top of page

LEGENDA BULUH BETONG DAN SEBIJI TELUR


LEGENDA BULUH BETONG DAN SEBIJI TELUR


Al-sahibul hikayat, suatu waktu dahulu ada seorang pemimpin etnik Kayan yang tinggal di hilir Sungai Kayan, Kalimantan Timur bernama Kuwanyi. Kuwanyi ini dikatakan seorang pemburu yang handal dan amat jarang-jarang sekali sekiranya beliau masuk ke hutan, beliau tidak akan membawa pulang hasil pemburuan yang lumayan seperti rusa, babi hutan dan sebagainya. Dikatakan kerana kehandalannya itu maka setiap kali pemburuannya sudah tentu akan adalah jamuan makan untuk sekampung bagi merasai hasil pemburuannya.


Pada suatu hari yang baik, Kuwanyi telah masuk ke hutan seperti biasa dan beliau amat pelik hampir seharian beliau berjalan mengikuti denai-denai hutan namun tiada seekor binatang mahupun unggas yang beliau temui. Kerana malu untuk pulang dengan tangan kosong, Kuwanyi pun meneruskan pemburuan beliau dan tiba pada suatu tempat langkah kakinya terhenti kerana tempat tersebut dikatakan amat cantik sekali.


Kerana keletihan berjalan, Kuwanyi mengambil keputusan untuk berehat melepas lelah sebentar sambil menikmati suasana hutan yang tenang. Tiba-tiba pandangan Kuwanyi terhenti pada seruas buluh betong yang hidup subur di tepi kali dan terdapat sebiji telur gergasi diatas sebongkah batu yang menarik perhatiannya.


Kuwanyi lantas bangun dan mendekati kawasan tersebut dan entah mengapa satu perasaan pelik mula meresapi Kuwanyi apabila beliau merasa kasihan pada seruas buluh dan sebiji telur tersebut ditinggalkan sendirian di dalam hutan. Sebagai seorang pemburu yang berpengalaman dan sudah tentu mempunyai pelbagai ilmu hutan, Kuwanyi bertekad membawa kedua-duanya pulang ke kampongnya memandangkan hari sudahpun semakin gelap.


Apabila sampai di rumah, isteri Kuwanyi sedang sibuk memasak membuat persiapan untuk makan malam mereka berdua memandangkan walaupun telah lama berkahwin mereka berdua belum lagi dikurniakan anak. Setelah membersihkan diri dan ketika Kuwanyi suami isteri sedang enak menjamu selera yang ala kadar, tiba-tiba kedengaran bunyi bising di bawah rumah mereka iaitu bunyi seakan-akan bayi menangis.


Tanpa berlengah di dalam kesuraman malam, Kuwanyi dan isterinya menuju ke arah bunyi tersebut. Alangkah terkejutnya mereka kerana rupa-rupanya buluh betung tersebut telah melahirkan seorang bayi lelaki yang elok rupa parasnya manakala telur gergasi telah pecah dan mengeluarkan seorang bayi perempuan yang juga elok rupa parasnya.


Alangkah gembiranya isteri Kuwanyi kerana selama ini dia begitu mendambakan cahayamata di dalam penghidupan mereka dan sejak dari saat itu Kuwanyi suami isteri bertekad untuk membesarkan kedua-dua anak sakti ini menjadi anak kandung mereka sendiri. Kuwanyi menamakan anak lelakinya dengan nama Jauwiru manakala anak perempuannya dinamakan Lemlai Suri.


Dikatakan semenjak adanya Jauwiru dan Lemlai Suri di dalam keluarga Kuwanyi ianya telah memberikan satu rahmat kepada Kuwanyi sekeluarga apabila hasil tanaman Kuwanyi dan isterinya sentiasa subur malah hasil pemburuan Kuwanyi juga semakin menjadi-jadi. Keajaiban ini tidak hanya berlaku kepada Kuwanyi malah kepada keseluruhan komuniti yang berada di bawah kepimpinan Kuwanyi sehinggalah kampung mereka menjadi sangat gah dan kaya raya sehingga mampu membentuk satu peradaban tersendiri di Apo Kayan pada masa itu.


Kerana keberkatan mengambil anak-anak ajaib ini, Kuwanyi sekeluarga telah menjadi seorang yang kaya raya di Apo Kayan. Apabila beliau meninggal dunia, anak lelakinya Jauwiru diangkat oleh masyarakat Kayan di Apo Kayan menjadi pemimpin menggantikan ayahnya. Jauwiru berkahwin dengan gadis yang paling cantik di dalam kampungnya manakala Lemlai Suri pula berkahwin dengan pemuda yang paling gagah di dalam kampungnya.


Hasil perkahwinan Jauwiru pula telah dikurniakan dengan seorang putera tunggal yang bernama Paran Anyi. Paran Anyi membesar sebagai seorang pemuda yang tampan dan mewarisi segala kepahlawanan dan kepakaran datuknya iaitu Kuwanyi. Hal ini amatlah membahagiakan Jauwiru sekeluarga. Sebelum Jauwiru meninggal dunia, Jauwiru telah mewariskan Paran Anyi sebatang dayung (bersairuk) sebagai tanda kesaktian kepada Paran Anyi. Akhirnya Paran Anyi diangkat menggantikan Jauwiru menjadi ketua masyarakat Kayan di Apo Kayan setelah ayahandanya meninggal dunia.


Hasil perkahwinan Paran Anyi dengan isterinya hanya dikurniakan dengan seorang puteri yang bernama Lahai Bara. Ini agak membimbangkan Paran Anyi kerana di dalam masyarakat Kayan pada waktu itu, kesemua pemimpin hendaklah berasal daripada berjantina lelaki dari satu keturunan dan kasta yang sama. Akhirnya Paran Anyi telah mengahwinkan Lahai Bara dengan cucu kepada nenek saudaranya iaitu Lemlai Suri yang bernama Wan Paren.


