemerdekaan untuk kita sama-sama berkongsi informasi tentang rakan sejajar kita di dalam Gagasan Malaysia.
Perjuangan ke arah berkerajaan sendiri dan pembinaan negara bangsa di Tanah Melayu terserlah dengan kejayaan membentuk perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 bagi menggantikan Malayan Union. Perisytiharan darurat yang bermula tahun 1948 secara tidak langsung telah menyemarakkan lagi semangat perjuangan ke arah kemerdekaan. Pengalaman Tanah Melayu menghadapi ancaman Parti Komunis Malaya (PKM) semasa darurat telah mencetuskan kesedaran dalam kalangan penduduk bagi memperjuangkan kemerdekaan tanahair.
Kemenangan besar Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC dalam Pilhanraya Umum 1955 telah membolehkan parti itu membentuk kerajaan dengan diketuai oleh Tunku Abdul Rahman sebagai Ketua Menteri. Setelah itu, perjuangan ke arah kemerdekaan semakin kemas sehinggalah Persekutuan Tanah Melayu berjaya mencapai kemerdekaan secara rasmi pada 31 Ogos 1957.
Dato’ Onn bin Jaafar yang merupakan Yang Dipertua UMNO mendapati pentingnya mewujudkan perpaduan kaum sebagai mengukuhkan perjuangan ke arah kemerdekaan. Dengan ini Jawatankuasa Perhubungan Antara Kaum (JAK) telah ditubuhkan. JAK pada mulanya terdiri daripada 15 orang pemimpin pelbagai kaum yang dipengerusikan oleh E.E.C Thuraisingam. Orang Melayu diwakili oleh Dato’ Onn manakala orang Cina diketuai oleh Tan Cheng Lock. Walau bagaimanapun langkah Dato’ Onn membuka keahlian UMNO kepada orang bukan Melayu bagi mewujudkan perpaduan telah ditentang hebat dan menemui kegagalan.
Kegiatan komunis sepanjang tempoh darurat telah menyebabkan ketegangan antara kaum khususnya di antara orang Melayu dan Cina. Keadaan ini membimbangkan kerajaan kolonial British lalu memulakan langkah ke arah kemerdekaan. Sir Henry Gurney telah memperkenalkan Sistem Ahli yang bertujuan memberi pendedahan dan latihan pentadbiran kepada rakyat tempatan untuk memerintah negara sendiri.
Melalui Sistem Ahli, pemimpin tempatan dilantik menjadi ahli Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan. Mereka diberi tanggungjawab ke atas beberapa jabatan kerajaan pusat. Ia bertujuan mewujudkan kerjasama antara pelbagai kaum di semua peringkat pentadbiran demi perpaduan kaum. Pada tahun 1951, Sistem Ahli terdiri daripada dua orang Melayu, seorang Cina, seorang India, dan seorang Ceylonese.
Selepas pembentukan Sistem Ahli, British telah memperkenalkan pilihanraya untuk memberi ruang kepada rakyat memilih pemimpin mereka di peringkat tempatan. Langkah ini juga sebagai latihan ke arah demokrasi berparlimen. Pilihanraya Majlis Perbandaran Georgetown Pulau Pinang diadakan pada tahun 1951. Parti Perikatan UMNO-MCA dibentuk pada tahun yang sama untuk bertanding menentang Parti Buruh dan Parti Radikal.
Keputusannya Parti Radikal memenangi 6 daripada 9 kerusi. Pada tahun 1952, Parti Perikatan berjaya mengalahkan Parti Kemerdekaan Tanah Melayu (IMP) dalam Pilihanraya Majlis Perbandaran Kuala Lumpur. Perikatan memenangi 9 kerusi, IMP memiliki 2 kerusi, manakala 1 kerusi lagi dimenangi Parti Bebas. Berikutan kemenangan itu, keanggotaan Sistem Ahli telah ditambah dengan mewujudkan beberapa portfolio baru.
