top of page

ETNIK SEBOP, SARAWAK, BORNEO


ETNIK SEBOP, SARAWAK, BORNEO


Juga dikenali dengan nama Sebup atau Sibup atau Chebop atau Sibop atau Sebop, itulah nama-nama yang dihubungkaitkan dengan satu lagi etnik minoriti di Sarawak Bumi Kenyalang ini. Etnik Sebop dikategorikan sebagai salah satu sub-etnik Kenyah iaitu antara kaum terbesar yang diklasifikasikan sebagai Kaum Orang Ulu Sarawak. Perbezaan nama ini bermula apabila dialek penutur yang menggunakannya namun sejak di zaman pemerintahan Sarawak Kingdom lagi etnik ini dengan rasminya dipanggil Sebop berdasarkan kepada dokumen-dokumen sejarah yang menceritakannya.


Populasi etnik Sebop banyak tertumpu di Long Pekun, Long Batan, Long Menapa, Long Puah, Long Temaja, Long Tuyang dan kawasan penempatan kaum Orang Ulu di kawasan sekitar Sungai Tinjar, Baram, Miri, Sarawak. Seperti cerita asal keturunan etnik Kenyah, etnik Sebop juga merupakan antara etnik yang berhijrah dari kawasan Dataran Usun Apau. Walau bagaimanapun disebalik kesamaan itu, etnik Sebop juga mempunya beberapa cerita lisan yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi tentang asal-usul keturunan mereka malah ini sebenarnya berlaku ketika Sarawak Kingdom itu wujud lagi.


Terdapat beberapa versi cerita tentang etnik Sebob ini iaitu etnik Sebop sebenarnya adalah satu masyarakat yang berhijrah ke seluruh Sungai Tinjar dari kawasan Sungai Luar, Dataran Usun Apau iaitu salah satu kawasan bersejarah yang mana disinilah ramai asal-keturunan etnik-etnik yang menjadi Kaum Orang Ulu Sarawak bermula. Seperti etnik-etnik yang lain yang mempunyai kesamaan daripada asalnya dari Dataran Usun Apau, Etnik Sebop juga dikatakan membuat penghijrahan kerana melarikan diri daripada peperangan antara etnik dan perang Ngayau yang dilakukan oleh etnik-etnik Dayak yang lain.


Di dalam penghijrahan tersebut, lokasi pertama yang dihala oleh etnik Sebop adalah di Batang Utip, Menavan. Di ketika itu Batang Utip, Menavan sudahpun dihuni oleh Kaum Lirong dan Lepo Jingan. Pada ketika itu juga Rajah James Brooke dikatakan sedang memperluaskan empayar Sarawak Kingdom ke kawasan pendalaman dan sudah ada ura-ura tentera Sarawak akan menyerang penduduk tempatan di Menavan bagi memaksa mereka berpindah ke hilir sungai agar senang untuk pemerintahan Sarawak Kingdom mengawal aktiviti mereka. Pada ketika itu, Lirong sudah awal-awal meninggalkan Sebop dan Lepo Jingan di Menavan manakala mereka pula telah awal-awal berhijrah ke Dapui.


Di dalam penghidupan etnik Sebop dikatakan mereka mengamalkan musyawarah yang tinggi yang mana setiap apa juga permasalahan yang melibatkan etnik akan dibincangkan bagi mencari kata sepakat. Bertindak kepada perang dari James Brooke ke kawasan Menavan ini juga turut sama diperbincangkan. Ketika itu Taman Balan Dieng iaitu ketua kepada etnik Sebop di Menavan telah memanggil kesemua anak-anak Sebop untuk mencari kesepakatan. Kerana mereka juga mendiami Menavan maka mereka hanya mempunyai 2 pilihan iaitu bersatu dengan Kaum Lirong dan Lepo Jingan mempertahankan Menavan atau berhijrah ke kawasan lain iaitu Dapui.


