top of page

TAN SRI DATUK PATINGGI HAJI ADENAN BIN HAJI SATEM


TAN SRI DATUK PATINGGI HAJI ADENAN BIN HAJI SATEM

- Ketua Menteri Sarawak Yang Ke-5 (Februari 2014 hingga Kini)


Tan Sri Datuk Patinggi Haji Adenan bin Haji Satem dilahirkan pada 27hb Januari 1944 di Kuching Sarawak. Berketurunan Melayu Sarawak dan perlantikan beliau sebagai Ketua Menteri Sarawak yang ke-5 pada 28 Februari 2014 juga menobatkan beliau sebagai anak Melayu Sarawak yang pertama menjadi Ketua Menteri Sarawak di dalam sejarah Sarawak Bumi Kenyalang.


Memulakan pendidikan awal beliau di Sekolah St Joseph, Kuching sehinggalah ke peringkat menengah dan kemudiannya beliau telah berjaya melanjutkan pelajaran ke University of Adelaide dan akhirnya berjaya mendapat segulung ijazah Undang-undang. Hasil perkahwinan beliau dengan Puan Sri Datin Amar Hajjah Jamilah binti Anu telah dikurniakan dengan 3 orang cahayamata dan 2 orang lagi adalah hasil perkahwinan pertama beliau.


Jika dilihat daripada kejayaan karier beliau sebelum memasuki dunia politik, Tan Sri telah memulakan kerjaya beliau sebagai seorang wartawan dan guru sebelum melanjutkan pelajarannya ke luar negara. Sekembalinya beliau daripada melanjutkan pelajaran dengan segulung ijazah barulah beliau memulakan kariernya sebagai menjadi pengamal undang-undang.


Sekitar tahun 1970-1972 beliau bertugas sebagai peguam di Kuching. Pada tahun 1972-1974, beliau dilantik sebagai Penasihat Undang-undang Hal-Ehwal Petroleum di Kementerian Perusahaan dan seterusnya menjadi peguam di Mahkamah Tinggi Borneo pada tahun 1975. Tan Sri Adenan yang sememangnya amat petah berpidato pernah dinobatkan sebagai Juara di dalam perdebatan mengenai Tanah Adat di Sarawak sekitar tahun 1980an dan 1990an.


Mula berjinak-jinak di dalam kancah politik Sarawak sekitar tahun 1976 apabila beliau menjadi Penasihat Undang-undang dan Ahli Jawatankuasa Penasihat Parti Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB). Kemudian pada tahun 1979 beliau telah bertanding bagi DUN Muara Tuang dalam Pilihanraya Kecil Januari 1979 dan memenangi kerusi tersebut atas tiket BN-Pbb dengan majority sebanyak 2,797 undi mengalahkan calon PAJAR.


Kemudian sekali lagi pada Pilihanraya Negeri 1979 yang diadakan pada bulan September beliau sekali lagi mempertahankan kerusi DUN Muara Tuang dengan mengalahkan calon PAJAR dengan majority 3,422 undi. Pada 11 September 1983, Tan Sri Haji Adenan telah terpilih untuk menjadi Ahli Majlis Tertinggi PBB dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Bahagian Publisiti PBB.


Pada Pilihanraya Negeri ke-4, iaitu pada Disember 1983, Tan Sri Adenan telah mempertahankan kerusi DUN Muara Tuang buat penggal ke-2 dengan mengalahkan calon Bebas dengan majority sebanyak 3,696 undi. Dan sekali lagi pada Pilihanraya ke-5 Negeri Sarawak yang dilangsungkan pada April 1987, untuk penggal ke-3 Tan Sri Adenan telah mempertahankan DUN Muara Tuang dengan majority 3,441 undi.


Pada Pilihanraya Negeri yang ke-6, Tan Sri Adenan telah menunjukkan rekod tanpa kalah yang terbaik pada DUN Muara Tuang dengan memenanginya untuk kali yang ke-3 dengan majority sebanyak 8,272 undi. Dan Seterusnya pada PRN ke-7 beliau terus unggul dengan DUN Muara Tuang apabila menang tanpa bertanding pada tahun itu.


