top of page

LEGENDA PERJANJIAN SANG RUSA DAN ETNIK PUNAN


LEGENDA PERJANJIAN SANG RUSA DAN ETNIK PUNAN

- Mengapa etnik Punan Tidak Memakan Rusa


Tidak memakan rusa mungkin sesuatu yang agak pelik bagi masyarakat etnik pribumi Sarawak kerana rusa antara sumber makanan yang senang didapati di hutan rimba di Sarawak namun begitu walau seenak manapun daging rusa itu, ianya tidak akan dijadikan menu hidangan di dalam aturan penghidupan masyarakat etnik Punan.


Diceritakan bahawa pada suatu waktu dahulu, etnik Kayan adalah merupakan antara etnik pribumi yang menjadi peneroka awal mendiami kawasan Sungai Baram. Kemudian ianya diikuti oleh etnik Kenyah yang kemudiannya akibat daripada adanya ekspedisi kayau akhirnya telah menyebabkan mereka untuk berhijrah jauh sehingga ke kawasan yang digelar Usun Apau.


Usun Apau adalah satu lembah yang subur dan kaya dengan flora dan fauna yang tersendiri sehingga memungkin etnik Kenyah dapat meneruskan kelangsungan hidup mereka dengan bercucuk tanam seperti menanam sagu serta yang lain-lain. Boleh dikatakan penghidupan di Usun Apau tidak akan membiarkan mana-mana penghuninya mati kelaparan asalkan rajin berusaha.


Hutan yang akan membekalkan segala bentuk herba atau buah-buahan akan menjadi satu sumber pendapatan kepada penghuninya serta jalinan sungainya yang kaya dengan pelbagai jenis ikan sudah cukup untuk membekalkan sumber protein kepada penghuninya.


Diceritakan suatu waktu dahulu Lembah Usun Apau sebenarnya pada asalnya hanya didiami oleh binatang-binatang hutan seperti rusa, babi hutan dan lain-lain lagi namun apabila adanya manusia tinggal di satu kawasan yang sama sudah tentu ianya menjadi satu konflik kepada habitat semulajadi mereka. Maka pada suatu hari sang rusa telah termakan daun ubi keledek serta padi yang sedang tumbuh segar di huma etnik Kenyah.


Melihat kepada kemusnahan dan kerugian yang dialami itu, maka etnik Kenyah yang mendiami kawasan Usun Apau telah mula membuat perangkap buluh untuk menangkap rusa maka sudah semestinya ada rusa-rusa yang telah ditangkap dan menjadi hidangan pembuka selera untuk etnik Kenyah di Usun Apau pada waktu itu.


Walau bagaimanapun setelah seketika mendiami kawasan Usun Apau akhirnya etnik Kenyah telah berhijrah keluar daripada Usun Apau sekali lagi kerana pada waktu itu sekali lagi mereka melarikan diri untuk survival generasi mereka memandangkan perang kayau telah mula menyerang mereka di lembah Usun Apau. Setelah ketiadaan etnik Kenyah maka yang hanya tinggal mendiami kawasan Usun Apau hanyalah etnik Punan.


Pada suatu hari, Raja Rusa di Usun Apau telah memanggil semua anak-anak buah rusanya untuk bermesyuarat. Segalanya bagi membincangkan bagaimana sang rusa boleh meneruskan kelangsungkan hidup mereka di Usun Apau tanpa melibatkan korban di pihak binatang bernama rusa. Maka di dalam mesyuarat tersebut Raja Rusa telah bersetuju untuk menghantar rombongan sang rusa untuk berbincang dengan Penghulu etnik Punan yang mendiami kawasan Usun Apau.


Walau bagaimanapun Raja Rusa bimbang bagaimana binatang boleh berinteraksi dengan manusia dan sekiranya Raja Rusa bertemu dengan Penghulu etnik Punan sudah tentu Raja Rusa pula menjadi menu mereka. Setelah perbincangan demi perbincangan akhirnya salah seekor rusa tampil dan memberitahu Raja Rusa bahawa dia berkuasa untuk menukarkan Raja Rusa menjadi manusia buat sementara waktu.


Setelah kata sepakat diambil maka bertolaklah Raja Rusa ke kawasan penempatan etnik Punan dan sebelum masuk ke kawasan penempatan tersebut, dirinya telah bertukar menjadi manusia malah bukan sahaja manusia biasa tetapi Raja Rusa juga telah menyamar dirinya menjadi salah seorang daripada etnik Punan pada ketika itu.


Apabila sampai di kawasan penempatan etnik Punan, Raja Rusa yang telah bertukar menjadi manusia dengan penuh tertibnya memohon penduduk Punan untuk memperkenalkannya dengan Penghulu etnik Punan. Melihat kepada sopan santun dan tutur kata yang lembut daripada Raja Rusa, akhirnya anak buah Penghulu telah memperkenalkan dia dengan Penghulu Punan di Usun Apau.


Ketika sampai di rumah panjang Penghulu itulah Raja Rusa telah terlihat Penghulu Punan sedang asyik mengasah parang dan tombaknya. Ketika diperkenalkan itulah Raja Rusa sempat bertanya dengan Penghulu Punan samada dia gemar memakan daging rusa atau tidak. Lalu dijawab oleh Penghulu Punan bahawa mereka tidak pernah berniat untuk mencederakan rusa tetapi memandangkan rusa sering merosakkan tanam-tanaman mereka maka masyarakat etnik Punan tidak mempunyai banyak pilihan.


Bertitik tolak daripada jawapan itu maka Raja Rusa pun memperkenalkan dirinya yang sebenar kepada Penghulu etnik Punan Usun Apau. Diceritakannya sekali apakah tujuannya datang ke kawasan penempatan etnik Punan itu. Setelah berbincang akhirnya kata sepakat diambil oleh Penghulu Punan dan Raja Rusa. Kata sepakat itu adalah Raja Rusa akan menitahkan kesemua rusa-rusa di kawasan Usun Apau untuk tidak memakan tanam-tanaman di ladang-ladang etnik Punan dan sebagai balasannya Penghulu etnik Punan pula berjanji kesemua etnik Punan tidak akan membunuh mahupun memakan daging rusa. Setelah segala persetujuan diambil akhirnya Raja Rusa telah memohon untuk kembali ke kawasan rusa di Usun Apau.


Sejak daripada itu dikatakan bahawa tiada seekor rusa pun di Usun Apau yang pernah mengganggu mahupun masuk ke kawasan ladang-ladang tanaman etnik Punan manakala etnik Punan pula tidak pernah lagi memakan daging rusa sehinggalah sekarang walaupun mereka tidak lagi tinggal di kawasan Usun Apau. Etnik Punan bukan sahaja tidak memakan daging rusa malah mereka juga tidak pernah lagi menjadikan tanduk rusa sebagai penghias di rumah panjang mereka dan juga menjadi sarung kepala kepada parang mereka.


Inilah cerita legenda tentang mengapa etnik Punan yang dikatakan berpantang untuk makan daging rusa di dalam penghidupan mereka. Ianya adalah satu cerita legenda yang diperturunkan dari satu generasi ke generasi yang lain secara lisan. Satu cerita legenda yang kaya dengan maksud yang tersirat di sebalik yang tersirat untuk kita fikirkan sebagai manusia yang mempunyai akal fikiran yang sempurna.



bottom of page