Setelah kesepakatan diambil, akhirnya etnik Sebop memilih untuk berhijrah ke kawasan yang dikenali sebagai Dapui. Mereka menghindari perang kerana mereka tahu sekiranya peperangan yang dipilih sudah tentu anak isteri dan keluarga pahlawan Sebop akan menghadapi nasib yang buruk dan hidup di dalam kesusahan. Ini semua dilakukan bagi survival etnik Sebop sendiri pada waktu itu. Maka berhijrah kesemua etnik Sebop ke satu kawasan yang dipanggil Tang Pelutan, Dapui. Dan keputusan mereka untuk berhijrah ke Dapui telah disambut baik oleh etnik Lirong iaitu jiran mereka ketika di Batang Utip, Menavan dahulu.


Ketika di Dapui, pemimpin etnik Berawan dari Sungai Tinjar telah datang menemui ketua etnik Sebop iaitu Taman Balan Dieng. Kedatangan Penghulu Sadimusak ini adalah untuk menjalinkan hubungan yang baik antara etnik Berawan dengan etnik Sebop. Niat Penghulu Sadimusak ini diterima dengan baik oleh Taman Balan Dieng dan sebagai tanda persahabatan mereka telah bertukar-tukar hadiah di antara satu sama lain.


Di dalam pertemuan pertama kali ini juga Penghulu Sadimusak juga mengusulkan agar Taman Balan Dieng untuk berjumpa dengan pemerintah Brooke di Marudi. Perjumpaan itu penting bagi mengesahkan bahawa etnik Sebop adalah etnik yang mendiami Dapui ketika itu. Ianya harus diperjelaskan agar tiada natijah di kemudian hari.


Bertitik tolak daripada itu, Taman Balan Dieng dan beberapa orang lelaki dari etnik Sebop telah menghadap Rajah Brooke di Marudi dan ternyata cadangan yang diberikan oleh Penghulu Sadimusak itu diterima dengan senang hati oleh Rajah Brooke maka kekallah sehingga sekarang Dapui diberikan kepada etnik Sebop untuk didiami dan dimajukan.


Kejadian inilah yang menyebabkan betapa etnik Sebop dan etnik Berawan dikatakan etnik yang mempunyai hubungan yang baik sehingga ada sesetengah dialek dan juga budaya mereka ada kesamaan. Bermula daripada Dapui inilah, etnik Sebop telah berhijrah ke Long Tebu, Long Dulit, Long Ta’a dan seterusnya Long Tuyang serta Long Selapun. Inilah penghijrahan etnik Sebop dari Usun Apau ke Menavan seterusnya ke kawasan Sungai Tinjar sekarang.


Etnik Sebop juga mempunyai bahasanya yang tersendiri walaupun ramai yang mengatakan bahawa bahasa etnik Sebop adalah menyerupai bahasa etnik Penan. Namun begitu telah diperincikan bahawa bahasa etnik Sebop adalah dikategorikan di bawah rumpun bahasa Astronesian: Malayo-Polynesian, North Borneo, North Sarawakan, Kayan, Kenyah. Di dalam bahasa etnik Sebop itu sendiri mempunyai beberapa dialek Bah Malei, Lirong, Long Atun, Long Luyang, Long Ekang, Long Pokun dan Tinjar Sibop.


Seperti etnik-etnik Dayak yang lain di bumi Sarawak, etnik Sebop juga mempunyai warisan budaya yang unik baik dari tarian dan sebagainya. Tetapi yang pasti sejak dari dahulu lagi etnik Sebop terkenal dengan kepakaran orang lelakinya mengukir kayu. Ukiran kayu mereka dikatakan adalah antara hasil ukiran kayu yang berkelas dunia contohnya ukiran-ukiran kayu yang mempunyai motif burung dan flora fauna di dalam masyarakat Orang Ulu Sarawak adalah hasil daripada kerja tangan kaum lelaki dari etnik Sebop.


Sesuai dengan waktu juga, etnik Sebop yang dahulunya adalah mereka yang mengamalkan agama pagan sekitar tahun 1940an ramai antara mereka telah memeluk agama Kristian iaitu setelah kedatangan missionari kristian di bumi Sarawak pada masa itu. Mereka masih lagi mengamalkan beberapa adat nenek moyang mereka yang tidak bertentangan dengan ajaran Kristian sekarang.


Tidak Kenal Maka Tidak Cinta.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!

bottom of page