Setelah beberapa penggal mendominasi DUN Muara Tuang akhirnya pada Pilihanraya Umum ke-11 iaitu pada tahun 2004, Tan Sri Haji Adenan telah menjadi calon untuk kerusi Parlimen Batang Sadong atas tiket BN-PBB dan memenangi kerusi PRU tersebut mengalahkan calon PAS dengan majority 9,731 undi. Sejak itu, Tan Sri Haji Adenan telah menabur bakti di Kabinet Kerajaan Malaysia dengan diangkat menjadi Menteri Sumber Asli Dan Alam Sekitar Malaysia.


Pada tahun 2006, setelah berlakunya rombakan kecil pada jawatan Kabinet Malaysia, Tan Sri Haji Adenan telah meletakkan jawatannya sebagai Menteri di Persekutuan atas alasan beliau ingin menaburkan baktinya kembali ke tanahair tercintanya Sarawak Bumi Kenyalang. Beliau terus menjadi YB untuk Parlimen Batang Sadong sehinggalah PRN 2011 iaitu pilihanraya ke-11 dan beliau diletakkan sebagai calon di DUN Tanjung Datu dan memenangi kerusi DUN tersebut dengan majority 3,216 undi. DUN Tanjung Datu itulah yang diwakili beliau sehinggalah sekarang.


Jika dilihat kepada pengalaman beliau sebagai seorang menteri di dalam arena politik Sarawak Bumi Kenyalang, Tan Sri Adenan bukanlah calang-calang menteri kerana beliau telah banyak memimpin portfolio kementerian di Sarawak yang gah-gah. Pada 11 Julai 1985 – 12 Mac 1987, beliau menjadi Menteri Muda di Kementerian Pembangunan Tanah Sarawak.


Pada 10 September 1992 menjadi Menteri bagi Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak. Pada 1 Januari 1988 menjadi Menteri di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan Sarawak. Setelah sekembali beliau daripada berkhidmat sebagai Menteri di peringkat Persekutuan, beliau telah ditugaskan menjadi Penasihat Khas di Pejabat Ketua Menteri Sarawak dari 2 April 2010 sehingga 6 Jun 2011. Setelah itu beliau dinaikkan menjadi Menteri di Pejabat Ketua Menteri dan Menteri Tugas-tugas Khas sehinggalah beliau diangkat menjadi Ketua Menteri Sarawak yang ke-5 sekarang.


Inilah sekelumit informasi ranjau perjalanan peribadi dan politik ketua menteri Sarawak yang ke-5 iaitu Tan Sri Datuk Amar Haji Adenan bin Haji Satem. Ternyata pemilihan beliau sebagai Ketua Menteri bukanlah satu perlantikan yang sembrono kerana Tan Sri Haji Adenan juga mempunyai pengalaman yang cukup meluas untuk menerajui jawatan No. 1 Sarawak Bumi Kenyalang. Diharap perlantikan beliau ini akan terus memacu Sarawak sebagai sebuah negeri contoh dan maju menjelang 2030 seperti misi yang telah ditetapkan oleh mantan Ketua Menteri ke-4 iaitu Pehin Sri Abdul Taib bin Mahmud.


Diharap juga pemimpin No. 1 Sarawak ini akan terus menjaga dan memperjuangkan segala kekebalan imuniti Sarawak Bumi Kenyalang seperti yang tercatat di dalam Perlembagaan Malaysia daripada diceroboh oleh mereka yang bukan Bangsa Sarawak. Diharap juga beliau akan terus memperkasakan toleransi kaum dan agama yang telah kita amalkan berabad lamanya di Sarawak Bumi Kenyalang daripada dihinggapi oleh penyakit parti politik dan NGO rasis yang terdesak menggunakan agama dan kaum sebagai survival politik mereka.


Sejajar dengan pengalaman beliau sebagai seorang mantan menteri yang pernah memegang portfolio Menteri di Kementerian Pembangunan Tanah Sarawak, amatlah diharapkan agar pengalaman beliau itu nanti akan digunakan untuk mencatur pelan yang sebaik-baiknya di dalam perjuangan tanah adat di Sarawak Bumi Kenyalang. Hanya bangsa Sarawak yang mengenal apa itu Sarawak Bumi Kenyalang sebenarnya.



bottom of page