TRAGEDI PEMBUNUHAN SIR GILBERT ROGER HARRIS ARUNDELL DI BATANG AI, SARAWAK 1943
TRAGEDI PEMBUNUHAN SIR GILBERT ROGER HARRIS ARUNDELL DI BATANG AI, SARAWAK 1943
Suatu waktu dahulu, ketika Sarawak Kingdom di dalam kegawatan ekonomi kerana dikatakan hampir muflis atas kurangnya kebijaksanaan oleh Rajah Sarawak Kingdom yang ke-3 iaitu Rajah Charles Vyner Brooke yang boros berbelanja telah menyebabkan penderitaan yang amat sangat kepada rakyat Sarawak Kingdom ketika itu. Dan ketika itu juga Sarawak Kingdom diambang peperangan memandangkan Perang Dunia Ke-2 sedang merebak ke seluruh pelusuk dunia.
Pada ketika itulah, Rajah Charles Vyner Brooke telah cuba menaikkan cukai atau dikenali dengan nama “pupu” bagi masyarakat tempatan Sarawak pada ketika itu. Di kala inilah seorang lagi pemimpin Iban yang bernama Penghulu Jimbun dari Lubok Antu telah bangun menentang pemerintahan Brooke. Pada ketika itu seorang penjawat Kerajaan Sarawak Kingdom yang bernama Sir Gilbert Roger Harris Arundell, seorang Residen di Simanggang (nama lama bagi Sri Aman sekarang) sedang bertugas di Fort Arundell seperti biasa.
Sir Arundell telah beberapa kali mengadakan musyawarah dengan pemimpin-pemimpin Iban di Lubok Antu agar terus menyokong kenaikan “pupu” yang dianjurkan oleh Rajah Charles Vyner Brooke memandangkan Sarawak Kingdom memerlukan banyak dana bagi membangunkan beberapa prasarana bagi persediaan untuk menghadapi Perang Dunia Ke-2. Walau ada yang menerima seadanya tetapi tidak pada Penghulu Jimbun dan pengikutnya. Bagi Penghulu Jimbun ketika itu, rakyat Lubok Antu tidak harus ditekan oleh masalah ini semua memandangkan mereka juga ingin meneruskan penghidupan mereka yang serba kekurangan pada ketika itu.
Bertindak kepada tiada kesepakatan yang dapat dicapai akhirnya, Penghulu Jimbun dan pengikutnya telah membakar Fort Arundell di Lubok Antu tempat Sir Arundell memusatkan pentadbirannya. Pada subuh itu, serangan hendap oleh Penghulu Jimbun dan pengikut-pengikutnya tidak dapat diduga oleh Sir Arundell maka Fort Arundell musnah dijilat api. Sir Arundell pula dikatakan bersama-sama dengan keluarganya telah sempat melarikan diri sehingga ke Batang Ai dan mendapat perlindungan daripada Iban di Batang Ai.
Pada akhir tahun 1941, bumi Sarawak sudah menjadi salah satu jajahan takhluk tentera Jepun. Pada ketika ini, tentera Jepun yang memerintah di Sarawak telah membebaskan mana-mana pesalah yang pernah dihumban ke penjara oleh Sir Arundell. Pada ketika inilah tentera Jepun telah membebaskan Pong, Ijau dan Unying. Suatu ketika dahulu ketiga-tiga mereka ini pernah dihukum penjara oleh Sir Arundell kerana mereka dikatakan telah menjalankan ekspedisi kayau di sebuah perkampungan di jajahan Koloni Belanda di Kalimantan. Pada ketika itu, ekspedisi kayau diharamkan sama sekali di bumi Sarawak walau di dalam apa bentuk sekalipun.
Atas dendam kesumat ini, Pong, Ijau dan Unying telah memburu Sir Arundell sehingga ke kawasan Iban Batang Ai. Dikatakan ketika itu Sir Arundell sekeluarga adalah dibawah jagaan sepenuhnya oleh rakan etnik Ibannya iaitu Penghulu Ramba dan abangnya Rantai di Upper Mujan. Penghulu Ramba pula telah menyerahkan tugas perlindungan sepenuhnya ke atas orang kanannya iaitu Mikai iaitu antara pendokong kuat Penghulu Asun suatu ketika dahulu.
