TUN DATUK PATINGGI (DR) HAJI AHMAD ZAIDI ADRUCE BIN MUHAMMED NOOR
TUN DATUK PATINGGI (DR) HAJI AHMAD ZAIDI ADRUCE BIN MUHAMMED NOOR
- TYT Gabenor Sarawak Ke-5 (1985-2000)
Tuan Yang Terutama Tun Datuk Patinggi Haji Ahmad Zaidi Adruce dilahirkan pada 29hb Mac 1929. Apa yang unik mengenai Tun Ahmad Zaidi adalah beliau dilahirkan di atas bot iaitu ketika bondanya Siti Saadiah yang sedang sarat mengandung 9 bulan telah melahirkannya di atas bot ketika di dalam perjalanan melalui Sungai Rejang. Dengan bersaksikan ayahandanya Muhammed Noor maka lahirlah seorang negarawan Sarawak yang diberi nama Ahmad Zaidi Adruce bin Muhammed Noor.
Selepas seketika, Tun Ahmad Zaidi Adruce telah diserahkan kepada keluarga angkat untuk dijaga dan keluarga angkat ini bukannya daripada calang-calang keluarga kerana Tun Ahmad Zaidi Adruce diserahkan untuk dijaga oleh Sharifah Mai binti Sharif Masahor, puteri kepada seorang lagi nasionalis Sarawak yang gah namanya sehingga ke Malaya iaitu Sharif Masahor. Dibawah jagaan keluarga angkatnya inilah Tun Ahmad Zaidi Adruce telah membesar di kalangan keluarga nasionalis yang ternyata telah memberi impak positif di dalam semangat patriotism di dalam dirinya sejak di bangku sekolah lagi. Tun Ahmad Zaidi Adruce memulakan alam persekolahan sejak berumur 5 tahun lagi. Keluarga angkatnya telah menghantarnya ke sebuah sekolah Cina bagi memberikan ruang kepadanya untuk menguasai bahasa Mandarin dengan lebih baik lagi iaitu Sekolah Chung Hua. Setelah itu barulah beliau dihantar ke sekolah melayu iaitu Sekolah Abang Ali di Sibu. Sewaktu di Sekolah Abang Ali ini beliau telah menunjukkan minat yang mendalam di dalam sastera seperti puisi dan drama.
Tun Ahmad Zaidi Adruce ternyata seorang pelajar yang bijak dan telah menunjukkan kecemerlangan di dalam bidang pendidikan sejak diusia kanak-kanak lagi. Ketika berusia 12 tahun, beliau telah mendapat pencapaian Standard 7 yang merupakan sesuatu yang mustahil untuk diperolehi oleh seorang anak tempatan Sarawak pada ketika itu namun tiada yang mustahil bagi beliau. Atas kecemerlangan ini, beliau telah menyambung pelajarannya ke St Thomas, Kuching pada tahun 1936 dan akhirnya beliau lulus Peperiksaan Junior Cambridge dengan cemerlang dan yang amat membanggakan pada ketika itu beliaulah satu-satunya etnik bumiputera Sarawak yang lulus dengan cemerlang.
Pada tahun 1938, beliau telah melanjutkan pelajaran ke Sekolah Anglo-Chinese di Singapura dan sekali lagi beliau lulus dengan cemerlang di dalam Peperiksaan Senior Cambridge di sana. Dengan berbekalkan kecemerlangan di dalam pendidikan ini, Tun Ahmad Zaidi Adruce telah terpilih untuk memasuki Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim Perak pada tahun 1940. Siapa tidak kenal bahawa maktab perguruan ini sememangnya gah dengan penuntut-penuntutnya yang mempunyai semangat kental di dalam semangat patriotism. Sewaktu pendudukan Jepun pada tahun 1941, Tun Ahmad Zaidi Adruce adalah antara mereka yang kental menentang pendudukan Jepun walaupun beliau berada di bumi Malaya pada ketika itu. Beliau akhirnya melarikan diri ke Singapura pada tahun 1942 dan atas kehendak keluarganya, Tun Ahmad Zaidi Adruce telah melanjutkan pelajaran di dalam Perubatan Veterinar di Kolej Buitenzorg di Bogor, Jawa.
