top of page

FROM KANOWIT WITH LOVE


FROM KANOWIT WITH LOVE

Kanowit adalah salah satu daerah yang berada di bawah juristifikasi Bahagian Sibu, Sarawak. Keluasan Kanowit itu sendiri adalah 2,253.5 kilometer persegi. Kanowit berada di satu lokasi yang bernama Muara Sungai Kanowit iaitu salah satu cabang Sungai Rajang kira-kira 174 km jauhnya dari Laut China Selatan.


Jika dahulunya Kanowit boleh dihubungi dengan menyusuri Sungai Rajang ke Muara Kanowit melalui perjalanan air dengan menggunakan bot ekspress daripada Sibu namun begitu sejajar dengan kemajuan di kawasan pedalaman, Kanowit juga boleh dihubungi dengan perjalanan darat iaitu hanya memandu selama lebih kurang 45 minit daripada Bandar Sibu.

Menurut laporan populasi penduduk pada tahun 2012 terdapat lebih kurang 35,000 orang yang mendiami daerah Kanowit dengan penduduk-penduduknya adalah Bangsa Sarawak dari etnik Iban, Melayu dan Melanau serta Cina. Apa yang menariknya tentang masyarakat di Kanowit ini adalah adanya satu bangsa Sarawak dari etnik Kanowit yang sekarang dikatakan bahasanya hampir pupus di bumi Sarawak.


Masyarakat Kanowit ini dikatakan adalah masyarakat pertama yang membuka Kanowit itu sendiri malah nama Kanowit itu sendiri merujuk kepada keberadaan masyarakat ini di daerah itu suatu waktu dahulu. Masyarakat Kanowit ini dikategorikan dibawah Melanau dan mereka mempunyai bahasa yang tersendiri iaitu bahasa Kanowit Penempatan terbesar masyarakat Melanau Kanowit ini adalah di Kampung Sungai Bedil, Kanowit. Sarawak yang mana ianya hanya boleh dihubungi dengan menaiki bot ekspress daripada Bandar Kanowit.


Rentetan nama Kanowit di dalam kalendar sejarah Sarawak Kingdom sewaktu pemerintahan Brooke di bumi Sarawak suatu waktu dahulu adalah terjadinya satu perang antara Syarif Masahor, seorang pembesar Sarikei yang bersatu dengan Iban dari Kanowit juga didokongi oleh pentadbiran Kerajaan Brunei Darussalam ketika itu. Perang pada tahun 1859 yang berlaku di Kanowit itu adalah untuk membunuh kesemua bangsa Eropah yang berada di bumi Sarawak pada masa itu bagi mengelakkan mereka terus memperluaskan kuasa mereka di bumi Sarawak.


Perang pada Jun 1859 ini menyebabkan penjawat Eropah dari Negara Sarawak iaitu Charles Fox dan Henry Steele terbunuh. Bertindak daripada pembunuhan itu, Brooke telah menghantar Tuan Muda Charles Brooke untuk menyerang balas dan dengan bantuan Iban dari Saribas. Akhirnya perang tersebut dimenangi oleh Brooke dan Syarif Masahor berundur ke Mukah.


Di ketika perang ini berlangsunglah Kubu Emma didirikan oleh Kerajaan Brooke di Kanowit. Pembinaan Kubu Emma ini adalah sebagai kubu pertahanan bagi tentera Brooke serta mengawal aktiviti Syarif Masahor dan Iban Kanowit pada masa itu daripada berleluasa. Ianya dinamakan Kubu Emma mengambil sempena nama adik perempuan kepada Rajah James Brooke iaitu Emma Brooke. Sehingga sekarang Kubu Emma masih berdiri megah di Kanowit sebagai saksi bisu sejarah Kanowit suatu waktu dahulu.


Jika Bandar-bandar lain di Sarawak mempunyai mercu tanda tersendiri maka di Kanowit juga mempunyai mercu tandanya yang unik. Untuk Kanowit mercu tandanya adalah buah dabai atau dabei. Tiada dokumentasi utuh yang menyatakan bagaimana buah dabai menjadi mercu tanda Kanowit namun begitu satu yang unik lagi di bumi Kanowit adalah adanya satu tugu ikan duyung bersebelahan dengan Kubu Emma.


Mungkin ramai rakyat Sarawak sendiri tidak mengetahui mengapa adanya tugu ikan duyung boleh berada di bumi Kanowit. Menurut cerita orang-orang tua di bumi Kanowit dikatakan suatu waktu dahulu, ketika Kubu Emma didalam proses pembinaan telah terdapat susuk ikan duyung yang timbul di Muara Kanowit. Ianya menjadi keriuhan ketika itu kerana yang melihat kelibat ikan duyung ini bukan hanya masyarakat tempatan Kanowit tetapi juga penjawat Eropah yang bekerja dengan Kerajaan Sarawak pada ketika itu.


Jadi sebagai mengenang kepada peristiwa itulah, dibina tugu ikan duyung bersebelahan dengan Kubu Emma. Tiada pengesahan yang pasti mengenai cerita lisan ini namun begitu kewujudan sebuah tugu replica ikan duyung di bumi Sarawak malah satu-satunya di dalam Gagasan Malaysia adalah satu yang unik sekali.


Setiap Daerah Mempunyai Sejarahnya Dan Setiap Daerah Mempunyai Nilai Kasih Sayangnya.


‪#‎KamekSayangSarawakBah!

bottom of page