Setelah mengenal pasti kedudukan Sir Arundell sekeluarga akhirnya pada tahun 1 Mac 1943, Pong, Ijau dan Unying telah membunuh Sir Arundell, Sendie anak Bungka, isterinya berserta anak perempuan mereka yang masih kecil di rumah panjang milik Mikai. Di ketika itu dikatakan Mikai tidak ada di rumah panjangnya kerana mempunyai urusan di tempat lain.
Apabila Jepun menyerah kalah di Sarawak dan Sarawak Kingdom dibawah pentadbiran pasca peperangan iaitu Kerajaan Tentera Australia pada ketika itu, Penghulu Ramba berserta Rantai dan Ngindang telah membuat aduan kepada pihak tentera bersekutu tentang pembunuhan seorang rakyat Eropah pada ketika itu. Pihak tentera di Sarawak telah menjalankan siasatan dan disinilah kecelaruan berlaku apabila Pong, Ijau dan Unying mula bermain teka-teki dengan mengatakan bahawa Mikai yang membunuh Sir Arundell sekeluarga.
Mikai yang berang dengan tuduhan tersebut telah menafikan sekeras-kerasnya penglibatan beliau sebaliknya menyatakan bahawa ketiga-tiga Pong, Ijau dan Unying mempunyai dendam kesumat dengan Sir Arundell yang telah memenjarakan mereka. Kerana tiada jalan penyelesaian dikatakan ada satu ketika Mikai telah mencabar ketiga-tiga Jong, Ijau dan Unying untuk berada di dalam satu pertandingan adat Iban yang dinamakan “Selam Ai” atau pertandingan menyelam. Ketiga-tiga mereka menyahut cabaran si Mikai namun akhirnya ketiga-tiga mereka kalah di dalam pertandingan tersebut. Oleh kerana itulah, mereka akhirnya akur untuk diserahkan kepada pihak kerajaan yang memerintah untuk ditahan.
Sekitar tahun 1947, pihak Koloni British Borneo telah berkuasa memerintah Sarawak setelah Rajah Charles Vyner Brooke menyerahkan Sarawak menjadi tanah jajahan Koloni British. Pada ketika inilah, Koloni British Borneo Sarawak telah membuat perhitungan dengan Pong, Ijau dan Unying dengan menghadapkan mereka ke muka pengadilan. Setelah melalui seisi perbicaraan mahkamah yang panjang akhirnya ketiga-tiga Pong, Ijau dan Unying di dapati bersalah pada tahun 1948 dan mereka telah dihukum gantung sampai mati mengikut undang-undang Sarawak pada masa itu.
Sementara itu pada akhir tahun 1947, Koloni British Borneo Sarawak pula telah membina semula Fort Arundell yang pernah musnah terbakar di Lubok Antu suatu ketika dahulu akibat dibakar buat kali kedua oleh Penghulu Jimbun. Fort Arundell sekarang masih lagi utuh berdiri di Lubok Antu sebagai pusat komuniti utama di Lubok Antu. Pusara Sir Arundell sekeluarga pula telah digali semula dan kemudiannya dikuburkan di Pudu Cemetery, Betong.
Inilah sekelumit ruang informasi di dalam kita cuba mengenali sejarah yang jarang-jarang didendangkan buat pengetahuan anak bangsa Sarawak sekalian iaitu Tragedi Pembunuhan Sir Gilbert Roger Harris Arundell. Sudah tentu di dalam sejarah yang kita pelajari Tragedi Pembunuhan J.W.W Birch, seorang residen di Perak ketika zaman Koloni British sememangnya diketahui umum tetapi tidak bagi sejarah ini.
Rujukan:
1. Laman Web Rasmi Rasmi Pejabat Daerah Lubok Antu
www.lubokantudo.sarawak.gov.my/
2. Sarawak Gazette No 1077 : Crime In Sarawak Published 1947
http://www.pustaka-sarawak.com/gazette/gazette_uploaded/1371428764.pdf
3. Book Title: Fair Land Sarawak: Some Recollections of an Expatriate Official By Alastair Morrison
4. Ibans during the Second World War years.
https://ibanology.wordpress.com/2013/03/24/ibans-during-the-second-world-war-years/