Dato’ Onn bin Jaafar dilantik menjawat portfolio Hal Ehwal Dalam Negeri, E.E.C Thuraisingam Portfolio Pelajaran, Kolonel H. S. Lee, Portfolio Pengangkutan, dan Dato’ Nik Ahmad Kamil memegang Portfolio Kerajaan Tempatan. Dr Ismail bin Abd. Rahman memegang portfolio Hasil Bumi. Pada 27 Julai 1955, Malayan Indian Congress (MIC) telah bergabung dengan Perikatan UMNO-MCA lalu membentuk Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC. Dalam Pilihanraya Umum pertama (1955), Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC memenangi 51 daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Pilihanraya telah memberi pengalaman secara langsung amalan sistem demokrasi kepada penduduk Tanah Melayu.
Kemenangan besar Parti Perikatan dalam Pilihanraya 1955 memberinya mandat untuk membentuk kerajaan. Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai ketua Perdana Menteri bagi Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Kabinet beliau dianggotai oleh 10 orang Menteri, iaitu enam dari UMNO, 3 dari MCA, dan 1 dari MIC. Sesungguhnya kejayaan membentuk kerajaan dan pemerintahan melalui prinsip demokrasi telah mengukuhkan lagi usaha ke arah kemerdekaan.
Pada bulan Ogos 1955, Lennox- Boyd, Setiausaha Tanah Jajahan telah berbincang dengan Tunku Abdul Rahman mengenai usaha pemberian taraf berkerajaan sendiri. Tunku Abdul Rahman telah mengetuai satu rombongan ke London untuk membincangkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Rombongan disertai oleh 4 orang wakil Raja-Raja Melayu dan 4 orang wakil Parti Perikatan.
Rundingan kemerdekaan dipengerusikan oleh Lennox-Boyd, Setiausaha Tanah Jajahan British berjalan selama tiga minggu. Hasilnya Perjanjian London 1956 telah ditandatangani antara Parti Perikatan dengan kerajaan British. Kesan daripada Perjanjian London, Suruhanjaya Reid telah ditubuhkan pada Jun 1956 yang diketuai oleh Lord Reid. Ahli-ahlinya terdiri daripada pakar perundangan dari negara-negara Komanwel. Suruhanjaya ini bertujuan mengadakan tinjauan dan mendapatkan pandangan rakyat mengenai bentuk pemerintahan yang akan diamalkan kelak.
Laporan Suruhanjaya Reid telah dikaji semula dan beberapa pindaan telah diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan pada Ogos 1957. Dalam satu memorandum tolak ansur (Pakatan Murni) di antara UMNO, MCA dan MIC, sebanyak lima perkara telah disepakati untuk menjadi asas pemerintahan Tanah Melayu, iaitu kedudukan Raja-raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu, dan kewarganegaraan. MCA dan MIC sedia menerima kedudukan istimewa orang Melayu dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan manakala UMNO pula menerima prinsip jus soli mengenai pemberian kewarganegaraan kepada orang Cina dan India; mereka juga bebas mengamalkan bahasa ibunda dan kepercayaan agama masing-masing.
Pada 9 Mei 1957, Tunku Abdul Rahman dan rombongan telah berangkat ke London untuk merundingkan hal kemerdekaan. Tepat jam 12.01 minit pagi pada 31 Ogos 1957, bendera Union Jack telah diturunkan dan bendera Persekutuan Tanah Melayu telah dikibarkan di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur sebagai menandakan tamatnya penjajahan Inggeris ke atas Tanah Melayu. Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu telah diisytiharkan dalam satu upacara gilang gemilang di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Inilah sejarah tentang Persekutuan Tanah Melayu – Ke Arah Berkerajaan Sendiri bagi kita mengimbau kembali sejarah mereka yang terdahulu di dalam memperjuangkan kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu. Diharap ianya akan dapat membantu kita terutama generasi muda Malaysia amnya dan Sarawak khususnya di dalam menghargai dan membezakan sejarah yang sebenar tentang kemerdekaan negara kita iaitu Negara Malaysia.
Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Yang Ke 58 untuk rakyat Malaya. 31 Ogos 1957 – 31 Ogos 2015