top of page

FORT LIMBANG, LIMBANG, SARAWAK


FORT LIMBANG, LIMBANG, SARAWAK


Kubu Limbang atau Fort Limbang, itulah satu lagi mercu tanda jejak peninggalan sejarah pemerintahan Brooke di bumi Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu. Ianya nun jauh terletak di utara Sarawak iaitu hanya 200 meter lokasinya dari Sungai Limbang. Uniknya mengenai kubu ini, jika kubu-kubu yang pernah dibina oleh Rajah Brooke di seluruh Sarawak suatu waktu dahulu sudah semestinya diberikan nama mengikut nama-nama pemerintah atau legasi Keluarga Brooke tetapi tidak bagi kubu ini kerana sehingga sekarang ianya tetap dikenali sebagai Kubu Limbang atau Fort Limbang.


Pada 17hb Mac 1890, Rajah Charles Brooke mengikut sejarahnya telah menaikkan bendera Sarawak Kingdom di bumi Limbang walaupun hakikatnya pada masa itu Limbang masih lagi menjadi salah satu tanah kuripan Kesultanan Brunei Darussalam. Kesemua hal ini didorong oleh masyarakat tempatan di Limbang dikatakan lebih memihak untuk menjadi rakyat Sarawak Kingdom. Ini kerana sejak di tahun 1884 lagi sememangnya rakyat Limbang telah bangun memberontak atas pemerintahan pembesar Brunei di Limbang. Dan akibatnya pernah terjadi perang ke atas Brunei pada tahun itu juga.


Akibat daripada tindakan daripada Rajah Charles Brooke ini sebenarnya telah melanggar artikel 8 yang ditandatangani pada tahun 1888 antara Sarawak Kingdom, North Borneo dan Brunei serta Inggeris iaitu keempat-empat Negara ini menjadi Negara perlindungan kepada Kerajaan Mahkota British. Rampasan yang dilakukan oleh Rajah Charles Brooke ini telah diadukan oleh Sultan Brunei kepada Baginda Queen di Kota London.


Baginda Queen telah menghantar penimbangtara untuk menguruskan aduan yang dibuat oleh Sultan Brunei iaitu dengan menghantar Konsul British ke Borneo yang baru iaitu Sir Neil Penrose Trevenen. Setelah siasatan dilakukan akhirnya British lebih menyebelahi kepada Rajah Charles Brooke pada masa itu. Sir Neil Penrose juga telah mencadangkan iaitu pada sekitar Mac 1892 wang pampasan dirundingkan dan Sultan Brunei akan menerima $6000 setiap tahun daripada Sarawak Kingdom. Dan sekiranya baginda Sultan Brunei tidak menerima wang tersebut dalam masa tiga tahun sejak tarikh perampasan Limbang, maka wang tersebut akan dikembalikan kepada Charles Brooke.


Dikatakan bahawa Sultan Hashim dan pembesar-pembesar Brunei tidak mahu menerima walau sesen pun wang pampasan tersebut. Baginda tidak rela menggantikan Limbang dengan wang ringgit sebagai ganti rugi ke atas tanah Limbang yang dirampas itu. Usaha daripada Trevenen menemui kegagalan dan sehinggalah tempoh 3 tahun tamat, Sultan Brunei masih enggan menerima wang tersebut. Akhirnya sekitar Ogos 1895, Pejabat Hal Ehwal Luar Negara Great Britain telah mengistiharkan kes Limbang ini memihak kepada Rajah Charles Brooke dan Limbang kekal sebagai antara salah satu wilayah Sarawak Kingdom sehinggalah sekarang.


Bagi memberikan ruang kepada Sarawak Kingdom yang berkuasa kepada Limbang maka Rajah Charles Brooke iaitu Rajah ke-2 Sarawak Kingdom telah membina sebuah kubu pada tahun 1897 tidak jauh daripada Sungai Limbang dan dinamakan Kubu Limbang atau Fort Limbang. Dengan binaan 2 tingkat 100% pembuatannya daripada kayu-kayan tempatan, Fort Limbang suatu waktu dahulu dikatakan di sebelah aras atasnya adalah untuk kegunaan pentadbiran Kerajaan Sarawak Kingdom manakala dibahagian bawahnya adalah untuk kegunaan Polis Sarawak Kingdom memenjara pesalah-pesalah yang membuat onar di sekitar Limbang pada waktu itu.


Sekitar tahun 1966, Fort Limbang dikatakan di dalam keadaan yang usang maka ianya telah dibaikpulih. Namun sekitar tahun 1986, Fort Limbang telah musnah terbakar sehinggalah ianya dibina semula oleh Kerajaan Negeri Sarawak dengan bantuan syarikat gergasi swasta di Sarawak pada waktu itu iaitu didirikan di lokasi yang sama tanpa mengubah sebarang bentuk senibina seperti yang sedia ada sekarang.


Sekarang, Fort Limbang masih lagi terpelihara dan telahpun dinaiktaraf menjadi sebuah muzium kekal yang dikenali sebagai Muzium Limbang. Disinilah segala hal yang berkenaan dengan sejarah Limbang dan juga masyarakatnya dipamerkan. Banyak artifak-artifak sejarah yang berharga dipamerkan di sini dan Fort Limbang atau Muzium Limbang ini adalah antara salah satu tempat tarikan pelancong di bumi Limbang sekarang.


bottom of page