top of page

PANTAI TANJUNG LOBANG, MIRI, SARAWAK


PANTAI TANJUNG LOBANG, MIRI, SARAWAK


Menikmati keindahan panorama senja di tepian pantai sudah tentu mengundang suasana romantis dan begitu jugalah dengan satu pantai yang begitu sinonim dengannya iaitu Pantai Tanjung Lobang, Miri, Sarawak. Lokasinya yang terletak di lautan luas iaitu Laut China Selatan memungkinkan ianya adalah salah satu daripada lokasi yang cukup dekat dengan rakyat di Miri mahupun pelancong-pelancong.


Di ketika Brooke memerintah Sarawak Kingdom suatu waktu dahulu, pantai Tanjung Lobang ini sinonim dengan namanya sebagai Brighton Beach. Mungkin kerana Brooke sendiri adalah berbangsa Inggeris sudah tentu dia sendiri merindui kampong halamannya di United Kingdom yang juga mempunyai satu pantai yang dikatakan hampir sama dengan pantai Tanjung Lobang di Miri Sarawak. Dan kerana itulah bagi penjawat berbangsa Eropah di Sarawak Kingdom serta apabila Sarawak menjadi tanah jajahan Koloni British Borneo, nama pantai ini kekal dikenali sebagai Brighton Beach atau Pantai Brighton.


Pantai Tanjung Lobang juga sebenarnya mempunyai rentetan sejarah yang cukup kuat di dalam kalendar Sarawak Bumi Kenyalang kerana pada tanggal 16 Disember 1941, disinilah bermulanya tentera Jepun iaitu penaklukan Jepun semasa Perang Dunia Kedua bermula. Pada hari itulah Jepun telah mengarahkan battalion lautnya untuk mendarat di pantai Tanjung Lobang dan seterusnya bergerak ke seluruh Sarawak, Sabah dan Brunei dan akhirnya mereka menakluki Pulau Borneo secara keseluruhannya.


Pemilihan Pantai Tanjung Lobang ini bagi pihak tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua adalah kerana di Miri inilah tempat segala infrastruktur minyak bagi Sarawak Kingdom bermula. Malah kedudukan Miri juga hampir dekat dengan bumi Brunei yang juga mempunyai kekayaan yang sama.


Sekarang, Pantai Tanjung Lobang adalah antara pemangkin kepada sektor pelancongan di Miri, Sarawak dan ianya adalah lokasi yang wajib untuk dikunjungi. Banyak acara yang diadakan di Pantai Tanjung Lobang setiap tahun dan antaranya adalah Triathlon Sarawak yang diadakan yang banyak membawa jaguh sukan Triathlon untuk mengunjungi Miri saban tahun. Di sini juga mempunyai banyak kawasan rekreasi untuk sukan berjogging dan banyak lagi yang lengkap untuk menanti pengunjungnya.


Lan Berambeh Ke Sarawak!





bottom of page