Ketika beliau menjejaki Pulau Jawa ketika itu, semangat nasionalisme dan patriotism di kalangan rakyat Indonesia terhadap penjajahan Belanda sememangnya telah menebal ketika itu dan Tun Ahmad Zaidi Adruce juga turut serta di dalam gerakan anak muda Indonesia ketika itu. Akhirnya sekali lagi beliau tidak menamatkan pembelajarannya dan kerana itulah pada tahun 1947, beliau telah dipanggil pulang oleh keluarganya kembali ke bumi Sarawak.
Apabila kembali ke Sarawak, beliau telah berkhidmat sebagai seorang pendidik di Maktab Perguruan Batu Lintang dan beliau adalah antara pelopor kepada Pasukan Beruniform Pengakap Laut di Sarawak pada ketika itu. Pada tahun 1949, Tun Ahmad Zaidi Adruce telah memperolehi biasiswa daripada Kerajaan British Borneo untuk melanjutkan pelajaran ke Robert Gordon Technical College of Aberdeen, United Kingdom.
Setelah beliau memperolehi Ijazah Pertamanya beliau terus melanjutkan pelajaran ke Universiti of Edinburgh dan memperolehi MA. Sesuatu yang membanggakan ketika itu kerana Tun Ahmad Zaidi Adruce adalah merupakan satu-satunya anak Sarawak yang berjaya menggulung ijazah MA di dalam bidang Ekonomi Politik ketika itu. Pada tahun 1955, Tun Ahmad Zaidi Adruce telah sekali lagi membanggakan keluarga dan rakyat Sarawak apabila lulus dengan cemerlang di University of London di dalam bidang pendidikan.
Selesai menamatkan pengajiannya di luar negara, Tun Ahmad Zaidi Adruce telah kembali ke tanahair Sarawak yang tercinta dan kembali menjawat jawatannya sebagai Pensyarah di Maktab Perguruan Batu Lintang. Pada ketika inilah beliau aktif di Barisan Pemuda Sarawak dan pada tahun 1956 beliau telah dilantik sebagai Pemangku Presiden kepada persatuan tempatan ini yang terkenal dengan sumbangannya di dalam menganjurkan semangat patriotism di kalangan rakyat tempatan sendiri pada waktu itu.
Tun Ahmad Zaidi Adruce telah berkahwin dengan gadis pilihan keluarganya iaitu Hajjah Hamsiah binti Haji Ismail dan dikurniakan dengan 8 orang cahayamata. Semasa beliau di dalam buangan ke Indonesia kerana dituduh sebagai penentang Koloni British beliau telah berkahwin dengan Toh Puan Datin Patinggi Hajjah Rosmiati binti Kendati dan dikurniakan dengan 4 orang cahayamata.
Pada 2 April 1985, Tun Datuk Patinggi Haji Ahmad Zaidi Adruce bin Muhammed Noor telah dilantik sebagai Yang Di-Pertua Negeri Sarawak yang ke-5 bagi menggantikan Tun Abdul Rahman bin Yaakub yang bersara atas sebab-sebab kesihatan. Tun Ahmad Zaidi merupakan satu-satunya TYT Sarawak yang memegang jawatan TYT selama 15 tahun berturut-turut sehinggalah beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada 5hb Disember 2000 di Kuala Lumpur. Inilah sedikit informasi di dalam kita mengenal seorang lagi Negarawan Sarawak yang telah menabur baktinya untuk Sarawak Bumi Kenyalang. Sama-samalah kita berdoa agar roh Negarawan kita ini tenang dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman. Amin.