Wan Paren diketika nendanya meninggal dunia telah diwariskan dengan 2 barang sakti iaitu “Kedabang” yang merupakan sejenis tutup kepala. Apabila Paran Anyi meninggal dunia, masyarakat Kayan Apo Kayan sebulan suara mengangkat Wan Paren menjadi ketua mereka. Hasil perkahwinan Wan Paren dan Lahai Bara lahirlah sepasang kembar yang dinamakan Barau (Lelaki) dan Simun Luwan (Perempuan).


Kedua-dua anak kembar ini merupakan anak-anak yang pakar dalam segalanya baik Balau sebagai anak lelaki yang gagah perkasa dan penuh kesaktian begitu jugalah Simun Luwan yang sebagai anak gadis yang cantik serta tangkas bermain senjata. Ketika ibu mereka Lahai Bara masih hidup, Lahai Bara telah mengwariskan 3 barang pusaka kepada anak-anaknya iaitu ani-ani (kerkapan), Kedabang sejenis tutup kepala dan Bersairuk sebuah dayung.


Disamping itu beliau juga membuat wasiat agar Lungun atau kerandanya hendaklah disemadikan di sebelah hilir Sungai Kayan. Ketiga-tiga barangan pusaka ini telah menjadi rebutan kedua-dua beradik ini sehingga ianya menimbulkan sengketa yang berpanjangan antara keduanya sehingga membenarkan masyarakat Kayan di Apo Kayan pada itu berpecah-pecah dan tidak lagi bersatu padu seperti dahulu.


Dek kerana kedua-duanya ingin menjadi anak-anak yang berjasa kepada wasiat bondanya akhirnya mereka bertelagah sesama sendiri dan sentiasa berebut untuk melunaskan permintaan bondanya iaitu kerandanya harus disemadikan di hilir Sungai Kayan. Sewaktu berebut membawa keranda inilah, Simun Luwan dikatakan telah menggunakan kesaktian dayung yang berjaya dirampasnya daripada Barau dengan menggoreskan hujung dayung pada sebuah tanjung di Sungai Payang dan menyebabkan daratan tanjung tersebut terbelah dua yang menyebabkan keranda bondanya hanyut sehingga ke Kampung Long Pelban di hulu Sungai Kayan.


Maka disitulah keranda Lahai Bara disemadikan sehingga sekarang. Barau yang mengalah kerana tidak mahu terus berlaku kemusnahan kepada masyarakat Kayan di Apo Kayan telah kembali ke kampong asalnya dan telah bersumpah barangsiapa keturunannya tidak boleh sama sekali menjejak atau melalui Long Pelban. Dikatakan sumpah tersebut sehingga sekarang tidak pernah diengkari oleh mana-mana masyarakat kayan yang berasal daripada hilir Sungai Kayan kerana akur dengan sumpahan si Barau.


Untuk Simun Luwan pula setelah beliau menetap di Hulu Sungai Kayan beliau telah berkahwin dengan Sadang, pemuda masyarakat Kayan yang tinggal di Long Pelban. Hasil perkahwinan beliau ini telah dikurniakan dengan seorang puteri yang bernama Asung Lawan. Asung Lawan yang kejelitaannya tiada tolok bandingnya pada waktu itu telah menarik minat seorang keluarga kerabat diraja Kesultanan Brunei pada masa itu iaitu Datuk Mencang.


Diceritakan bukan mudah untuk Simun Luwan menerima pinangan daripada Datuk Mencang dan ada syarat yang harus Datuk Mencang harus penuhi. Syaratnya adalah Datuk Mencang harus mempersembahkan kepala Sumbang Lawing sebagai maskahwinnya. Sumbang Lawing merupakan seorang pendekar masyarakat Kayan di Hilir Sungai Kayan yang telah membunuh Sadang, suami kepada Simun Luwan sewaktu perang saudara antara Simun Luwan dengan Si Barau suatu waktu dahulu. Demi kecintaan kepada Datuk Mencang kepada Asung Lawan, Datuk Mencang telah sanggup beradu ketangkasan dengan Sumbang Lawing yang akhirnya dimenangi Datuk Mencang dengan tipu helah.


Cerita legenda pertelagahan saudara inilah yang dikatakan menjadi penyebab kepada perpecahan masyarakat Kayan sehingga membenarkan imigrasi besar-besaran mereka daripada Apo Kayan sehinggalah membentuk masyarakat Kayan di Batang Rajang dan di Lembah Balui, Belaga, Sarawak suatu waktu dahulu.


Pertalian saudara antara masyarakat Kayan dengan masyarakat Brunei Darussalam sememangnya mempunyai titipan sejarah yang amat unik sekali. Cerita ini mungkin ada kebenarannya dan ada sesetengah jalan ceritanya mungkin telah digembar-gemburkan oleh penglipurlara bagi mencantikkan jalan cerita mereka memandangkan ianya disampaikan dari mulut ke mulut.


Namun apa yang pasti setiap cerita legenda mempunyai maksud yang tersirat di sebalik yang tersurat bagi panduan dan pedoman kita untuk mengharungi perjalanan hidup kita di masa depan. Seseungguhnya setiap etnik-etnik di Sarawak kaya dengan sastera rakyat yang seharusnya diberi ruang untuk diwar-warkan kepada generasi Bangsa Sarawak sekalian.


© 2023 by The Artifact. Proudly created with Wix.com

  • Facebook B&W
  • Twitter B&W
  • Instagram B&W
bottom of page