top of page

FROM LACHAU WITH LOVE


FROM LACHAU WITH LOVE


Pekan Lachau adalah satu pekan kecil yang kedudukannya sememangnya di tengah-tengah perjalanan antara Betong, Saratok, Sarikei, Sibu, Bintulu dan Miri. Oleh kerana lokasinya yang strategik maka Pekan Lachau sinonim sebagai satu pekan untuk beristirehat bagi melepaskan lelah para pelancong dan juga masyarakat Sarawak yang melalui perjalanan yang jauh.


Keunikan pekan kecil ini terletak pada namanya kerana terlalu ramai yang mempunyai pandangan yang skeptikal apabila menyebut namanya sedangkan hakikatnya nama itu sebenarnya merujuk kepada sejenis binatang. Cicak Tokek atau Gerko itulah yang bernama Lachau jika didalam bahasa Iban.


Sebenarnya suatu waktu dahulu di kawasan Lachau inilah sebenarnya banyak habitat spesis cicak ini sehingga dengan senang boleh di dapati dimana-mana sahaja. Dan kerana itulah masyarakat tempatan memanggil pekan ini dengan nama Lachau iaitu merujuk kepada satu tempat yang banyak spesis cicak tokek. Jadi pada sesiapa yang skeptikal itu tiada yang lucah pada nama pekan ini dan salahkan diri sendiri kerana terlalu kuat berimaginasi.


Pekan Lachau sejak dari dulu lagi merupakan satu pekan yang menarik kerana disinilah sebenarnya sejak dahulu lagi mengamalkan sistem barter di dalam urusan perniagaannya. Lokasinya yang hanya sekitar 2 jam perjalanan darat dari sempadan Malaysia/Kalimantan, Indonesia membenarkan yang suatu waktu dahulu ianya merupakan pusat untuk menjual barangan kraftangan serta produk hutan antara masyarakat Dayak di Kalimantan ke Sarawak.


Dikatakan suatu waktu dahulu para pembekal barangan kraftangan dan produk hutan dari Kalimantan akan berjalan kaki menuju ke Lachau dan mereka kemudiannya menjual barangan kepada peniaga-peniaga masyarakat etnik Iban di situ. Sehingga sekarang urusan jual beli itu masih lagi dilakukan Cuma dahulu menggunakan sistem barter tetapi sekarang sudah menggunakan matawang ringgit Malaysia.


Dan kerana itulah jika kita pernah berkunjung ke Pekan Lachau kita akan mendapati di bazaar Lachau mempunyai himpunan kraftangan yang bermutu tinggi yang sememangnya amat mahal jika kita membelinya di bandar-bandar besar kerana di Pekan Lachau inilah ianya dijual secara langsung daripada pembekal kepada peniaga. Selain daripada barangan kraftangan dan produk-produk hutan di bazaar Pekan Lachau juga terdapat satu lagi produk iaitu ikan panggang yang dikatakan dibekalkan oleh pembekal dari Balingian jauhnya.


Pekan Lachau sesuai dengan lokasinya yang dibawah juristifikasi Bahagian Sri Aman sudah tentu penduduknya adalah di kalangan etnik Dayak Iban iaitu etnik majoriti di Sarawak Bumi Kenyalang. Selain daripada etnik Dayak Iban, kaum Cina juga turut menghuni pekan kecil ini. Oleh kerana pengaruh yang kuat daripada sistem komunikasi etnik Iban di pekan kecil ini jadi tidak menghairankan sekiranya kaum Cina juga fasih berkomunikasi di dalam bahasa Iban.


Setiap Daerah Mempunyai Sejarahnya Dan Setiap Daerah Mempunyai Nilai Kasih Sayangnya.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!


bottom of page